Saturday, October 12, 2013

Bila artis menyembunyikan perkahwinan mereka.

John Lennon dengan isteri Cynthia dan anak mereka Julian.

Sekarang ini heboh kisah dua artis Malaysia Aeril Zafril dan Wawa Zainal yang baru mengaku sudah berkahwin dan mempunyai anak sedangkan pada mulanya mereka cuba menyembunyikan status mereka. Cerita artis Malaysia cuba menyembunyikan status perkahwinan mereka bukan perkara baru. Saya terbaca semasa kegemilangan muzik tahun enam puluhan (yang sering disalah sebut sebagai Pop Yeh Yeh) ada seorang penyanyi mengaku bujang bila ditanya di TV. Yang sedihnya isterinya sama menonton program TV tersebut.

Pada pendapat saya artis bertaraf dunia paling terkenal yang cuba menyembunyikan status perkahwinannya pada awal popularitinya ialah penyanyi dan ketua kumpulan The Beatles, mendiang John Lennon. John sudah berkahwin dan mempunyai anak semasa The Beatles merekodkan lagu pertama mereka Love Me Do pada tahun 1963.

Untuk berlaku adil kepada John Lennon, bukanlah kehendaknya menyembunyikan status kekeluargaannya. Tetapi itu adalah kehendak pengurus The Beatles, Brian Epstein seorang Yahudi yang banyak menukar imej kumpulan itu. Contohnya dari berpakaian tidak seragam kepada yang seragam. Dia juga ingin anak-anak buahnya dikenali sebagai 'Four boys from Liverpool, England', bukan 'Three boys and one man.....'

Bimbang populariti kumpulan yang diurusnya terjejas, Brian Epstein cuba 'menyorok' isteri John, Cynthia dan anak mereka Julian dari pandangan umum. Contohnya Cynthia tidak boleh berkereta atau dilihat bersama John semasa The Beatles mengelilingi dunia. Para pemberita juga yang sentiasa lapar akan cerita-cerita The Beatles untuk dilaporkan telah diberi 'amaran' oleh Brian Epstein supaya tidak menanya akan status tidak bujang John Lennon berbanding kawan-kawannya.

Tetapi akhirnya status John Lennon itu tidak boleh disorok lagi. Populariti The Beatles pula sudah tidak boleh digugat oleh status bujang atau tidaknya mereka. John Lennon kemudian dikenali pula sebagai 'the married Beatle'. Kemudian apabila John Lennon menyintai perempuan lain iaitu Yoko Ono semasa masih berkahwin dengan Cynthia, para peminat tidak kisah lagi. Cuma ramai dari mereka menyalahkan Yoko yang menyebabkan kumpulan hebat itu berpecah.

Lain pula kisahnya dengan seorang lagi ahli The Beatles iaitu Paul McCartney yang juga rakan mencipa lagu John Lennon. Sejak munculnya The Beatles para peminat tahu dia mempunyai teman wanita 'steady' bernama Jane Asher. Peminat tidak kisah tentang perkara ini dan mereka ingin mereka berkahwin akhirnya. Tetapi itu tidak jadi dan Paul kemudian berkahwin dengan seorang janda berbangsa Amerika yang lebih tua darinya, Linda Eastman. Tetapi di masa itu populariti The Beatles sudah memuncak dan Brian Epstein pun sudah meninggal dunia.

Sekian.  

No comments: