Tuesday, March 5, 2013

Tentu ada pihak lain yang menjadi perancangnya.



Tidak adil rasanya jika saya tidak menulis sesuatu mengenai situasi di Sabah sekarang, Tetapi saya ingin memberi pandangan dari perspektif lain.

Setiap tahun saya memang menunggu ketibaan bulan Mac. Ini kerana saya terpaksa majukan tarikh di jam tangan analog saya sebanyak tiga hari di tahun-tahun biasa dan dua hari di tahun lompat. Cuma semasa saya pernah menggunakan jam tangan digital saya tidak perlu berbuat apa-apa.

Tetapi saya memasuki bulan Mac pada tahun ini dengan menerima berita kurang gembira. Dua pegawai dan anggota polis negara kita telah terkorban di Sabah. Dua hari lepas enam lagi pegawai dan anggota polis kita telah terkorban.

Semasa Malaysia ditubuhkan pada tahun 1963 saya bersekolah di di Tingkatan 1. Indonesia melalui Presiden Sukarno menuntut Sarawak dan Filipina pula melalui Presiden Macapagal menuntut Sabah. Tuntutan Filipina berasas semata-mata Sabah pernah menjadi jajahan kesultanan Sulu dan Sulu sekarang menjadi sebahagian dari Filipina.

Jika ada pihak yang ingin menuntut Sabah, yang paling layak ialah kerajaan Filipina sendiri, bukan sesiapa yang menjadi warganegaranya, walaupun yang mengaku dirinya 'Sultan' sekali pun. Kerana apabila satu-satu negara menjadi 'Republik' kuasa raja atau sultan terhapus dengan sendiri. Contohnya di India dan Indonesia.

Saya difahamkan kerajaan Filipina telah menggugurkan tuntutan mereka terhadap Sabah. Jadi kenapa pula seorang yang mengaku dirinya Sultan Sulu menceroboh ke Sabah dan menuntutnya sebagai harta keturunannya sekarang?

Di dalam filem The Godfather Part III ada satu adegan di mana ketua-ketua Mafia bermesyuarat di atas bumbung bangunan. Semasa mesyuarat hendak bermula seorang gangster berpangkat rendah telah bertelagah dengan Godfather dan meninggalkan mesyuarat. Kemudian datang satu helikopter melepaskan tembakan kepada mereka yang tinggal. Kebanyakan ketua-ketua Mafia terbunuh, tetapi Godfather terselamat.

Sudah tentu mereka yang selamat memikirkan bahawa gangster berpangkat rendah itu yang merancang pembunuhan itu. Tetapi tidak Godfather. Godfather berfikir bahawa gangster tersebut tidak mempunyai otak sebijak itu untuk merancang satu pembunuhan beramai-ramai meggunakan helikopter. Gangster itu cuma menjadi alat pembunuhan itu. Perancangnya ialah orang lain dan sangkaan Godfather akhirnya didapati betul.

Begitulah dalam fikiran saya sekarang. Saya tidak fikir orang yang memanggil dirinya Sultan Sulu itu merancang pencerobohan lengkap dengan tentera bersenjata itu. Tentu ada pihak lain yang menjadi perancangnya.   

No comments: