Thursday, June 26, 2014

"Dia ludah saya dulu......"

Baru-baru ini saya melihat di TV dan membaca mengenai pemain bolasepak Uruguay Luis Suarez menggigit bahu seorang pemain Italy di perlawanan bolasepak Piala Dunia 2014 di Brazil. Sehinggakan satu akhbar England menggelarkan Suarez sebagai seekor binatang dengan menulis 'Animal Suarez......'. Ini tidak memeranjatkan kerana sudah tentu semua warga England marah kepada Suarez kerana dia mencari makan dengan bermain dengan kelab mereka Liverpool. Tiba-tiba jaringan dua golnya menyebabkan England tersingkir dari Piala Dunia 2014.  

Rupa-rupaya ini bukan pertama kali Luis Suarez menggigit pemain bolasepak. Sekurang-kurangnya dia telah menggigit dua pemain bolasepak sebelum ini.

Cerita Suarez ini membawa ingatan saya kepada seorang penjual daging lembu di Pasar Besar Seremban berpuluh tahun yang lalu. Dia seorang lelaki Melayu yang tinggal di Mambau, Seremban di masa itu. Sebelum itu dia seorang anggota tentera tetapi telah diberhentikan kerana masalah yang dibawanya. Dia juga pernah berkahwin tetapi bercerai dengan isterinya juga kerana masalah yang dibawanya.

Tanpa mengetahui masalah yang dibawanya Majlis Perbandaran Seremban (MPS) meluluskan permohonannya untuk menjual daging lembu di Pasar Besar Seremban. Sudah menjadi dasar MPS menolong bekas-bekas tentera dengan memudahkan mereka mendapat gerai-gerai kepunyaannya.

Rupa-rupanya masalah yang dibawanya di kem tentera dan di rumahtangganya dibawanya ke Pasar Besar Seremban. Apakah masalah yang dibawanya? Tidak lain tidak bukan dia suka meludah orang. Ini saya ketahui pada satu hari apabila saya ditugaskan menjaga pasar itu. Seorang yang lalu didepannya tiba-tiba diludah. Yang diludah membalas dengan menumbuk si peludah. 

Orang ramai membawa kedua-duanya ke pejabat saya yang cuma beberapa meter dari gerai daging lembu di Pasar itu. Apabila saya tanya kenapa dia meludah orang yang lalu dihadapannya penjual daging ini menjawab "Dia ludah saya dulu". 

Kita tidak akan meludah orang tanpa sebab. Saya pun bertanya kepada staff saya mengenai penjual daging ini. Mereka menjawab memang selalu dia meludah orang dan jawapannya tetap sama "Dia ludah saya dulu". Saya pun memberitahunya supaya jangan meludah kembali jika ada sesiapa meludahnya. Sejak itu kurang sedikit insiden dia meludah orang.

Satu hari dia datang ke pejabat saya dan menunjuk kepada seorang sambil bertanya "Orang itu meludah saya Encik, boleh tidak saya tumbuk dia?". Saya jawab "Jangan, mana bekas ludahnya?". Dia tidak dapat membuktikan apa-apa.

Kemudian saya membuat kajian sedikit mengenai manusia seperti ini. Memang benar pada pandangannya orang meludahnya. Itulah sebab dia meludah balik. Jika diuji dengan alat 'lie detector' pun dia akan lulus ujian itu. Jika disoal di mahkamah pun jawapannya tetap konsisten iaitu dia nampak orang meludahnya. Ada orang yang bersikap begini akibat pengaruh dadah. Ada juga yang tidak. 

Berbalik kepada Luis Suarez. Pada hemat saya Luis Suarez mempunyai perasaan yang sama dengan penjual daging lembu itu. Dia nampak atau terasa orang menggigitnya. Ekoran itu dia menggigit kembali. Jika dia hendak mencederakan pemain lain secara sengaja atau tidak banyak caranya, bukan dengan meninggalkan kesan seperti gigitan.

Saya tidak tahu apa terjadi kepada penjual daging lembu itu sekarang. Yang saya tahu ialah lesen menjual daging lembunya telah ditarik balik. Bukan untuk menganiaya dia sebenarnya, tetapi untuk melindungnya. Ini kerana kami tidak tahan melihatnya sering ditumbuk oleh orang yang diludahnya. 

Sekian.  

No comments: