Beberapa tahun dulu sebelum adanya apa yang dipanggil Whatsapp yang sangat popular sekarang, ada satu cara beberapa orang boleh berhubung secara kumpulan melalui teks di telefon bimbit juga. Saya dah lupa apa nama program itu. Tetapi dengan datangnya Whatsapp, program itu seolah-olah mati begitu sahaja.
Saya telah menjadi ahli beberapa kumpulan. Di dalam satu kumpulan yang terdiri dari penduduk taman perumahan saya, saya telah disebut pernah mengeluarkan satu kenyataan. Saya pasti tidak pernah membuat kenyataan itu dalam bentuk apa pun, secara bertulis atau sebutan, walau pun gerak geri saya seolah-olah selari dengan apa yang kononnya saya sebarkan.
Saya pun mencabar penulis teks itu supaya menunjukkan bukti kenyataan saya itu. Setelah beberapa hari cabaran saya tidak dijawab, saya pun mengeluarkan satu kenyataan bahawa si anu bin si anu telah memfitnah saya. Saya sempat bertanya kepada beberapa orang ustaz yang menganggotai kumpulan itu apakah hukuman kepada seorang yang memfitnah. Malangnya semuanya membisu seribu bahasa.
Akhirnya si pemitnah itu telah meminta maaf kepada saya melalui teks ke dalam kumpulan kami itu. Tetapi sehingga sekarang saya tidak memaafkannya kerana saya anggap tuduhannya amat serious. Selepas itu saya pun keluar dari kumpulan itu.
Baru-baru ini seorang Menteri Besar telah dirakam meminta anak-anak buahnya menterbalik meja di mana-mana jika terdapat orang membuat fitnah disekeliling meja tersebut. Dengan kecanggihan atau kepintaran telefon bimbit sekarang, cerita itu telah diviralkan. Perkataan tepat dalam Bahasa Melayu ialah ditular. Maka banyaklah reaksi mengutuk tindakan Menteri Besar tersebut, terutama dari musuh-musuh politiknya.
Lebih kurang di masa yang sama seorang lagi Menteri Besar telah dirakam meminta pengikut-pengikutnya mencampakkan seorang pegawai tinggi Kerajaan Malaysia ke dalam satu kolam tadahan air. Ini kerana kononnya pegawai itu telah membuat kenyataan tidak benar. Sama ada kenyataan itu boleh dikelaskan sebagai fitnah tidak tahulah saya.
Menterbalikkan meja tidak akan mencederakan sesiapa. Menteri Besar itu pun selain dari meminta maaf terhadap keterlaluan kenyataannya juga sanggup menjamin anak-anak buahnya jika diambil tindakan undang-undang. Ini sudah tentu membayar ganti rugi jika ada meja yang rosak.
Tetapi jika seorang yang tidak tahu berenang dicampak ke dalam kolam ada kemungkinan dia akan mati lemas. Tidakkah itu satu perbuatan yang lebih serious dari menterbalikkan meja?
Walau macam mana pun perbuatan menabur fitnah adalah lebih serious dari menterbalikkan meja atau mencampakkan orang ke dalam kolam.
Sekian.
No comments:
Post a Comment