Tuesday, February 19, 2013

Pengajaran dari Pasar Tani

Mereka juga cari makan di Pasar Tani

Sejak bersara ini sudah menjadi rutin bagi saya dan isteri untuk pergi seminggu sekali ke satu Pasar Tani di Bandar Baru Ampangan, Seremban untuk membeli keperluan dapur dan lain-lain. Sebelum itu saya sering juga ke Pasar Tani itu tetapi dalam kapasiti lain. Saya dulu bekerja di Majlis Perbandaran Seremban, jadi lawatan saya ke Pasar Tani itu ialah untuk menguatkuasakan undang-undang. Sekarang saya ke sana semata-mata sebagai pelanggan pula.

Dulu semasa tinggal di Taman Paroi Jaya sudah menjadi kebiasaan isteri saya pula untuk pergi ke Pasar Tani di tempat letak kereta Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi yang cuma terletak beratus meter dari rumah kami. Sebenarnya sayalah yang mencadangkan supaya satu Pasar Tani ditempatkan di tempat letak kereta stadium setelah melihat situasi yang sama di Johor Bahru, Johor. Di Paroi saya biarkan isteri saya pergi kesaorangan kerana bimbang kehadiran saya akan bercanggah dengan tugas saya. 

Saya perhatikan biasanya di Pasar Tani pasangan suami isteri membeli bersama-sama. Tetapi tidak bagi kami. Saya biarkan isteri saya bebas membeli apa dia fikirkan perlu dan saya pula membuat yang sama, walau pun pernah mengakitbatkan kami membeli barang yang sama. 

Yang peliknya tumpuan saya ialah kepada peniaga-peniaga yang 'menempel' di Pasar Tani. Mereka tidak layak menjual di Pasar Tani kerana barang-barang yang dijual bukan hasil tani tempatan, contohnya lampu suluh, bateri dan parang. Oleh itu mereka menjual di kawasan luar dari Pasar Tani. Barangan yang dijual betul-betul murah, contohnya 2 bateri saiz AAA dari jenama terkenal cuma berharga RM 1.00 sedangkan di pasar raya harganya tidak kurang dari RM 3.00.

Selain jualan ada juga peniaga Pasar Tani memberi khidmat. Seorang penjual anak-anak pokok dan baja dengan senang hati memberi nasihat percuma tentang penjagaan pokok. Pagi tadi saya sempat berbual dengan seorang penjual dan pembaik jam di situ. Katanya dia mewarisi kerja-kerja membaiki jam dari datuknya. Apabila ditanya seterusnya dia menyatakan mempunyai dua rumah. Rumah pertamanya berhampiran dengan dengan rumah saya sekarang dan disewakan. Dia tinggal di rumah kedua di taman bersebelahan.    

No comments: