Friday, December 9, 2016

Perpindahan yang menyusahkan


Saya telah berpindah syarikat telefon bimbit (telco) sebanyak dua kali tetapi dengan menggunakan nombor yang sama. Perpindahan yang pertama tidak memberi apa-apa masalah. Tetapi perpindahan yang kedua cukup membengangkan saya.

Masalah bermula bila saya cuba nak 'top-up' duit dalam telefon bimbit saya. Seperti biasa saya ingin membayar melalui perbankan internet. Tetapi bila sampai ke bahagian memasukkan nombor TAC (maaf saya tak tahu apa makna TAC) transaksi tergantung. Jenuh saya menunggu nombor TAC dihantar ke telefon saya tapi tak sampai-sampai. Sama juga kesnya bila saya hendak membayar bil melalui perbankan internet.

Saya pun menalipon syarikat telco yang baru dan jawapannya saya dikehendaki memberitahu pihak bank. Saya pun menalipon bank dan diberitahu saya  kena masukkan nombor telefon baru di mesin ATM walau pun nombornya adalah sama dengan nombor lama dan berdaftar dengan bank. Saya pun pergi ke mesin-mesin ATM di mana saya ada akaun dan memasukkan semula nombor telefon.

Sekali lagi saya gagal membuat apa-apa perbankan internet. Sekali lagi saya menalipon telco dan diberitahu saya kena memberitahu pihak bank bahawa saya telah bertukar telco telefon. Saya pun berbuat demiukian.

Saya hairan kenapa saya kena memberitahu mana-mana pihak bahawa saya sudah menukar telco telefon. Sekarang bila kita mengisi apa-apa borang biasanya kita dikehendaki memberi nombor telefon. Belum pernah saya nampak borang menghendaki kita memberitahu apa telco yang kita guna. Jadi saya tidak faham kenapa syarat ini diperlukan untuk perbankan internet.

Tetapi walau pun sudah mematuhi arahan-arahan yang menyusahkan itu hingga sekarang saya belum boleh membuat apa-apa perbankan internet. Syukurlah saya belum ada bil-bil yang tertunggak yang boleh menyebabkan apa-apa perkhidmatan dipotong.

Oleh itu nasihat saya kepada pembaca jika hendak menukar telco telefon fikir dua kali dahulu. 

No comments: