Monday, March 12, 2018

Salah siapa, JPA atau JPJ?

Tan Sri Zainal Rahim bin Seman, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam dari JPA diarak masuk oleh band JPJ. Pemandangan ini mengingatkan saya kepada satu adegan dalam filem The Godfather bila Michael Corleone, anak pada Godfather diarak dengan band semasa perkahwinan pertamanya dengan Appolonia. Malang sekali Appolonia terbunuh tidak lama lepas itu.

Saya dan Ahli Jawatankuasa Persatuan, Hajjah Norizan datang ke acara rasmi untuk menjaga hati Presiden kami Tan Sri Wan Mahmood. 

Beberapa minggu yang lepas saya menerima panggilan telefon dari seorang pegawai Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Dia dapat nombor telefon saya dari seorang lagi pegawai JPA yang sudah lama kenal saya. Memang hubungan saya sebagai Setiausaha Persatuan Pesara saya di peringkat Negeri Sembilan dengan JPA amat baik.

Kata pegawai itu, JPA dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ingin mengadakan satu kursus memandu kereta cara selamat untuk kami pesara. Kursus dinamakan '1Pesara Drivesafe' dan berjalan selama tiga hari dua malam.

Dia pun hantar satu email dengan butir-butir lanjut kepada saya. Dia mahukan dalam sepuluh ahli Persatuan saya untuk turut serta dalam kursus ini yang akan diadakan di Akademi Pengangkutan Jalan Malaysia di Tiang Dua, Melaka.

Tetapi untuk turut serta ada syaratnya. Antaranya kami hendaklah berumur kurang dari 70 tahun. Saya yang belum lagi 70 tahun ialah ahli pertama dari Persatuan saya yang mendaftar. Kemudian saya hebahkan kepada ahli-ahli saya. Malangnya hanya seorang sahaja lagi yang berminat. Saya fikir tak apalah dua orang itu kerana ada persatuan lain pun menghantar ahli-ahlinya untuk kursus ini.

Di akhir-akhir ini saya mempunyai masalah untuk pergi. Bila kawan saya yang seorang lagi itu tahu dia pun tak mau pergi. Maknanya tidak ada peserta dari Persatuan saya di Negeri Sembilan. Kemudian saya dapat tahu Persatuan kami di Melaka pun tidak ada peserta. 

Baru saya tahu faktor syarat umur menjadi penghalang kepada kami untuk pergi. Majoriti ahli Persatuan kami berumur lebih 70 tahun (kami selalu sebut tujuh siri). 

Semalam saya menerima beberapa panggilan telefon meminta saya pergi untuk kursus ini. Akhirnya saya memutuskan pergi juga, tetapi untuk acara perasmian sahaja. Kebetulan seorang Ahli Jawatankuasa saya pun menerima panggilan yang sama dan dia pun datang untuk acara perasmian. Sekurang-kurangnya Presiden Persatuan kami di peringkat nasional yang dijemput sama untuk acara perasmian tidaklah hampa melihat tiada anak-anak buahnya yang datang untuk kursus ini.

Saya tidak faham kenapa penganjur menetapkan hanya pesara yang berumur bawah 70 tahun layak untuk kursus ini. Dalam perhatian saya, ramai kenalan saya yang sudah 'tujuh siri' masih handal memandu kereta. Contohnya dua minggu lepas saya naik kereta Yang Di Pertua saya ke Daerah Jempol dan balik. Saya lihat tidak ada cacat cela dia memandu sedangkan umurnya hampir 'lapan siri'.       

Dalam hal ini siapa yang salah? JPA atau JPJ?

Sekian.

No comments: