Thursday, October 10, 2013

Kalau tak diundang janganlah pergi.



Di masa mengaturkan kenduri kahwin anak pertama saya dulu, saya dan isteri telah memutuskan untuk menjamu makanan melalui katerer makanan. Semasa perbincangan saya sempat bertanya kepada katerer tidak kah dia bimbang tentang kekurangan makanan dan sebagainya. Saya bertanya begitu kerana bimbang jika berlaku kecacatan begitu, yang mendapat malu ialah tuan rumah.

Dia menjawab tidak bimbang terhadap perkara itu kerana formulanya senang sahaja iaitu dia akan menyediakan makanan dua kali jumlah kad jemputan yang dikeluarkan. Ini berasaskan setiap jemputan akan datang berpasangan. Katannya lagi dia cuma bimbang apabila diminta menyediakan makanan untuk satu organisasi yang tidak payah saya namakan di sini. Sebagai katerer dia tidak percaya kepada jumlah kepala yang dijangka datang makan di mana-mana majlis kumpulan ini. Setiap kali jumlah yang datang makan melebihi jumlah yang ditempah. Ini kerana mereka yang tidak diundang pun tanpa segan dan silu datang untuk majlis kumpulan ini. 

Alhamdulillah sudah tiga kali saya mengadakan kenduri kahwin anak-anak saya menggunakan khidmat katerer makanan tanpa apa-apa kecacatan.

Kemudian baru-baru ini timbul cerita satu kedai makan di Kelantan mengenakan caj berlebihan kepada satu kumpulan. Jika membaca sebelah pihak seolah-olah benar kedai itu mengenakan bayaran yang melampau. Tetapi setelah mendengar penjelasan dari pihak kedai makan sendiri, ceritanya adalah jelas.

Sama seperti kes katerer makanan yang saya sebut itu, kes di sini adalah sama sahaja, iaitu jumlah yang datang makan melebehi jumlah yang dijanji. Tidak cukup dengan itu, ada yang membungkus makanan untuk dibawa balik. Oleh itu pihak kedai makan terpaksalah mengenakan bayaran dengan mengira tetamu yang tidak diundang itu.

Saya sendiri pernah mengalami situasi yang sama. Saya diajak oleh seorang kawan untuk menghadiri satu majlis yang diakhiri dengan jamuan makan. Jelas makanan tidak mencukupi dan dilicinkan dengan sekelip mata. Kemudian saya berfikir agaknya ramai tetamu yang tidak diundang hadir untuk majlis itu, termasuk kawan yang megajak saya itu.

Kadang-kadang saya hairan kenapa perkara begini berlaku diantara kita orang Islam. Bukankah kita tahu bahawa hadir ke majlis dimana kita tidak diundang adalah salah, melainkan terjadi bencana seperti kematian.
Saya diberitahu juga haram bagi kita makan apa-apa makanan dimajlis di mana kita tidak didundang.

Saya pernah beberapa kali hadir di acara seperti sukan di mana saya diberi kertas kecil jemputan ke majlis jamuan setelah acara yang saya dijemput pada awalnya itu selesai. Ini bermakna tidak semua yang hadir di majlis utama itu dijemput makan dan minum. Tetapi ada juga yang berfikir 'kalau dia boleh dijemput makan kenapa aku tidak?' Agaknya inilah yang ada dalam kepala tetamu yang tidak diundang itu.

Tetapi bagi saya kalau tidak diundang janganlah pergi.

No comments: