Thursday, March 21, 2013

Helikopter maut.



Inilah gambar helikopter kawalan jauh sebelum ia jatuh dan membunuh seorang kanak-kanak.

Beberapa hari lepas seorang kawan saya meminta saya datang ke Kompleks Belia dan Sukan, Paroi, Seremban, Negeri Sembilan untuk mengambil gambar perasmian Padang Bolasepak Sintetik oleh Y.A.B. Menteri Besar, Negeri Sembilan. Masanya ialah jam 8.30 malam 20 Mac 2013. Saya pun bersetuju menerima pelawaan itu.

Semasa hendak pergi isteri saya Salmah berpesan supaya balik segera kerana dia merasa tidak sedap badan. Saya pun merasa bimbang juga, seolah-olah sesuatu akan terjadi kepada salah seorang dari kami. Saya pun pergi menaiki skuter saya tetapi dengan berhati-hati.

Biasalah perasmian bermula dengan perarakan orang-orang kenamaan atau VIP diiringi paluan kompang. Kemudian ucapan aluan-aluan oleh juruacara majlis diikuti dengan bacaan doa dan ucapan-acapan. Semasa ucapan demi ucapan sedang dilaungkan saya sempat merayau dan ternampak dua buah van ambulans diletakkan di tepi padang. Pemandunya siap sedia untuk dipanggil bertugas jika perlu. 

Selesai sahaja ucapan perasmian bermulalah pertunjukan roket dan bunga api. Dua roket dilepaskan dari satu pentas di tengah padang dan menuju kepada dua kumpulan belon yang tergantung di kiri kanan pentas VIP. Salah satu kumpulan belon cuma berada beberapa meter dari tempat saya berdiri memegang kamera. Saya berfikir jika roket itu tersasar sedikit kenalah saya. Saya tidak terfikir ada benda lain akan tersasar selepas itu.

Selepas pertunjukan bunga api dan roket datanglah dua helikopter kawalan jauh sepanjang satu meter tiap-tiap satu. Mereka berada cuma beberapa meter di hadapan saya dan tugas mereka ialah mengibarkan kain rentang yang tertulis beberapa slogan. Helikopter pertama berjaya membentangkan kain rentangnya dan saya sempat mengambil gambar helikopter ini.

Tetapi helikopter kedua terjatuh kain rentangnya sebelum hilang kawalan. Saya juga sempat mengambil gambar helikopter ini seperti di atas. Kemudian saya nampak sedikit keadaan kelam kabut diikuti dengan beberapa orang menjerit. Saya menjangka salah satu helikopter telah jatuh dan menimpa seseorang.

Kemudian saya nampak sekumpulan orang berlari ke arah di mana ambulans diletakkan diikuti dengan bunyi siren. Sudah tentu sesiapa yang terkena helikopter tadi sedang dibawa ke hospital. Untuk menepati janji saya dengan isteri saya terus balik ke rumah selepas itu.

Alangkah terperanjatnya saya pagi tadi apabila terbaca berita bahawa mangsa yang terkena helikopter kawalan radio pada malam tadi telah meninggal dunia. Mangsa ialah seorang kanak-kanak berumur 18 bulan. Saya tidak dapat bayangkan perasaan keluarga mangsa sekarang.

Saya memang minat terhadap permainan kawalan jauh. Malah saya pernah mempunyai beberapa buah 'helikopter' sebelum ini, tetapi semua sudah jatuh terhempas. Atas nasihat pekedai yang menjual helikopter kepada saya dahulu, saya cuma bermain kereta kawalan jauh sekarang. Kereta tidak akan jatuh terhempas, katanya. Cuma 'kereta' saya telah tercabut tayarnya beberapa kali akibat terlanggar tembok. Saya juga bermain layang-layang untuk menghilangkan rasa bosan.

Apabila saya nampak dua buah helikopter tiba-tiba muncul malam tadi saya sudah terasa bimbang terhadap bahayanya. Saya masih ingat satu dari helikopter saya hilang kawalan dibawa angin dan akhirnya terjatuh ke dalam kolam berhampiran rumah saya. Cuba bayangkan jika ia jatuh kepada kanak-kanak yang tiap-tiap hari bermain bola di padang di hadapan rumah saya ini?

Saya tidak tahu mengapa penganjur kepada acara perasmian Padang Bolasepak Sintetik itu tidak terfikir akan bahaya menggunakan 'helikopter' di waktu malam berhampiran dengan beratus dan mungkin beribu penonton? Sedangkan membawa helikopter sebenar di waktu malam pun menjadi satu masalah. Cubalah tanya kepada mereka yang biasa memandu helikopter.

Sekian.

No comments: