Friday, September 11, 2015

Kalau nak buat, buat. Jangan cakap.

Cerucuk itu ditanam oleh Dato' Seri Najib 367 hari yang lalu. Sekurang-kurangnya ia mengingatkan kepada mereka yang berkenaan tugas mereka belum selesai.

Dalam filem 'The Good, the Bad and the Ugly', si Ugly. seorang penjenayah yang 'WANTED' atau dikehendaki telah terperangkap sedang mandi bogel oleh seorang pemburu upahan atau 'bounty hunter' di satu bangunan usang. Si 'bounty hunter' mengacu pistolnya kepada si Ugly dan berkata lebih kurang "Dulu kau tembak tangan kanan aku sampai kena potong. Tapi sekarang aku dah mahir menembak dengan tangan kiri.....". 'Baaaaang', tiba-tiba si Ugly menembak si 'bounty hunter' dan menjawab "If you gotta shoot, shoot. Don't talk" atau "Kalau nak tembak, tembak. Jangan cakap". 

Tepat satu tahun dua hari lepas saya hadir di upacara perasmian projek apa yang dipanggil PR1MA SEREMBAN SENTRAL di Bukit Tembok, Seremban. Kalau nak tahu lebih lanjut sila klik di sini. Saya cuma mahu ulangi apa yang saya dengar diucap oleh Perdana Menteri Dato' Seri Najib Tun Razak. Katanya dia tidak mahu upacara pecah tanah yang biasa dilakukan apabila merasmikan mana-mana projek. Banyak tanah telah dipecahkannya tetapi projek lewat atau tidak bermula. Oleh itu kali ini dia sendiri telah meminta diadakan upacara menanam cerucuk, supaya projek ini akan terus bermula.

Betul juga kata PM kita tu. Tanah yang dipecah akan bertaup semula selepas 367 hari. Tetapi cerucuk yang di tanam sekurang-kurangnya mengingatkan mereka yang berkenaan bahawa kerja mereka belum selesai. Sila lihat gambar di atas. Begitu sekali kesungguhan Perdana Menteri kita.

Tetapi sesiapa yang pergi ke tapak projek itu sekarang akan nampak hanya satu cerucuk yang ditanam oleh DS Najib itu sahaja. Tidak ada cerucuk atau pembinaan lain. Ini bermakna projek belum bermula seperti dikehendaki oleh Dato' Seri Najib.

Saya tahu persediaan untuk satu projek besar seperti PR1MA SEREMBAN SENTRAL mengambil masa. Ini termasuk penyediaan pelan-pelan, pengambilan tanah dan yang paling penting kelulusan pihak-pihak berkuasa. Tetapi dari apa yang dipamerkan semasa perasmian itu seperti lukisan dan model, seolah-olah menunjukkan butir-butir itu sudah dibereskan. 

Sebaliknya jika lukisan dan model itu hanyalah untuk mengabui mata Perdana Menteri, Menteri Besar Negeri Sembilan Dato' Seri Utama Mohamad Hasan dan manusia biasa seperti saya, tidak kah 367 hari masa yang terlalu lama untuk menyediakan pelan-pelan baru, mengambil tanah dan mendapat kelulusan?

Sedangkan tuan  tanah hanya satu iaitu Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB). Saya perhatikan mereka telah pun mengosongkan tanah mereka dan membina depoh EMU di selatan tapak projek. 

Akhirnya saya balik kepada kata-kata si Ugly tadi "If you gotta shoot, shoot. Don't talk". Dalam kes ini saya pula berkata "Kalau nak buat (projek), buat. Jangan cakap". 'Cakap' di sini termasuk penghebahan di media massa, sepanduk dan kain rentang.

Sekian.

No comments: