Seorang veteran tentera Singapura memakai pakaian penuh beserta pingat semasa pengekebumian sahabatnya di Makam Perwira Port Dickson.
Bila saya dilantik menjadi Setiausaha kepada NGO saya sekarang salah satu tugas saya ialah menulis surat kepada semua ahli jawatankuasa. Saya dapati di belakang nama mereka terdapat nama-nama pingat yang dianugerah oleh Yang Di Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu. Ada seorang tu mempunyai enam pingat serta bergelar Dato'. Kesemua mereka yang Islam juga mempunyai gelaran Haji atau Hajjah.
Memikirkan nama-nama pingat ini menyemak, saya membuangnya dan hanya menyimpan nama gelaran Dato', Haji dan Hajjah sahaja. Tetapi saya tetap tidak meletak gelaran Haji di depan dan nama pingat di belakang nama saya.
Saya terus ditegur melalui telefon oleh seorang penerima surat dan di mesyuarat pertama saya meminta maaf kerana menghilangkan pingat mereka. Sejak itu saya mengekalkan nama-nama pingat mereka tetapi mengekalkan nama saya tanpa apa-apa gelaran.
Itu satu contoh begitu sensitifnya orang kita mengenai pingat. Bukan saja sensitif mengenai pingat, tetapi sensitif terhadap penerimaannya. Saya masih ingat semasa saya menerima pingat dari Yang Di Pertuan Agong pada tahun 2003 isteri saya Salmah cukup teruja dan menempah pakaian khas untuk pergi ke Istana Negara. Mujur juga sebagai pegawai kerajaan saya mendapat pakaian percuma.
Tetapi walau pun kita sensitif terhadap pingat yang kita dapat, kita tidak sensitif terhadap pingat yang orang lain dapat. Contohnya baru-baru ini seorang yang digelar Dato' M (untuk Muda kerana umurnya cuma 32 tahun) disahkan oleh polis sebagai ketua kumpulan gangster. Ini selepas dia ditembak mati. Kenapa tidak ada orang lain termasuk yang sama-sama bergelar Dato' membantah sebelum itu. Juga tidak ada yang datang memulangkan pingat-pingat mereka seperti cerita saya seterusnya.
Pada bulan Mei tahun 1965 keempat-empat ahli kumpulan The Beatles dianugerah pingat M.B.E. oleh Ratu Elizabeth. Tiba-tiba ramailah rakyat Britain yang sudah menerima pingat tersebut membantah, sehingga ada diantara mereka pergi ke Istana Buckingham dan memulangkannya.
Mereka terasa dikecilkan kerana diletak setaraf dengan 'budak-budak' tak bersekolah tinggi itu. Ini ditambah lagi dengan cerita yang The Beatles sendiri tidak memohon untuk pingat tersebut dan tidak tahu menahu akan nilainya. Ada juga cerita menyebut yang kumpulan itu menghisap ganja dalam tandas Istana Buckingham semasa menerima pingat mereka.
Dalam kes The Beatles M.B.E. mereka yang membantah itu salah sebenarnya. Kebanyakan mereka itu sudah berumur dan sudah tentu tidak meminati lagu-lagu The Beatles di masa itu. Lagu-lagu 'Yesterday' dan 'Something' belum ada. Peminat The Beatles yang digelar Beatlemaniacs adalah remaja belaka. Ini termasuk saya yang berumur 15 tahun di tahun itu.
Tahun 1965 pula ialah tahun terakhir fasa pertama The Beatles di mana mereka masih membuat pertunjukan dan tema lagu mereka pula bersekitar tentang cinta. Selepas itu The Beatles memasuki fasa kedua mereka dengan tidak lagi membuat pertunjukan dan mengeluarkan lagu-lagu lebih serious dan tidak sekitar bertema cinta. Ini bermakna jika mereka dianugerah M.B.E. pada tahun 1967 sudah tentu tiada yang membantah.
Ini dibuktikan bila Paul McCartney menerima anugerah bergelar 'Sir' yang sama tarafnya dengan 'Tun' di Malaysia pada tahun 1997 tidak ada yang membantah.
Ini dibuktikan bila Paul McCartney menerima anugerah bergelar 'Sir' yang sama tarafnya dengan 'Tun' di Malaysia pada tahun 1997 tidak ada yang membantah.
No comments:
Post a Comment