Saturday, March 16, 2013

Kisah lelaki yang mahu merampas jandanya yang telah bersuami baru.

Seorang kawan saya menyamakan tuntutan 'Sultan Sulu' terhadap Sabah seperti seorang lelaki yang menuntut bekas isterinya yang telah berkahwin dengan orang lain supaya kembali kepadanya. Tidak cukup dengan pujuk rayu si suami cuba menggunakan kekerasan.

Lelaki yang dimaksudkan ialah 'Sultan Sulu'. Bekas isterinya ialah Negeri Sabah. Suami terkini kepada perempuan itu ialah Kerajaan Malaysia. Sebelum Kerajaan Malaysia berkahwin dengan Negeri Sabah dan menjadikannya isteri yang ke tiga belas, negeri itu sudah diceraikan oleh 'Sultan Sulu'. Ini bermakna suami baru ini kahwin dengan seorang janda, jadi tidak timbul soal rampas merampas.

Dalam pada itu suami asal telah ditawan oleh satu kuasa besar iaitu Kerajaan Filipina. Jadilah dia seperti jatuh dirimpa tangga. Isteri yang kaya raya diceraikan, sekarang diri sendiri menjadi hamba abdi kepada orang lain. Tetapi sebagai langkah belas kesihan, suami baru membayar bayaran tahunan kepada suami asal.

Tuan baru kepada suami asal pernah menuntut isteri yang sudah bersuami baru itu. Tetapi setelah mendapati pasangan itu berkahwin dengan cara sah, tuntutan digugurkan. 

Setelah hampir lima puluh tahun pasangan baru itu mendirikan rumah tangga (walau pun si isteri bermadu dengan dua belas isteri yang lain) tiba-tiba suami asal muncul menceroboh rumah pasangan dan menuntut supaya janda lamanya kembali ke pangkuannya. Alasannya suami baru itu  hanya 'menyewa' isterinya dengan bayaran tahunan. Kali ini dia hendak membatalkan sewaan dengan menuntut kembali haknya sepenuh masa. 

Cuma orang bodoh sahaja akan berfikir suami baru akan melepaskan isterinya kepada sesiapa, walau pun kepada suami asal. 

Sekian.

No comments: