Thursday, February 22, 2018

Tandas itu untuk siapa?

Tandas yang sentiasa berkunci.

Dengan terdirinya projek MRT laluan Sungai Buloh - Kajang, stesen KTM di kedua bandar itu juga bertukar wajah. Di lain perkataan stesen KTM Sungai Buloh dan Kajang sekarang adalah stesen baru yang berkongsi bangunan dengan stesen MRT. Saya tidak tahu sama ada stesen KTM baru itu berupa hadiah dari MRT atau kos pembinaannya ditanggung oleh KTM sepenuhnya atau separuh.

Saya yang tinggal di Seremban sering ke stesen KTM Kajang sekarang kerana dari situ saya boleh berpindah ke MRT. Tetapi ada satu perkara yang meragukan saya di tingkat bawah stesen itu di mana terletaknya plaform untuk penumpang turun dan naik tren. Terdapat satu kawasan platform laluan ke selatan yang kami penumpang dilarang masuk.

Semalam saya dapat jawapannya. Oleh kerana kawasan larangan itu hanya dihalang dengan beberapa kon (cone) saya telah melanggar arahan dan memasukinya. Rupa-rupanya kawasan larangan itu menempatkan tandas awam. Ada tiga tandas masing-masing untuk lelaki, perempuan dan orang kurang upaya atau OKU. Tandas-tandas lelaki dan perempuan berkunci tetapi tandas OKU tidak.

Memang terdapat tandas di tingkat C (untuk concourse) stesen KTM ini. Tetapi tandas di sini ada pemungut cukainya, tidak seperti di tandas stesen MRT di sebelahnya yang tidak mengenakan apa-apa bayaran. Tingkat C juga menempatkan aktiviti jualan tiket atau token untuk KTM dan MRT. Tingkat paling atas di mana letaknya platfrom untuk MRT tidak ada kemudahan tandas.

Jadi saya balik kepada soalan untuk siapakah tandas di tingkat platfrom KTM itu? Jika untuk staff KTM atau pekerja kontrak, mereka boleh gunakan yang di tingkat C.      

No comments: