Friday, August 2, 2013

Ternyata tindakan saya betul!


Di Pilihanraya Umum ke-11 (PRU11) tahun 2004 dulu saya bertugas sebagai Ketua Tempat Mengundi (KTM) di Saluran 1. Saluran ini mempunyai bilangan pengundi paling kurang dari saluran-saluran lain. Tetapi KTM di saluran 1 di sini diberi tanggungjawab mengawal pusat mengundi kesuluruhannya.

Beberapa minit pusat mengundi dibuka saya dengar dan lihat sedikit kekecohan di Saluran 2. Barisan pengundi beratur lebih panjang dari saluran-saluran lain dan sudah tentu pengundi bersungut. KTM di saluran ini, seorang guru perempuan yang tidak ada pengalaman mengendalikan proses mengundi kelihatan panik. 

Ekoran itu saya langgar sedikit peraturan yang digariskan oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dengan membiarkan pengundi beratur dari luar bilik mengundi sehingga ke meja kerani mengundi pertama. Tujuan saya ialah memendekkan tempoh layanan antara pengundi. Bila barisan di luar boleh dikawal barulah pengundi beratur di luar bilik mengundi sahaja. Tindakan sepontan saya itu terbukti berjaya kerana kitaran pengundi didapati lebih cepat.   

Petang tadi saya ke Pejabat Pos yang paling hampir dengan rumah saya untuk membaharui cukai jalan kereta saya. Di situ saya diberitahu Pejabat Pos tidak 'online' dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan saya terpaksa membayar cukai jalan di sana. 

Apabila sampai di JPJ Seremban saya diberitahu tidak payah menggunakan nombor giliran untuk membayar cukai jalan, tetapi terpaksa beratur di dua kaunter khas untuk tujuan tersebut. Mula-mula timbul juga perasaan marah saya kerana terpaksa berdiri sambil beratur. Lebih-lebih lagi di bulan puasa ini. 

Tetapi setelah sama-sama berdiri beratur dengan pelanggan-pelanggan lain saya dapati tindakan JPJ itu adalah bijak. Dengan pelanggan berdiri sambil beratur tempoh layanan antara kami dapat dipendekkan. Dari itu lebih ramai pelanggan dapat dilayan dari keadaan biasa.

Jadi ternyatalah tindakan yang seakan-akan sama saya lakukan sembilan tahun yang lalu betul.  

No comments: