Thursday, January 18, 2018

Baginda adalah Sultan seumur hidup.

Dalam filem James Bond, Licence to Kill, Presiden satu negara andaian mengadu kepada seorang pengedar dadah kenapa elaun bulanannya dikurangkan. Elaun itu sebenarnya berupa rasuah dari pengedar dadah itu supaya Presiden melindungi kegiatan haramnya.

Pengedar dadah itu menjawab dengan mengingatkan Presiden bahawa dia hanya Presiden seumur hidup. Maksudnya jika Presiden itu mati hilang teruslah elaunnya. Maksud disebaliknya pula jika Presiden itu mahu terus hidup dia mesti terus melindungi kegiatan haram pengedar dadah itu.

Sama seperti Presiden negara andaian itu, Raja-Raja Melayu juga memerintah seumur hidup mereka, melainkan digantikan dalam kes-kes yang tidak dapat dielakkan seperti berlaku di negeri Kelantan beberapa tahun yang lalu.

Saya minta maaf, kerana saya tidak berniat membandingkan Raja-Raja Melayu dengan Presiden negara andaian itu. Tetapi baru-baru ini seorang ahli politik telah dianggap membandingkan seorang Raja Melayu bergelar Sultan dengan seorang bekas Perdana Menteri yang sudah berhenti tetapi ingin menjadi Perdana Menteri semula.

Dari apa yang saya lihat dan dengar, perbandingan yang dibuatnya ialah jika rakyat boleh menerima Sultan yang sudah berumur dan sedang gering itu sebagai Sultan kenapa tidak mantan Perdana Menteri itu diterima semula sebagai Perdana Menteri?

Ini telah membuat ramai orang marah. Bagi saya, ahli politik yang membuat perbandingan itu bukanlah berniat menjatuhkan maruah seorang Sultan. Cuma bagi saya dia tidak boleh membuat perbandingan tersebut kerana situasi seorang Raja dengan Perdana Menteri atau Menteri Besar adalah berlainan.

Seorang Raja di mana-mana negara pun memerintah seumur hidup. Bila baginda mangkat warisnya yang biasanya anak lelaki sulung baginda akan menjadi Raja, seumur hidup juga. Itu sebabnya bila seorang Raja atau King mangkat ada sebutan 'The King is dead, long live the King'.  'King' pertama ialah Raja yang mangkat dan 'King' kedua pula Raja yang baru. 

Tidak pernah kita kita dengar 'The Prime Minister is Dead, long live the Prime Minister'. 

Sekian.    

No comments: