Wednesday, April 9, 2014

"I no speak English"




Bila saya mula-mula mengenal huruf masa kecil-kecil dulu susunan huruf yang mula-mula saya lihat ialah LIM, PENUMPANG dan PASSENGERS. Ia tertera di bas yang melalui kampung saya di Jelebu, Negeri Sembilan. LIM tertulis besar di badan bas. PENUMPANG dan PASSENGERS terpampang di atas tingkap dalam bas setelah satu jumlah nombor yang saya tidak ingat.

Apabila saya masuk sekolah barulah saya tahu LIM ialah nama syarikat bas itu (sudah tutup sekarang). Nombor yang ditulis sebelum PENUMPANG dan PASSENGERS memberitahu had penumpang yang boleh menaiki bas setiap masa. Apabila saya mula-mula belajar Bahasa Inggeris antara perkara yang mula-mula diajar oleh cikgu ialah perbezaan antara 'single' dengan 'plural'. Fahamlah saya kenapa PENUMPANG diterjemah kepada PASSENGERS dalam bas dan bukan PASSENGER. Jika tidak bas itu hanya boleh membawa seorang penumpang setiap masa. Kalau begitu tiada siapa yang sanggup membuka syarikat bas.  

Itu lebih setengah abad dulu, sebelum negara kita Merdeka. Sekurang-kurangnya di masa itu Bahasa Inggeris ditulis dengan nahu yang betul. Jadi tidak hairanlah setelah 56 tahun Merdeka, setelah tamat sekolah dan setelah bersara dari kerja saya terkejut apabila mendapati ada orang yang tidak tahu menulis Bahasa Inggeris dengan nahu yang betul. Contohnya ialah gambar-gambar yang saya ambil sendiri di atas. Itu bukan gambar-gambar 'copy and paste' yang banyak dibuat oleh orang sekarang.  

Gambar pertama saya ambil dari bot yang saya naiki di Sungai Melaka baru-baru ini. Ada lebih kurang 20 bot semuanya yang melalui apa yang disebut Melaka River Cruise dan setiap bot ada membawa notis 40 PASSENGER itu. Cuba bayangkan berapa ribu pelancong dari luar negara yang sudah menaiki bot-bot Melaka River Cruise tersebut dan sudah tentu mereka ketawa terhadap kebodohan kita dalam menulis satu sebutan yang paling senang dalam Bahasa Inggeris. 

Gambar kedua saya ambil di luar satu tandas di Kelantan lebih seminggu lepas. Dari apa yang saya fahamkan tandas itu dikhaskan kepada seorang Perempuan yang bernama Girl. Orang lain tak boleh masuk. Makcik-makcik, nenek-nenek dan Datin-Datin tak boleh. Girl saja yang boleh.

Beberapa tahun dulu Kerajaan Negeri Sembilan membina sebuah kolam renang berhampiran rumah saya di Paroi, Seremban. Pada mulanya kolam renang itu dikelola oleh Majlis Sukan Negeri. Antara notis yang diletakkan di dinding kolam ialah NO JUMP untuk DILARANG TERJUN. Apabila kolam renang itu diserahkan kepada pejabat saya Majlis Perbandaran Seremban barulah notis itu diubah kepada NO DIVING oleh boss saya yang tahu Bahasa Inggeris.

Soalannya mengapa penulis notis-notis tersebut tidak bertanya lebih dari sekali sebelum mencetaknya? Adakah taraf Bahasa Inggeris kita sekarang terlalu rendah? 

Jika setakat menyebut "I no speak English" bila ditanya oleh seorang Mat Salleh boleh dimaafkan. Tetapi menterjemah 40 PENUMPANG kepada 40 PASSENGER dan Perempuan kepada Girl tidak boleh dimaafkan.

1 comment:

Abdul Hamid Hussin said...

Semata2 kerana kekurangan prihatin di semua peringkat pengurusan dan pelaksana.....tidak penting kan ke ketpatan maklumat.....kita kata: "Melepaskan batok di tangga" sahaja. kalau mahu Negara menjadi maju semua hal - kecil besar- perlukan penelitian....baru boleh di panggil MAJU