Monday, August 23, 2010

Siapa punya angkara ini?

Surau yang disimbah cat merah.

Pandangan dekat di mana cat disimbah.

Beberapa botol arak dan serpihannya. Kenderaan itu ialah kenderaan Polis.

Semalam saya baharu sahaja bercerita mengenai surau saya. Kali ini saya terpaksa bercerita mengenai surau juga, tetapi bukan surau saya. Tetapi surau ini cuma terletak lebih kurang 500 meter dari surau saya di satu taman perumahan yang berjiran. Ia juga dibina semasa dengan surau saya. Seperti surau saya ia terletak di jalan utama dan bersebelahan dengan taman permainan kanak-kanak. Kelebihan surau saya ialah ia bersebelahan juga dengan kolam tebatan banjir. 

Pagi tadi saya berjumpa dengan Penguasa Banci saya berbincang mengenai Banci Perumahan dan Penduduk Negara yang tamat semalam. Seperti biasa saya balik melalui Jalan Temiang. Apabila sahaja saya melalui surau ini saya nampak ramai orang berkumpul. Juga saya nampak sebuah kenderaan Polis bertulis FORENSIK dan beberapa anggota Polis sedang membuat tugas dalam kawasan surau.

Fikiran saya terus teringat kepada kes bunuh seorang bekas jiran saya seperti pos saya ini. Kebetulan kes itu terjadi di bulan Ramadan juga. Saya pun terus turun dari skuter saya dan bertanya dengan seorang yang berkumpul di situ kenapa ada anggota Polis. Dia terus menunjukkan kepada surau yang disimbah cat merah. Kejadian disyaki dilakukan sebelum Subuh pagi tadi.

Selain disimbah cat surau juga dibaling dengan botol-botol kosong arak yang ditujukan kepada tingkap cermin. Cermin tidak pecah tetapi botol-botol yang berkecai. Kerosakan kepada surau cuma minima sahaja. Tidak ada bahagian yang pecah atau rosak. 

Saya berharap jemaah surau ini tidak mengambil tindakan yang di luar undang-undang. Biarlah pihak-pihak berkuasa menjalankan siasatan dan menghukum siapa yang bertanggungjawab terhadap perbuatan ini.

1 comment:

Anonymous said...

Maarof

Mengkut firazat ana, yang buat perkara simbah cat itu ialah tangan-tangan.... gerenti punya.

wasalam
MA