Sejak Lebuhraya Kajang Seremban atau LEKAS dibuka aku tidak lagi menggunakan Lebuhraya Utara Selatan atau PLUS untuk ke Kuala Lumpur dan kawasan berdekatan. Aku tinggal di Sikamat, Seremban dan LEKAS tu cuma beratus meter di belakang rumahku. Kalau ke PLUS aku kena tempuh kesesakan lalulintas di Bandar Seremban. Kalau ke LEKAS cuma sesak sedikit hendak keluar dari Jalan Temiang ke Jalan Tun Dr. Ismaiil. Untuk elakkan sesak di Jalan Temiang aku selalu ikut Jalan Mutucumaru di hadapan Penjara Seremban ke Jalan Tun. Dr. Ismail dan seterusnya masuk ke LEKAS melalui Persimpangan Setul.
Aku ada dengar desas desus pihak berkuasa hendak membina satu lagi persimpangan di Ulu Temiang, satu kawasan direntasi oleh LEKAS. Kalau cadangan ini menjadi, lagi dekatlah perjalanan aku ke LEKAS. Sudahlah lagi dekat, tidak sesak lagi kerana jalan ke Ulu Temiang ialah jalan mati. Tepatlah tempat itu dipanggil Ulu Temiang.
Jadi semangat aku naik sedikit malam tadi apabila melihat di Facebook bahawa Menteri Besar Negeri Sembilan baru sahaja melakukan upacara pecah tanah untuk persimpangan baru itu. Aku pula ada seorang kawan berbangsa Cina tinggal di Ulu Temiang. Mungkin dia tahu di mana persimpangan ini hendak dibina, jadi aku pun terus menaliponnya.
Bila aku tanya saja, dia terus menjawab "Itu semua wayang". Aku tau kawan aku ini anti kerajaan dari dulu lagi. Tetapi ini tidak menghalang kami berkawan. Kami menghormati antara satu dengan lain walau pun kami kadang-kadang berlainan pendapat.
Tetapi bila dia berkata "Itu semua wayang" aku rasa tercabar juga. Aku terus jawab itu bukan wayang tapi realiti. Kalau projek persimpangan baru itu satu wayang sudah tentu LEKAS, PLUS dan Lebuhraya Seremban Port Dickson juga wayang belaka. Sedangkan wayang itu telah menjadi kenyataan sekarang.
Bukankah persimpangan baru itu akan menyenangkan penduduk Ulu Temiang sepertinya? Mungkin nilai harta di situ juga akan naik. Mungkin perniagaan kawanku ini akan bertambah maju. Mungkin Ulu Temiang tidak layak dipanggil 'Ulu' lagi.
Tetapi itulah realiti di negara kita sekarang. Pihak yang anti kerajaan akan menyatakan apa kerajaan buat semua tidak betul. Semua projek yang sedang dan akan dibuat adalah wayang belaka.
No comments:
Post a Comment