Friday, May 9, 2014

Berdepan dengan si 'kurang manis'.

Dua hari lepas saya diarahkan oleh 'boss' saya untuk pergi ke satu jabatan kerajaan untuk menyelesaikan masalah 'pertubuhan' kami yang telah diberi surat tunjuk sebab mengapa ia tidak boleh dibatalkan pendaftarannya. Pembaca boleh mengagak jabatan apa yang saya maksudkan, oleh itu tidak payahlah saya mendedahkannya secara rasmi di sini.

'Kesalahan' kami sedikit sahaja, iaitu tidak memasukkan butir-butir 'pertubuhan' secara 'online'. Memikirkan saya ni tahu sedikit mikit makna 'online', 'boss' meminta saya untuk menyelesaikannya. Sambil itu dia hantar nombor rujukan surat tunjuk sebab itu melalui SMS kepada saya. 

Saya pun pergi ke pejabat kerajaan itu. Cuma ada seorang perempuan muda Melayu yang melanggan tetamu di kaunter. Walau pun dia cantik tanggapan pertama saya apabila melihatnya ialah dia tidak patut berada dikaunter. Ini kerana dia tidak 'manis', meminjam sebutan Allahyarham P Ramlee. Walau bagaimana pun saya berharap agar layanannya tidak seperti raut wajahnya.

Harapan saya itu terbukti salah. Cara dia melayan pelanggan-pelanggan yang sedia ada di situ ternyata tidak 'manis'. Saya berkata begitu kerana sekurang-kurangnya saya biasa dilayan di kaunter-kaunter lain, baik di jabatan kerajaan atau swasta  secara 'manis'.

Dari pengalaman saya bila berdepan dengan orang bersifat begini tidak guna kita memandai-mandai. Ia hanya akan mendedahkan kebodohan kita. Oleh itu saya cuma meminta dia memberikan satu salinan surat tunjuk sebab tersebut dengan menunjukkan SMS yang saya terima dari 'boss' saya itu. Setelah mendapat satu salinan surat itu saya pun balik.

Pagi esoknya saya pun berbincang dengan 'boss' saya mengenai surat tersebut. Sambil cuba menyelesaikan masalah yang kami hadapi, saya juga harus bersedia untuk berdepan dengan si 'kurang manis' pada petangnya.     

Syukurlah dengan persediaan yang ada pada saya baik dalam kepala dan juga di tangan dalam bentuk 'software' dan 'hardware' saya dapat menyelesaikan separuh daripada masalah 'pertubuhan' kami. Betullah sangkaan 'boss' saya yang saya ini tahu sedikit mikit makna 'online'. Akibatnya 'pertubuhan' kami boleh berjalan seperti biasa. 

Sebenarnya di pejabat saya dulu ramai juga si 'kurang manis' diletakkan di kaunter untuk melayan tetamu. Sehingga ada pelanggan yang mengadu kepada saya kenapa kakitangan yang bersikap seperti itu diletakkan di kaunter. Mereka sepatutnya diletakkan di setor atau bilik-bilik fail. 

Tetapi itulah lumrahnya jabatan-jabatan kerajaan. Masih banyak jabatan kerajaan yang beranggapan 'Kami berkuasa, kamu dengar cakap kami. Budi bicara kamilah hendak letak siapa di kaunter'. Polisi 'pelanggan selalu betul' atau 'the customer is always right' tak main bagi mereka.  

2 comments:

Abdul Hamid Hussin said...

Pegawai Kerajaan tak patut berpendirian yg dia boleh letakkan sesiapa sahaja di kaunter tanpa memikirkan kesesuaian individu itu.....itu dah lapuk....dulu punya festen.....sekarang pelanggan2 Kerajaan ramai yg canggih2 dan berpengetahuan tinggi....jadi pihak Kerajaan mesti bersedia memberikan perkhidmatan yg sesuai kepada pelanggan mereka dan memilih petugas2 yg berwibawa....zaman sudah berubah........

Taib Ahmad said...

Sebaiknya lantik mereka yg telah mendapat latihan secukupnya untuk berada di kaunter. Mereka yg terbaik di kaunter dapat membina imej terbaik kepada organisasi. Salam sejahtera.