Saturday, August 31, 2013

Filem Hollywood pun banyak yang 'FAIL'


Saya ialah seorang peminat filem. Saya mempuyai koleksi beratus DVD, ada yang original dan ada yang cetak rompak, kebanyakannya filem Inggeris dan tiap-tiap satu filem Hindustan dan Brazil. Tetapi saya tidak ada satu pun DVD filem Melayu dan terus terang saya nyatakan semenjak pemergian P Ramlee saya hilang minat pada filem-filem Melayu.  

Semalam saya menerima gambar di atas yang menunjukkan kecacatan pada filem 'Tanda Putera' arahan Shuhaimi Baba. Tujuan orang yang mengatur gambar-gambar dalam gambar itu dan  menyebarkannya sudah jelas, iaitu ingin menjatuhkan filem itu. Ia ingin menjatuhkan satu usaha orang Melayu. Saya tidak akan menonton filem itu dan tidak akan menyentuh tentang kontroversi yang menyelubunginya, tetapi saya rasa terpanggil untuk mempertahankannya dari serangan dan kutukan seperti dalam gambar-gambar itu.

Membuat filem yang bukan menunjukkan keadaan semasa bukan senang. Dalam bahasa Inggeris filem seperti ini disebut 'Period movies' iaitu filem yang menunjukkan tempoh yang sudah berlalu. Contoh yang paling senang ialah filem yang menunjukkan Perang Dunia Kedua yang terjadi lebih setengah abad dahulu.

Untukt tujuan itu model senjata, kereta kebal, kapal terbang, keretapi dan sebagainya hendaklah menunjukkan keadaan semasa perang tersebut. Pakaian dan fesyen rambut pelakonnya juga hendaklah melambangkan tempoh yang sama.

Tetapi teliti punya teliti kesilapan atau kecacatan tetap ada. Malah filem Hollywood yang memenangi beberapa Oscar termasuk 'Best Film' pun ada cacatnya. Contoh di filem The Godfather yang dianugerah 'Best Film' untuk tahun 1972 ada ternampak orang berpakaian 'hippie' dengan seluar 'bell-bottom' sedangkan kedua-duanya belum ada semasa 'period' yang ditunjukkan dalam filem itu iaitu tahun 1947.   

Di dalam satu episod filem Star Wars yang ditulis pada awal pada setiap filem sebagai 'A long time ago in a place far far away.....' ada pelakon menggunakan telefon bimbit model semasa filem dibuat. Dalam filem The Good, the Bad and the Ugly, Clint Eastwood menggunakan pistol yang dicipta selepas 'American Civil War' sedangkan filem itu menunjukkan 'period' perang tersebut.

Ada juga kecacatan disengajakan untuk tujuan tertentu, termasuk memburukkan negara kita Malaysia. Dalam filem Entrapment walau pun ditunjukkan menara KLCC, tetapi ia ditunjuk berada dalam sebuah kampung. Pelakon utamanya Sean Connery menyewa hotel murah tidak ada hawa dingin sedangkan karaktornya ialah seorang pencuri yang mengumpul berjuta setiap kecurian. Sedangkan sebagai James Bond, Connery menyewa hotel lima bintang siap dengan casino dan kolam renang. Apa di Malaysia tidak ada hotel lima bintang ke?

Bercakap mengenai James Bond mengapa ia tidak tua-tua sedangkan sudah berada di filem sejak tahun 1962? Kereta Aston Martin yang dipakainya sejak filem Goldfinger (tahun 1964) baharu sahaja diletupkan dalam filem terakhirnya Skyfall (tahun 2012).

Dari itu nasihat saya kepada pengarah dan penerbit filem-filem Melayu jangan putus asa terhadap serangan dan kutukan seperti gambar di atas. Kalau filem tuan-tuan dan puan-puan dianggap 'FAIL' kerana kecacatan yang digambarkan, filem Hollywood pun banyak yang 'FAIL' juga.

No comments: