Di akhir filem The Godfather Part II karaktor utamanya Michael Corleone duduk di atas kerusi kesaorangan di luar rumahnya. Isteri dan anak-anaknya telah meninggalkannya. Ibu bapanya telah meninggal dunia. Kedua-dua abangnya telah mati dibunuh, abang keduanya dia sendiri yang membunuhnya. Tinggallah dia dijaga oleh adik perempuannnya yang menjadi balu akibat suaminya dibunuh oleh Michael juga. Mengikut pangarah filem itu Francis Ford Coppola, ia ingin menunjukkan Michael atau Godfather hidup kesaorangan sehingga akhir hayatnya.
Tetapi akibat pengaruh duit, beberapa tahun kemudian pengarah yang sama telah mengarahkan satu lagi episod filem Godfather di mana Michael Corleone telah berbaik semula dengan bekas isteri (yang sudah berkahwin lain) dan anak-anaknya.
Tanpa mengambil kira filem terakhir itu, begitulah nasib yang menimpa seorang kawan saya yang saya lawati semalam. Dia tinggal kesaorangan setelah isteri dan anak-anaknya meninggalkannya. Seperti Godfather ia juga dijaga oleh seorang adik perempuannya, cuma bezanya adik perempuan ini masih beresuami. Satu perbezaan lagi ialah ia balik ke kampung tempat tumpah darahnya. Dia ingin menghabiskan sisa-sisa hidupnya di sini, katanya. Istana yang dibina dengan isteri dan anak-anaknya di bandar sedang dalam proses untuk dijual.
Teringat juga saya kata-kata Godfather asal Vito Corleone iaitu ayah kepada Michael dalam filem Godfather pertama 'A man who does not spend time with his family is not a real man'. Ia bermakna lebih kurang 'Seorang lelaki yang tidak mengambil masa untuk bersama keluarganya bukan lelaki sebenar'. Saya tidak tahu sama ada kawan saya ini mengambil masa bersama keluarganya atau tidak sebelum ini. Tetapi sah tidak sekarang, walau pun bukan kehendaknya..
Cuma saya harapkan apa yang berlaku dalam filem The Godfather Part III akan berlaku padanya, iaitu ia berbaik semula dengan isteri dan anak-anaknya.
No comments:
Post a Comment