Monday, December 16, 2019

Pihak Berkuasa cabul undang-undang sendiri.


Bantahan

Notis patut diserah atau 'duly served', tetapi diberi setaraf 'flyers' dan iklan Along.

KAWASAN LAPANG yang dicabul.

Papan Notis yang menunjukkan keangkuhan dan kebodohan MPS sendiri.

Papan Notis standard (di tempat lain)yang menunjukkan nombor lot tapak projek.

Ini maklumat yang tidak terdapat dalam 'flyer' dan Papan Notis MPS. Tapak projek ialah di atas Lot 12069 Mukim Seremban yang bertaraf KAWASAN LAPANG.

Salinan Warta Kerajaan Negeri Sembilan menjelaskan Lot 12069 Mukim Seremban direzabkan sebagai KAWASAN LAPANG.

Semasa saya bekerja dengan Majlis Perbandaran Seremban atau MPS dulu saya sering menghadiri satu mesyuarat yang lebih senang dipanggil OSC untuk 'One Stop Centre' Di situlah pegawai-pegawai teknikal MPS disertai oleh wakil-wakil dari jabatan-jabatan seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Perparitan dan Saliran (JPS) meluluskan pelan-pelan pembangunan dalam kawasan MPS.

Pelan-pelan dihantar oleh AP (untuk Authorised Persons), biasanya Arkitek bertauliah. Saya perhatikan orang nombor satu MPS atau Yang Di Pertua di masa itu sangat sensitif dan prihatin tentang satu perkara iaitu KAWASAN LAPANG. Dia mahu pemaju-pemaju, terutama pemaju perumahan menyediakan cukup KAWASAN LAPANG. Ada cadangan-cadangan pembangunan ditolak kerana tidak cukup KAWASAN LAPANG. Tetapi untuk berlaku adil, pemohon diminta mengemukakan pelan-pelan baru dengan KAWASAN LAPANG yang cukup.

Untuk memastikan KAWASAN LAPANG itu tidak dicabul, MPS memastikan ia diwartakan di Warta Kerajaan. Ini bermakna dalam geran walau pun tanah itu mempunyai nombor lot, tiada rekod pemilik dan tidak ada juga cukai tanah. Ini kerana tuan punya tanah itu ialah Allah Taala.

Dari itu, bila saya bersara dan dengan wang simpangan yang cukup saya membeli sebuah rumah yang di dalam geran hakmilik tertulis KL yang bermaksud KAWASAN LAPANG terletak betul-betul di hadapan rumah.

Bila saya pindah ke sini dulu, benda pertama saya beli ialah layang-layang. Rumah saya terletak 93 meter dari paras laut  dan berangin. Petang-petang saya akan ke kawasan lapang di depan rumah untuk bermain layang-layang sambil anak-anak jiran bermain bola. 

Kebelakangan ini pula ramai orang dewasa dan kanak-kanak bermain panah di sini. Ini kerana kawasan lapang ini bersempadan dengan bukit untuk tangki air. Bila panah tersasar ia akan melekat di tebing bukit dan tidak payah dicari jauh.

Pada awal bulan ini saya dan jiran-jiran sebelah dikejutkan apabila dua orang yang saya tidak kenali meletakkan surat di peti surat saya. Ia bertajuk NOTIS MAKLUMAN. Setahu saya segala notis  Kerajaan hendaklah diserah dengan sempurna atau 'NOTICES MUST BE DULY SERVED'. Dalam kes ini notis hendaklah diserah oleh Penyerah Notis yan digaji oleh MPS dan bukan orang luar seperti kes ini. 

Notis juga hendaklah ditulis nama dan alamat penerima dan tidak dibiarkan kosong. Oleh itu saya anggap dokumen yang dimasukkan ke peti surat itu sama tarafnya dengan 'flyers' pasaraya dan 'Along' peminjam wang.

Tetapi kalau dibaca betul-betul, 'NOTIS MAKLUMAN' tidak memberitahu secara tepat di toboh mana DEWAN KOMUNITI hendak dibina. Bila ditanya kepada pemberi 'flyers', barulah kami tahu Dewan akan dibina di KAWASAN LAPANG di depan rumah kami. Di situ juga kami tahu pemberi 'flyers' itu adalah pekerja kontraktor yang telah dilantik membina Dewan itu.

Sudah tentu kami yang tinggal berjiran dengan KAWASAN LAPANG membuat bantahan kepada pihak-pihak berkuasa. Ini kerana bukan sahaja hak kami dicabul, tetapi MPS telah melanggar syarat-syarat yang mereka sendiri gubal.

MPS bukanlah pemilik mana-mana KAWASAN LAPANG dalam kawasan mereka. Mereka ialah pemegang amanah untuk menjaga rapi KAWASAN LAPANG itu dengan kos perbelanjaan ditampung dari Cukai Taksiran yang kami bayar dua  kali setahun. Membina apa-apa bangunan di atasnya ialah satu pecah amanah, pengkhianatan dan pencabulan syarat-syarat yang mereka sendiri buat. Ini tak ubah seperti bidalan Melayu 'Harapkan pagar, pagar makan padi'.

Mana-mana KAWASAN LAPANG yang sudah direzabkan di negara ini boleh ditukar syarat. Di lain perkataan perizaban itu boleh dibatal. Tetapi ia kena mengikuti prosedur yang termaktub dalam KANUN TANAH NEGARA dan AKTA PERANCANGAN BANDAR DAN DESA. Antara prosedurnya ialah permohanan dirujuk terlebih dahulu kepada jiran-jiran sebelah KAWASAN LAPANG itu. Kami tahu ini tidak dibuat kerana tidak seorang pun dari kami yang merupakan jiran-jiran itu diminta memberi pandangan.

Ini ibarat jika kita hendak kahwin dengan isteri orang, isteri itu hendaklah bercerai dengan suaminya terlebih dahulu.

Yang lebih menyakitkan hati kami ialah satu NGO yang kononnya mewakili semua penduduk taman perumahan kami telah membuat 'pungutan suara' di surau kami sama ada kami menerima atau membantah pembinaan Dewan ini. Sudah tentulah suara kami yang minoriti ini kalah. Yang menyokong itu tidak merasa kesan pencabulan hak kami itu. Mereka pula telah dijanjikan dengan janji-janji manis yang belum pasti sahih.

Dipendekkan cerita, kenderaan-kenderaan berat pun datang dan menceroboh KAWASAN LAPANG ini dan meletakkan kabin dan bahan-bahan binaan beberapa hari selepas kami menerima 'flyers' itu.

Selang beberapa hari setelah KAWASAN LAPANG diceroboh, terpacak pula Papan Notis projek. Papan Notis menunjukkan keangkuhan dan kebodohan MPS sendiri. Antaranya:

  1. Notis tidak menyebut di atas lot mana Dewan akan didirikan. Jika kita perhatikan Papan Notis MPS yang biasa, nombor lot tanah ada tertera.
  2. Ejaan RAMAI ditulis RAWAI. Mengikut kamus, RAWAI ialah sejenis gelang yang dipakai oleh perempuan Iban.
  3. Projek ialah DEWAN ORANG RAWAI AMPANGAN, tetapi didirikan di SIKAMAT. Bukan kah AMPANGAN dan SIKAMAT kawasan yang berlainan? Oh ya, SIKAMAT sudah pun mempunyai dua DEWAN KOMUNITI. Apa perlu satu lagi? 
  4. MPS mengaku pemilik projek. Tetapi mereka mendirikan projek di atas tanah yang bukan milik mereka. Mereka boleh mengaku memiliki Dewan itu, bukan tanah di bawahnya. Mengaku tanah itu sebagai milik mereka ialah satu pembohongan besar.
  5. Akhirnya kebodohan MPS terbukti bila menulis alamat mereka sebagai JALAN YAM TUAN, Seremban sedangkan MPS sudah berpindah ke Jalan Country Heights, Rahang beberapa bulan yang lalu.
Sekali lagi saya jelaskan, Majlis Perbandaran Seremban atau MPS sebagai satu pihak berkuasa telah menyalahguna kuasa. Mereka sedang mencabuli undang-undang yang mereka gubal sendiri. Bukan itu sahaja, mereka telah melanggar Warta Kerajaan Negeri Sembilan.

Sekian.

2 comments:

Rijal said...

Sdr cabarah kes ni ke mahkamah. Berkokok sini shj tak akan ubah apa2. Klau mng kes ni akan jd cth pd tmpt2 yg lain.

Unknown said...

Untuk makluman perkara ini akan dibawa oleh peguam yang dilantik bagi mempertahankan kawasan lapang (KL) dari dicabul