Thursday, August 19, 2010

Bersedialah sebelum dipanggil.

Lebih kurang pukul 5.30 petang semalam saya membuka blog surau saya di sini. Saya terbaca mengenai pemergian ke Rahmatullah isteri seorang jemaah kami. Saya pun terus membaca senarai penduduk taman kami yang sudah menjadi ahli Khairat Kematian. Senarai ini ada di dalam blog dan dikemaskini dari masa ke semasa oleh moderator blog Cikgu Saiful. Malangnya nama suami Allahyarham tidak ada dalam senarai. Mungkin juga senarai belum dikemaskini.

Saya pun terus pergi ke rumah Allahyarham dan bertemu beberapa orang jemaah surau di sana. Saya bertanya mereka sama ada keluarga Allahyarham termasuk dalam senarai Khairat Kematian. Jawapannya tidak. Kebetulan Setiausaha Khairat Kematian tinggal cuma dua pintu jauhnya dari rumah Allahyarham.

Alangkah baiknya jika keluarga Allahyarham sudah memasuki Khairat Kematian taman kami. Pengurusan jenazahnya akan diuruskan oleh ahli-ahli lain tanpa keluarga Allahyarham berbelanja apa-apa. Walau bagaimana pun kami tetap menolong keluarga Allahyarham di mana yang boleh. Jenazahnya di sembahyangkan di surau kami selapas Solat Isya' dan Imam Besar kami turut bersama ke Makam Tuan Haji Said, Seremban menguruskan pengkebumian semasa jemaah lain mengerjakan Solat Tarawikh.

Saya? Saya telah mendaftar untuk Khairat Kematian tersebut.

No comments: