Saturday, October 19, 2013

Bila kuantiti mengatasi kualiti


Semasa saya masih di bangku sekolah rendah di kampung dulu ada sebatang pokok mangga rendang berdiri di tepi sungai dan berada beberapa meter sahaja dari sekolah. Tuan punya pokok mangga ini tidak marah jika kami budak-budak sekolah memetik buah mangganya dengan syarat kami tidak dibenarkan memanjat pokoknya. 

Saya bukanlah pakar tentang pokok buah-buahan dan apabila pindah ke rumah saya sekarang yang berupa rumah kedua saya miliki saya pun menanam beberapa pokok buah-buahan di dalam dan di luar kawasan rumah. Antaranya ialah sepokok mangga yang saya tanam di bahu jalan tanpa mengetahui apa jenisnya dan apakah bentuk dan saiz buahnya nanti, jika ia berbuah.

Setelah ia mengeluarkan hanya berpuluh buah buat kali pertama baharu saya sedar mangga ini sama jenisnya dengan mangga dekat sekolah rendah saya dulu. Purata besar buahnya sama dengan saiz telur ayam. Bila ia berbuah untuk kali kedua dan ketiga jumlah buah yang dikeluarkan berpuluh juga dan bilangan ini terlalu kecil untuk dikongsi dengan jiran-jiran dan saudara mara.

Tetapi bila dia berbuah buat kali keempat baru-baru ini jumlah buah yang dikeluarkan beratus banyaknya. Oleh kerana saya sekeluarga tidak sanggup memakannya sendiri saya pun memutuskan untuk memberi buah-buahnya kepada jiran-jiran. Baru saya sedar tidak sia-sia saya menanam pokok mangga yang kualiti buahnya tidak berapa. Malah saya merasa pokok mangga saya ini mempunyai kelebihan dari pokok-pokok mangga lain. Antaranya seperti berikut:

  1. Buahnya tidak berulat. Ekoran itu saya tidak perlu membalutnya. Agaknya serangga-serangga terbang seperti lalat buah pandai memlilih buah untuk meletakkan telurnya dan akhirnya meneruskan generasi mereka. Buah-buah mangga saya terlalu kecil bagi mereka untuk tujuan tersebut.
  2. Kerana buahnya ringan ia tidak rosak atau pecah apabila gugur. Oleh itu tidak payahlah saya sering menggunakan galah untuk menjoloknya.
  3. Oleh kerana kuantitinya yang banyak orang yang lalu lalang tidak segan-segan untuk memohon merasa buahnya. Kepada budak-budak saya katakan petik sahaja buah-buahnya, tetapi jangan dipanjat pokoknya. Jika mangga saya dari jenis berkualiti tinggi tetapi berbuah sedikit tentu mereka ini segan untuk meminta-minta. Saya pun tentu berfikir dua kali untuk memberi mereka,
Begitulah bila kuantiti mengatasi kualiti.

No comments: