Thursday, February 7, 2013

Syaitan tidak berjaya mempengaruhi aku.



Jika sebelum ini dengan tidak berbuat apa-apa aku mungkin merosakkan satu majlis dan ekorannya mengecewakan beberapa orang, semalam aku nyaris mengecewakan seorang dengan membuat satu tindakan sekelip mata.

Tidak sampai seminggu lepas aku nyaris merosakkan majlis resepsi perkahwinan anak perempuan adik iparku. Itu mungkin terjadi jika aku tidak menghalau seekor kucing yang sedang  hendak menerpa makanan di meja pengantin yang langsung tidak ada penjaganya. Kuasa Allah menggerakkan aku berada tepat pada masa dan tempatnya. Sila baca pos aku sebelum ini untuk cerita lebih lanjut.

Petang semalam pula aku nyaris mengecewakan seorang pula jika syaitan berjaya mempengaruhi aku. Aku berehat bersama isteri di sebuah hotel di Port Dickson. Perkataan bercuti tidak boleh digunakan kerana aku memang bercuti tujuh hari seminggu. Kebetulan anak bongsuku belajar di sana dan dia pun sama-sama menumpang di bilik kami. Dialah yang paling seronok sehingga membawa kawan-kawannya bersama berenang di kolam hotel. 

Petang semalam untuk memberi isteriku, anak bongsu dan kawan-kawannya tidak diganggu dengan kehadiran seorang lelaki iaitu aku sendiri, aku memilih untuk berehat di lobi hotel. Sudah menjadi kebiasaan bagiku apabila menginap di mana-mana hotel, aku mesti mengambil masa untuk berehat di lobi. Macam-macam jenis dan perangai manusia boleh dijumpai di lobi hotel. 

Bila sahaja aku duduk di satu kerusi di lobi itu aku nampak satu telefon bimbit terletak di atas meja. Tuan punya telefon entah ke mana. Aku pun membuka 'Tab' aku dan melayar internet yang memang kuat signalnya di lobi hotel. Sambil itu ramai pekerja dan tetamu hotel lalu lalang di hadapan aku. 

Telefon itu telefon pintar yang sama jenamanya dengan telefon aku, cuma modelnya antara yang termahal sedang model telefon aku antara yang termurah. Oleh itu jika aku ambil aku tidak perlu membeli pengecas baterinya. Aku pun tunggu sehingga tuannya datang mengambil. Sambil itu aku sama-sama meletakkan telefon bimbitku di atas meja. 

Hampir satu jam aku menunggu tuannya tidak datang menuntut. Juga telefon itu tidak berdering. Aku pun memberanikan diri memegangnya dan mendapati ia tidak 'dikunci'. Ini bermakna aku boleh terus menggunakan semua aplikasnya. Aku pergi ke log panggilan dan mendapati tuan punya banyak membuat dan menerima panggilan dari pegawai-pegawai polis. Tertera nama-nama serta pangkat pegawai-pegawai polis di skrinnya. Aku memang terbaca ada taklimat pilihanraya untuk polis sedang berlangsung di hotel itu. Sudah tentu tuan punya telefon sedang mendengar atau memberi taklimat.

Sejak bersara ini aku jarang-jarang memanggil atau menerima panggilan telefon. Untuk melayari internet di jalanan aku sudah ada 'Tab'. Untuk mengambil gambar aku mempunyai handicam dan DSLR. Oleh itu jika telefon itu aku ambil ia tidak akan berguna sangat untukku.

Kemudian aku terfikir di pihak tuan punya pula. Mungkin telefon diberi oleh jabatan yang boleh menggantikannya. Mungkin dia tidak bermasalah untuk menggantikannya sendiri. Tetapi yang mahal ialah apa yang ada dalam telefon. Dia mungkin menyimpan gambar-gambar yang belum dipindah ke komputer atau alat penyimpan data lain. Dia mungkin tidak merekodkan nombor-nombor telefon kenalan, ahli keluarga dan kawan-kawannya ke tempat lain. Mungkin banyak lagi data-data penting dan rahsia disimpan dalam telefon itu. 

Ekoran itu aku terus pergi ke kaunter resepsi hotel dan menunjukkan kepada kakitangan di situ telefon bimbit yang tertinggal di atas meja itu. Aku juga memberitahu mereka ia dipunyai oleh seorang pegawai polis yang sedang mendengar atau memberi ceramah pilihanraya di salah satu bilik ceramah di situ.

Aku tidak berganjak sehingga seorang kakitangan hotel memberitahu telefon bimbit itu telah diserahkan kepada tuannya. 

Syaitan tidak berjaya mempengaruhi aku.



  

No comments: