Saturday, October 15, 2011

Untuk seketika dia tidak kesaorangan.

Semasa aku melawat kawanku seperti di pos ini. dia sempat menjemputku untuk menghadiri majlis perkahwinan anak bongsunya. Aku kenal anak perempuannya ini semasa dia menjaga kawanku di hospital beberapa bulan dulu.

Mujur juga tempat di mana acara akad nikah diadakan cuma 1 kilometer jauhnya dari rumahku. Entah macam mana naluriku berkata aku harus datang lebih awal dari waktu yang ditetapkan oleh kawanku. Keputusanku tepat kerana sebaik sahaja aku sampai jurunikah baharu sahaja memulakan majlis. Jurunikah ialah Imam kepada Masjid di mana acara nikah dijalankan. Seperti biasa aku mengambil gambar acara pernikahan ini.

Aku kagum dengan sikap kawanku. Dia tidak langsung menunjukkan tanda-tanda yang dia sekarang sudah disisih oleh isteri dan anak-anaknya dan dia sempat berjenaka dengan jurunikah. Akhirnya kekagumanku mencapai kemuncak apabila dia sendiri menjabat tangan menantunya dah menikahkannya dengan anaknya. Mungkin kerana tergamam dengan sikap mertuanya, menantunya tergagap dan terpaksa mengulangi penerimaan akad nikahnya sebanyak tiga kali.

Aku hairan kenapa masih ada wali-wali yang menyerahkan kepada jurunikah atau orang lain kewajipan menikahkan jagaan mereka. Beberapa bulan yang lepas aku melihat di Masjid yang sama seorang wali yang berupa abang kepada pengantin perempuan menyerahkan kewajipan ini kepada ayah kepada pengantin lelaki. Tak kah pelik tu. 

Selesai sahaja acara akad nikah jam digital di dinding pun berbunyi menandakan waktu Asar sudah masuk. Azan pun dilaungkan dan kami semua bersolat diimamkan oleh jurunikah tadi.

Selepas solat Asar kami beredar di serambi Masjid di mana satu jamuan ringan diadakan. Di situlah para jemputan yang amat terhad jumlahnya dijamu. Seperti yang diberitahu oleh kawanku acara perkahwinan anaknya selesai di situ juga. Tidak ada lagi apa-apa acara di pihak pengantin perempuan. Aku tidak pula bertanya sama ada pihak lelaki akan mengadakan acara berasingan.

Sebelum aku beredar balik aku sempat bertanya kawanku siapakah yang akan menghantarnya pulang ke rumah. Dia menjawab terpulanglah kepada sesiapa yang sudi.

Sebelum itu dia tidak kesaorangan, walau pun untuk seketika.
 

No comments: