Sunday, April 13, 2014

Mungkinkah apa yang dia cakap itu betul?

Saya pernah naik bas dua tingkat ini dari Seremban ke Kuala Lumpur.

Semasa perjalanan dengan bas dari Seremban ke Bahau hampir tiga minggu lepas saya duduk di kerusi paling hadapan dan berborak dengan pemandu bas. Apabila nampak sebuah bas dua tingkat saya kata saya suka naik bas begitu. Dia pula menjawab sebagai pemandu dia tidak suka membawa bas dua tingkat. 

Bila ditanya kenapa, jawapannya ialah pemandu bas dua tingkat seperti burung terkurung dalam sangkar, tidak seperti keadaan kami sekarang di mana pemandu boleh berborak dengan penumpang. Katanya lagi penumpang bas dua tingkat tidak dapat melihat apa yang sedang dilakukan oleh pemandu. 

Mnurutnya kemalangan bas ekpsress disebabkan sama ada kesilapan pemandu atau masalah mekanikal bas. Jika bas itu terbabas sudah tentu kerana kesilapan pemandu. Kesilapan paling utama ialah pemandu tertidur semasa memandu. Jika pemandu itu memandu bas satu tingkat, besar kemungkinan ada penumpang yang tidak tidur dapat memerhatikan gelagat pemandu dan boleh menegurnya jika didapati pemandu hilang kawalan bas kerana mengantuk, umpamanya

Tetapi dalam bas ekspres dua tingkat lain keadaannya. Penumpang tidak nampak pemandu dan pemandu pun tidak nampak penumpang. Jika pemandu mengantuk dan tidak dapat mengawal bas tidak ada penumpang yang boleh menegur.

Jika bas bertembung dengan kenderaan lain barulah ia boleh dikategori sebagai masalah teknikal, seperti brek rosak.

Malam tadi saya tengok di TV berita dan gambar sebuah bas ekspres dua tingkat terbalik di Bentong, Pahang menyebabkan tiga kematian. Oleh kerana kamalangan itu tidak melibatkan kenderaan lain, bolehlah dikategorikan sebagai kesilapan pemandu.

Mungkinkah apa yang dicakapkan oleh pemandu bas yang saya naiki itu betul, iaitu kemalangan itu berlaku kerana penumpang bas dua tingkat itu tidak dapat berkomunikasi dengan pemandu dan tidak dapat menegur gelagatnya?

No comments: