Saturday, June 29, 2019

Saya dah buat semua tu.

Pegawai-pegawai JPA Pencen di pejabat lama saya pada tahun 2011.

Ahli-ahli persatuan menunggu untuk bertemu pegawai-pegawai JPA

Di waktu itu pejabat terletak di satu basement.

Dipanggil berjumpa Pengarah JPA Pencen di Putrajaya

Pegawai-pegawai JPA di pejabat baru kami pada tahun 2015. Ini antara kali terakhir mereka datang.


Bila saya menjadi ahli Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM) pada tahun 2011, aktiviti pertama saya ialah melihat ahli-ahli persatuan yang sudah tentunya pesara kerajaan bertemu dengan pegawai-pegawai Bahagian Pasca Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam yang lebih dikenali sebagai JPA Pencen. Pertemuan ini dilakukan sebulan sekali di pejabat kami yang di masa itu terletak di 'basement' atau bawah tangga satu bangunan pejabat di Bandar Seremban.

Sudah tentu pegawai-pegawai persatuan saya yang mengaturkan pertemuan itu. Di masa itu saya tidak hendak ambil tahu apa yang dikehendaki oleh kawan-kawan pesara saya dari JPA Pencen. 

Bila saya dilantik menjadi Setiausaha persatuan di peringkat Negeri Sembilan pada 1 Januari 2014 saya secara langsung terlibat dengan pertemuan ini. Di masa itu juga kami sudah berpindah ke premis sendiri di tingkat atas satu rumah kedai di Taman A.S.T, Seremban. Cuma saya hairan kenapa ahli-ahli saya sanggup menunggu sehingga sebulan untuk mendapat penyelesaian terhadap masalah mereka. Kerana saya lihat hampir semua masalah mereka (yang direkod dalam satu buku nota) saya boleh bantu selesaikan. 

Saya pun membuat hebahan kepada ahli-ahli saya bahawa mereka boleh berjumpa saya pada bila-bila masa di pejabat untuk menyelesaikan masalah mereka termasuk apa-apa masalah yang mereka ingin JPA Pencen selesaikan. Saya fikir apa guna saya duduk di pejabat yang mempuyai kemudahan telefon, mesin faks dan satu set komputer yang mempuyai kemudahan internet jika perkara-perkara remeh mengenai pesara saya tidak boleh selesaikan.

Sejak itulah kehadiran ahli-ahli saya di sessi pertemuan dengan pegawai-pegawai JPA Pencen turun mendadak sehingga saya dipanggil oleh Pengarah Bahagian Pencen di masa itu di pejabatnya di Putrajaya. Beliau risau kerana kehadiran pesara telah menurun dari lebih kurang 20 orang sebulan kepada 10 orang sahaja. Saya tidak kuasa hendak memberitahunya bahawa sebab utama ahli-ahli saya sudah kurang bertemu pegawai-pegawainya ialah kerana kerja-kerja mereka telah saya ambil alih. Beliau kemudian memutuskan untuk mengurangkan kekerapan pegawai-pegawainya berjumpa kami dari sebulan sekali sehingga dua bulan sekali.
  
Akhirnya di akhir tahun 2015 JPA Pencen telah memberhentikan terus sessi pertemuan dengan ahli-ahli persatuan saya apabila mendapati cuma ada 5 ahli yang datang berjumpa pegawai-pegawai mereka. Jika sesiapa meragui statistik yang saya beri itu, sila datang ke pejabat saya untuk mengesahkannya.

Bagi saya, ketiadaan pegawai-pegawai JPA bertemu dengan ahli-ahli saya tidak jadi masalah. Saya boleh menyampaikan masalah ahli-ahli saya kepada mereka melalui telefon, faks, Email, Facebook dan akhirnya WhatsApp. Ini ditambah lagi bila banyak tugas JPA Pencen teleh diambil alih oleh Kumpulan Wang Persaraan atau KWAP di Cyberjaya. 

Dua hari lepas saya menerima hebahan melalui Facebook dan WhatsApp bahawa JPA Pencen akan menubuhkan Kaunter MyPesara di pejabat-pejabat Setiausaha Kerajaan tiap-tiap negeri melainkan Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor, Sabah dan Sarawak. 

Tugas-tugas Kaunter MyPesara pula lebih kurang sama dengan apa yang saya buat selama lima tahun enam bulan yang lalu. Malah kerja saya lebih dari itu. Sebagai contoh Kaunter MyPesara (seperti hebahan mereka) tidak menerima tuntutan perjalanan perubatan dan tuntutan alat perubatan sedangkan saya menerimanya.

Kata orang 'Imitation is the best form of flattery' atau tiruan itu adalah bentuk kepujian yang terbaik. Saya mengalu-alukan penubuhan Kaunter MyPesara itu walau pun ia berupa 'Imitation' atau tiruan kepada apa yang saya telah lakukan selama ini. 

'Flattery' atau kepujian? Tak payahlah. 

No comments: