Monday, June 25, 2012

Berebut sebatang durian.

Saya tertarik membaca kisah perebutan sebatang durian di sebuah negara jiran. Ini mengingatkan saya mengenai perebutan sebatang durian diantara keluarga ibu saya dengan keluarga jirannya.

Arwah moyang saya dulu adalah diantara peneroka asal kampung kami di Jelebu, Negeri Sembilan. Dia berasal dari Ulu Juasseh, Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Bersama-samanya dan selepas itu ramailah peneroka dari tempat-tempat lain di  Kuala Pilah seperti Seri Menanti dan Terachi yang meneroka kampung kami. 

Kami mengekalkan budaya Kuala Pilah seperti percakapan sampai sekarang. Walau pun kami tinggal di Jelebu, percakapan kami sebenaranya berbeza sedikit dengan percakapan penduduk Jelebu asal. 

Seperti peneroka biasa, arwah moyang diikuti oleh arwah datuk saya menanam pokok-pokok buahan seperti durian, manggis, rambutan dan langsat di tanah kampung kami yang subur. Sehingga sekarang durian dari Jelebu, terutama dari kampung kami adalah yang terbaik di Negeri Sembilan. 

Apabila telah ramai peneroka di kampung kami tanah-tanah perlu disempadankan secara sah. Dari itu sebatang dari pokok durian yang ditanam oleh datuk saya itu termasuk dalam sempadan tanah jiran kami. Tanah moyang saya pula telah bertukar nama kepada mula-mulanya nenek saya, kemudian kepada ibu saya. 

Semasa penerokaan asalnya kampung kami hanya mempunyai jalan untuk berjalan kaki dan berbasikal sahaja. Kemudian apabila kerajaan membina jalan untuk kampung kami, sebahagian dari tanah orang-orang kampung terpaksa diambil untuk dijadikan jalan dan rezabnya. 

Pokok durian sebatang yang ditanam oleh arwah datuk saya dan kemudian didapati berada dalam tanah jiran sekarang turut terlibat dalam pengambilan tanah oleh kerajaan. Tetapi nasibnya baik sedikit kerana ia tidak perlu ditebang atau disodok jentolak, kerana berada di tepi jalan.

Keluarga saya memberi nama kepada pokok-pokok durian kami. Antaranya Durian Kundang kerana ia terletak di sebelah pokok kundang. Ada durian kami panggil Durian Besar kerana buahnya amat besar dan saya belum pernah melihat mana-mana buah durian yang lebih besar darinya. Durian Lesung terletak disebelah lesung padi yang sudah tidak ujud lagi. Di sebelah atasnya terletak Durian Darat Lesung. Ketiga-tiga Durian Besar, Durian Lesung dan Durian Darat Lesung masih berbuah sekarang dan merupakan durian terbaik dari dusun ibu saya. 



Durian yang telah bertukar pemilik itu kami beri nama Durian Jalan kerana ia berada di atas rezab jalan. Kami tahu tidak ada orang yang mempunyai hak mutlak terhadap pokok durian tersebut, tetapi jiran kami tetap mengaku durian itu kepunyaannya. 

Tetapi sedikit malang bagi jran kami kerana pokok itu kebetulan berada di sebelah rumah kami. iaitu antara tanah kami dengan jalan raya. Bila buahnya jatuh cuma orang yang bodoh sahaja yang tidak akan memperdulikannya, lebih-lebih lagi bila mengetahui pokok durian itu terletak di tanah kerajaan. Kerana kedudukannya di sebelah rumah kami, keluarga kamilah yang sering memungut buahnya untuk dimakan atau dijual. Kadang-kadang ia menggolek terus ke bawah rumah kami. Agaknya itulah yang dikatakan rezeki datang menggolek, walau pun kami tidak pernah mengakui pokok durian itu kepunyaan kami. 

Perbuatan kami ini cukup membengangkan jiran kami. Sehingga di beberapa ketika semasa buah Durian Jalan itu lebat ada anggota keluarganya sanggup menunggu berhampirannya cuma untuk memastikan kami tidak 'mencuri' buah durian yang diakui kepunyaannya. 

Agaknya Durian Jalan tidak tahan kerana menjadi punca perbalahan diantara dua keluarga berjiran. Dia merajuk dan akhirnya mati dengan sendirinya berpuluh tahun dulu sedangkan kawan-kawan sebayanya seperti Durian Besar, Durian Kudang dan Durian Lesung masih lagi tegak berdiri dan mengeluarkan buah bila musimnya tiba.

No comments: