Semasa saya bersekolah menengah dulu di sebuah sekolah berasrama penuh kami diwajibkan untuk bersolat Jumaat di masjid pekan di mana sekolah kami terletak. Masjid itu mempunyai dua imam, seorang muda dan seorang tua. Yang muda membaca ayat-ayat yang pendek dengan cepat. Dari itu solat kami juga selesai dengan cepat.. Tetapi yang tua membaca ayat-ayat yang panjang dengan perlahan dan sudah tentu solat selesai agak lewat.
Hal imam tua membaca ayat-ayat panjang dengan perlahan menjadi topik yang sering dibincang oleh kami. Dipendekkan kata, kami tidak selesa berimamkan imam yang tua itu. Mungkin pakar-pakar agama akan berkata lebih panjang solat lebih banyak pahalanya. Tetapi sudah menjadi tabiat semula jadi bahawa orang-orang muda kurang sabar sifatnya. Dari itu timbul sebutan dalam bahasa Inggeris 'The young and restless' atau 'Yang muda dan gelisah'.
Kenapa anak-anak muda suka kepada lagu-lagu pop, tidak kira rock atau rentak lain?. Kerana lagu-lagunya bertempo cepat dan ringkas. Saya tidak tahu mengenai lagu-lagu sekarang kerana saya tidak mengikuti perkembangannya. Tetapi di zaman remaja saya dulu lagu-lagu pop cuma lebih kurang 2.5 minit panjangnya. Stesen-stesen radio pun tidak menyiarkan lagu-lagu pop yang melebehi 4 minit.
Tetapi kadang-kadang ada juga lagu-lagu yang panjang, contohnya lagu 'Hey Jude' nyanyian The Beatles dan 'Child in Time' nyanyian Deep Purple. Penyanyi tempatan kita A Ramlie juga ada menyanyikan satu lagu yang panjang dahulu, tetapi saya lupa namanya. Dalam kes ini cuma lagu-lagu panjang dari penyanyi atau kunpulan yang sudah popular sahaja yang disiarkan di radio. Jika tidak peminat boleh mendengarnya dengan membeli rekod atau CD.
Lagu-lagu Hindustan yang keluar di radio sebenarnya sudah dipendekkan atau 'abridged'. Di zaman saya dulu ada dua versi lagu rekod lagu Hindustan yang dijual. Versi asal dari filem dan panjang didapati di rekod Long Play atau LP dan versi pendek melalui rekod Extended Play atau EP. Lagu-lagu versi EP inilah yang dimainkan di radio.
Sekarang ini sering dibangkitkan hal ana-anak muda kita yang kurang minat untuk datang solat berjemaah di masjid dan surau. Pada pendapat saya faktor imam membaca ayat pendek atau panjang semasa solat menjadi salah satu sebabnya, melainkan jika anak-anak muda diwajibkan datang. Jika para remaja suka mendengar lagu-lagu pop yang pendek dan cepat temponya, begitu juga mereka suka berimamkan imam yang suka membaca ayat-ayat pendek dengan cepat.
Tetapi apabila imam itu sudah popular dan sudah ramai remaja yang datang ke masjid dan surau dia bolehlah sekali sekala membaca ayat-ayat yang panjang seperti lagu 'Hey Jude' dan 'Child in Time' itu.
No comments:
Post a Comment