Asalnya bangunan ini ialah asrama Rumah Temenggong, SDAR. Sekarang menjadi Bangunan Yusuf Aziz, UPSI.
Jika tekaan saya betul, Sekolah Dato' Abdul Razak (SDAR) yang sekarang terletak di Sungai Gadut, Seremban, Negeri Sembilan mempunyai rekod sebagai sekolah yang paling banyak kali berpindah.
SDAR mula ditubuhkan di Bukit Zaharah, Johor Bahru, Johor pada 1 Mei 1956. Di tahun yang sama juga saya memasuki dunia persekolahan. Pada awal tahun 1957 ia berpindah ke Ipoh, Perak. Pada bulan Mei tahun yang sama ia menumpang di Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI), Tanjong Mallim, Perak. Pada 5 Januari 1958 ia berpindah ke kompleks sendiri di sebelah MPSI. Pada 1 Januari 1972 ia berpindah ke Jalan Sikamat, Seremban dan akhirnya pada 1 Januari 2002 ia berpindah ke kampusnya di Sungai Gadut, Seremban. (Bahan-bahan ini saya dapati dari buku Lakaran SDAR dan buku cenderamata Sdara Dinner 2012).
Kompleks SDAR di Tanjong Malim, Perak telah diambil alih oleh MPSI yang kemudiannya menjadi Institut Perguruan Sultan Idris (IPSI) dan akhirnya dikenali sekarang sebagai Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Kompleks SDAR di Jalan Sikamat, Seremban pula telah menjadi Sekolah Menengah Sains Tuanku Munawir atau lebih dikenali sebagai SASER.
Saya anggap diri saya bernasib baik kerana pernah belajar di SDAR. Saya di SDAR Tanjong Malim dari 14 Februari 1962 (Hari Valentine) sehingga bulan Disember 1967. Saya ada terbaca mengenai sejarah UPSI yang menerangkan mengapa tapak di Tanjong Malim dipilih untuk didirikan satu maktab perguruan untuk melatih guru-guru lelaki. Kerajaan British yang memerintah Malaya di masa itu mahukan satu tapak yang terletak di tengah-tengah Malaya, berdekatan dengan pekan, stesen keretapi dan sungai. Dari itu satu tapak di Tanjong Malim bersebelahan dengan Sungai Bernam yang memisahkan negeri-negeri Perak dan Selangor telah dipilih. Maktab itu kemudiannya dinamakan Sultan Idris Teachers College atau SITC. Pada tahun 1957 ia dikenali sebagai Maktab Perguruan Sultan Idris atau MPSI.
Oleh kerana SDAR pernah terletak disebelah MPSI saya juga turut merasa tinggal di sekolah berasrama penuh (SBP) yang terletak dekat dengan pekan, stesen keretapi dan sungai. Kami ke pekan Tanjong Malim hanya dengan berjalan kaki. Kami merentas desa (cross country) bersebelahan dengan Sungai Bernam. Sehinggakan kami menubuhkan satu kelab bernama Canoe Club dan berkayak di sungai tersebut.
Di Tanjong Malim kakitangan MPSI dan SDAR tinggal berjiran di sekeliling kedua-dua institusi. Tidak dapat ditentukan yang mana satu kuarters untuk kakitangan MPSI atau SDAR. Oleh itu terdapat kes di mana kuaters seorang guru SDAR diapit oleh dua kuaters pensyarah MPSI. Kakitangan bawahan seperti tukang kebun dan tukang masak dapur asrama kedua-dua instituti juga tinggal berjiran. Dari itu juga kami tidak dapat menentukan remaja lelaki dan perempuan yang lalu lalang di sebelah sekolah kami itu ialah anak pekerja MPSI atau SDAR.
Tetapi bagaimana rapatnya hubungan kejiranan kakitangan dan keluarga kedua-dua institusi, ia tidak diterjemahkan kepada hubungan antara pelajar. Hubungan diantara pelajar MPSI dengan SDAR adalah dingin walau pun ada asrama kami yang terdiri bersebelahan tanpa apa-apa pemisah seperti pagar dan sebagainya. Kedudukan padang sekolah kami pelik juga, kerana untuk pergi ke sana kami terpaksa berjalan di hadapan kompleks MPSI. Dalam perjalanan itu kami tidak indahkan mereka dan mereka juga tidak kisahkan kami.
Apabila berjumpa di pekan kecil Tanjong Malim dihujung minggu kami tidak bertegur sapa, melainkan jika terjumpa orang sekampung. Di pekan itu ada kedai yang menjadi kesukaan penuntut SDAR dan ada kedai yang menjadi kesukaan bakal-bakal guru tersebut. Jika kami menonton wayang di dua pawagam di pekan itu dan pekan Ulu Bernam di Selangor kami membeli tiket kelas murah dan mereka memilih kelas di belakang yang lebih selesa. Kami pergi untuk solat Jumaat di masjid yang sama, tetapi di sana kami duduk di sudut yang berlainan.
Apabila berjumpa di pekan kecil Tanjong Malim dihujung minggu kami tidak bertegur sapa, melainkan jika terjumpa orang sekampung. Di pekan itu ada kedai yang menjadi kesukaan penuntut SDAR dan ada kedai yang menjadi kesukaan bakal-bakal guru tersebut. Jika kami menonton wayang di dua pawagam di pekan itu dan pekan Ulu Bernam di Selangor kami membeli tiket kelas murah dan mereka memilih kelas di belakang yang lebih selesa. Kami pergi untuk solat Jumaat di masjid yang sama, tetapi di sana kami duduk di sudut yang berlainan.
Ada beberapa faktor yang menyebabkan hubungan dingin ini. Faktor pertama ialah perbezaan umur. Yang paling tua dari kami masih rendah umur dari yang termuda dari mereka.
Faktor kedua ialah kami sudah bosan tinggal di Tanjong Malim dan ingin tinggal di tempat lain pula. Cita-cita kami ialah untuk melanjutkan pelajaran ke tingkatan enam dan seterusnya ke universiti. Jika itu tidak tercapai kami ingin ke kolej pertanian, maktab teknik atau ke akademi polis dan tentera. Menerima latihan perguruan di MPSI ialah paling akhir dalam ingatan kami.
Faktor ketiga ialah faktor sosial. Setelah berkawan selama enam tahun dengan lelaki belaka kami ingin belajar bersama perempuan pula. Oleh itu bagi yang bercita-cita menjadi guru biarlah di institusi yang bercampur lelaki perempuan walau pun kami tahu MPSI mengeluarkan guru-guru yang bermutu dari dahulu lagi.
Tetapi oleh kerana kami bukan kuasa penentu untuk memasuki mana-mana institusi, ada juga diantara kami yang tersangkut ke MPSI. Kami menganggap mereka ini sebagai paling malang. Biasanya bekas pelajar SDAR Tanjong Malim yang memasuki MPSI akan dibuli oleh pelajar senior mereka. Ini sebagai tindakan balas dendam penuntut MPSI kepada kami kerana memandang dingin kepada mereka.
No comments:
Post a Comment