Friday, May 2, 2014

Di pasaraya pun nak mementingkan diri.


Konsep pasaraya atau 'supermarket' telah sampai ke negara kita berpuluh tahun yang lalu. Selari dengan kepesatan penduduk di bandar sudah tentu mereka juga berada di bandar-bandar sehingga di bandar-bandar bukan sahaja ada 'supermarket' tetapi juga apa yang dipanggil 'hypermarket'.

Pasaraya sudah tentu membunuh perniagaan kedai-kedai runcit di bandar-bandar. Sekarang cuma terdapat kedai-kedai runcit di pinggir bandar dan di bandar-bandar kecil. Jika sesiapa hendak membuka sebuah kedai runcit berdekatan dengan mana-mana pasaraya ia seperti membunuh diri sendiri.

Kelebihan pasaraya ialah boleh dikatakan apa-apa keperluan sebuah rumah daripada ikan bilis, sayur-sayuran, perabot dan alat-alat elektrik terdapat di dalamnya. Kita tidak payah mencari dari satu kedai ke satu kedai untuk keperluann tersebut.

Pelanggan juga disediakan dengan kemudahan tempat letak kereta, ada yang berbayar dan ada yang percuma. Semasa membeli belah 'trolley' dan bakul juga disediakan.

Tetapi walau bagaimana banyak kemudahan pun yang disediakan sungutan yang selalu diluahkan oleh pelanggan ialah mereka terpaksa beratur semasa membayar dikaunter. Ada yang terpaksa beratur lama dan ada juga yang sekejap sahaja.

Di sinilah kebanyakan pasaraya menyediakan dua jenis kaunter bayaran. Jenis pertama kaunter untuk barang yang tidak terhad jumlahnya. Yang kedua pula untuk jumlah barang yang terhad, biasanya yang jumlahnya kurang dari sepuluh. Kaunter kedua sering dipanggil 'kaunter ekspres'. Ada juga pihak berkuasa negeri yang mensyaratkan pengasingan kaunter untuk lelaki dan perempuan.

Di sinilah saya perhatikan masih ramai yang tidak faham akan perbezaan kaunter ini. Ada yang hanya membeli dua tiga barang tetapi pergi ke kaunter tidak terhad, sedangkan mereka akan cepat menyelesaikan bayaran jika pergi ke kaunter ekspres.  

Tetapi yang selalu membengangkan saya ialah mereka dengan trolley penuh pergi ke kaunter ekspres. Itu yang berlaku tengah hari tadi di satu pasaraya di Seremban. Saya yang hanya membeli lima jenis barang di halang pada mulanya oleh seorang dengan trolley penuh di kaunter ekspres. Dia selamba sahaja menunggu di kaunter ekspres sedangkan beberapa notis terpampang di depan matanya. Mujur juga saya cepat-cepat pergi ke kaunter biasa.

Apabilla gilirannya tiga untuk membayar ia telah ditegur oleh juruwang di kaunter tersebut. Terjadilah perbalahan antara mereka. Itu sahaja sudah cukup mengambil masa. Kerana giliran saya belum sampai di kaunter saya pun sempat mengambil gambar di atas. Agaknya terdapat lebih tiga puluh barang dalam trolleynya.

Syukurlah juruwang di kaunter itu mengamalkan polisi pelanggan selalunya betul atau 'the customer is always right'.

Sekian.   


No comments: