Tuesday, August 27, 2013

Langit tidak selalu cerah.

Saya tidak bermaksud mengaibkan orang yang saya maksudkan di bawah ini, cuma sekadar menjadi pengajaran kepada kita semua.

Semalam saya menerima satu berita agak sedih dari seorang saudara saya. Dia akan berpindah ke satu pusat jagaan orang-orang tua, petang itu juga katanya. Dalam beberapa bulan ini dia telah berpindah randah beberapa kali. Dari itu saya ragu-ragu sama ada dia akan kekal di rumah barunya ini. 

Ia bermula beberapa bulan dulu bila dia memberitahu akan berpindah dari rumah sewanya di Kuala Lumpur ke Seremban. Tetapi dalam perjalanannya sekeluarga ke Seremban dia mendapat tahu rumah yang hendak disewanya telah disewa orang lain. Oleh itu dia berpatah balik dan mendapat sebuah rumah sewa di Banting, Selangor. Dia seolah-oleh gembira berada di situ dan ada menghantar beberapa gambar rumah barunya untuk tatapan ramai, termasuk saya.

Tidak sampai beberapa bulan dia memberitahu sudah berpisah dengan isterinya dan sekarang duduk dengan seorang dari anak-anaknya di Seremban. Dia juga sempat memberitahu kenapa dia berpisah dengan isterinya itu. 

Itu perpisahanya kali ketiga. Dia telah berkahwin dua kali sebelum itu yang juga berakhir dengan perceraian. Dia mempunyai beberapa orang anak dari ketiga-tiga bekas isterinya. Satu fakta yang menyedihkan lagi ialah ia telah lumpuh separuh badan beberapa tahun yang lalu akibat angin ahmar. Tetapi dia boleh bertutur dengan baik dan boleh menggunakan komputer.

Di Seremban di mana dia tinggal dengan anak isteri pertama, dia diberi kereta oleh anaknya dengan isteri kedua dia dijaga oleh anaknya dengan isteri ketiga. Anak isteri ketiga itu sambil menjaganya juga menghantarnya dengan kereta ke mana-mana dia hendak pergi. 

Saya ingat peraturan itu sudah cukup baik baginya, di mana tiga orang anaknya dari tiga bekas isterinya terlibat menjaganya yang sudah bertaraf OKU. Tetapi tidak, di bulan Ramadan baru-baru ini saya diberitahu dia sudah berpindah ke Rawang, Selangor dan tinggal dengan seorang tukang urut lelaki. Tukang urut itu pula tinggal seorang diri selama ini dan tinggallah mereka berdua sahaja dalam satu rumah. Kata saudara saya ini lagi anak dengan isteri ketiga itu tidak mahu menjaganya lagi dan kereta itu pun sudah diambil balik oleh tuannya.

Tidak sampai dua minggu saya menerima berita lagi darinya. Katanya anak-anaknya telah membawanya balik ke Seremban. Tinggallah dia sekali lagi dengan anak dengan isteri pertamanya. Tetapi kali ini keadaan sudah berubah. Kereta serta pemandu dan penjaga dirinya sudah tiada lagi. Dalam lain perkataan dia kena lebih berdikari.

Kemudian tibalah berita yang saya terima semalam. Saudara saya ini akan berpindah lagi. Malah semasa saya menulis ini dia telah pun mengharungi malam pertamanya di  pusat jagaan itu.    

Bagi kita orang Melayu dan Islam menghantar orang tua kita ke pusat jagaan orang tua ialah pilihan terakhir. Itu sebab saya kata pada mula tadi berita pemergian saudara saya ini ke pusat itu merupakan satu berita sedih.

Tetapi jika dikaji semula mungkin sudah terdapat jawapannya. Saudara saya ini sudah berkahwin beberapa kali dan mendapat anak-anak dari tiap-tiap isterinya. Sudah tentu ada anak-anak yang tidak menerima kasih sayang seorang ayah darinya. Mungkin sekarang ada diantara anak-anak itu yang berkata 'Dia tidak jaga aku dulu, macam mana aku nak jaga dia?'

Oleh itu pembaca sekalian diharap mendapat pengajaran dari pengalaman saudara saya ini. Jagalah anak-anak kita. Mereka adalah permata yang tidak bernilai bagi kita. Jika kita berselisih faham suami isteri pilihlah jalan yang baik. Anak-anak akan menjadi mangsa bila ayah dan ibu berpisah.

Juga jangan ingat kita akan sihat walafiat setiap masa. Penyakit dan kematian boleh tiba dengan tidak dijangka pada bila-bila masa. Di lain perkataan langit tidak selalu cerah.

No comments: