Monday, March 11, 2013

Mereka tidak belajar dari sejarah ke?

Sejarah di zaman moden ini menunjukkan pencerobohan sebuah negara oleh pihak luar, sama ada penceroboh itu sebuah negara lain atau sekumpulan manusia yang terpesong otaknya, tidak akan berjaya. Lihat sahaja kepada negara Iraq. Negara itu tidak mungkin jadi hancur lebur seperti sekarang jika Saddam Hussin tidak membuat tindakan bodoh menceroboh Kuwait pada tahun 1990. Sama ada Kuwait berjaya mengusir penceroboh dengan pertolongan negara-negara lain adalah soalan kedua. 

Mungkin President George W Bush sengaja mengada-adakan cerita kononnya Iraq mempunyai 'Weapons of Mass Destruction' untuk menceroboh Iraq pula, tetapi semua itu bermula dari pencerobohan Iraq terhadap Kuwait sebelumnya.

Sebelumnya pada tahun 1979 pula Soviet Union atau USSR pula menceroboh Afghanistan. Mereka juga akhirnya balik melopong pada tahun 1989. Soviet Union sendiri kemudianya berpecah menjadi Russian Federation, Ukraine dan sebagainya. 

Pada tahun 1982 pula Argentina menceroboh pulau-pulau Falklands yang cuma berada beratus kilometer dari negaranya. Falklands ialah jajahan Great Britain dan pemimpin-pemimpin Argentina yang membuat keputusan menceroboh Falklands dan menamakannya Malvinas tidak terfikir yang Great Britain akan menyeberangi setengah dunia ini untuk mengambil semula hak mereka.

Tetapi itulah yang dilakukan oleh Great Britain yang dipimpin oleh Perdana Menteri Margaret Tatcher semasa itu. Puan Tatcher yang digelar 'Iron Lady' atau Wanita Besi telah menunjukkan kekentalannya dengan menghantar bala tenteranya untuk menawan semula pulau-pulau Falklands. Seperti di Kuwait, sama ada Britain dibantu oleh sekutu baiknya Amerika Syarikat adalah perkara kedua.

Mungkin ramai yang tidak tahu ada sentuhan Malaysia dalam penawanan semula Falklands oleh tentera British dari Argentina. Pertama komander tentera darat British semasa peperangan dengan Argentina itu ialah General Jeremy Moore yang pernah bertugas menentang komunis di Malaya dan Sawarak dari tahun 1950 hingga 1965. Sudah tentu pengalamannya di Malaysia digunakan di sana.

Sentuhan kedua ialah kegunaan helikopter Sea King sebagai pengangkut tentera. Dari namanya helikopter itu biasanya digunakan di laut. Cuma Malaysia di antara beberapa negara yang menggunakannya sebagai pengangkut tentera di darat dan di sini ia dinamakan Nuri. 

Helikopter pengangkut tentera di peperangan Falklands ialah Chinook tetapi kapal yang membawanya telah rosak dibom oleh pihak Argentina beserta dengan muatan sekali. Oleh itu tentera British terpaksa menggunakan Sea King mereka sebagai helikopter pengangkut tentera seperti dilakukan di Malaysia.

Hasil Falklands tidak ada apa pun jika dibandingkan dengan hasil bumi Sabah. Tetapi demi kedaulatan negara tuan punyanya sanggup menyeberang setengah dunia untuk menuntut semula haknya. Sudah tentu orang yang tidak berakal sahaja yang memikirkan para pemimpin negara kita tidak akan berani mengusir penceroboh yang cuba mangambil Sabah dari negara kita.

Atau penceroboh itu tidak belajar dari sejarah.
          

No comments: