Tuesday, April 2, 2013

Aduhai kawan-kawan facebook ku.



Hari ini saya membaca seorang kawan 'facebook' menulis akan keluar dari laman sosial itu dalam masa 24 jam. Dia tidak memberi sebab-sebabnya. Saya sentiasa berpendapat laman sosial seperti 'facebook' ialah tempat kita berkawan, bukan berlawan. Tidak tahulah saya sama ada kawan saya ini bertindak begitu kerana sebab kedua itu. Ini kerana di hari yang sama (hari ini) saya melihat dua pos di 'facebook' dari dua orang lagi kawan say a yang tidak menyenangkan hati saya. 

Pertama seorang meletakkan berita mengenai seorang 'Datuk Seri' yang dikehendaki Polis untuk memberi keterangan mengenai penceroboh negeri Sabah sekarang. Kemudian diletakkan gambar 'Datuk Seri' itu sedang duduk sebelah Perdana Menteri kita dengan ungkapan 'Tengok siapa kawan dia'.

'Datuk Seri' itu cuma dikehendaki untuk memberi keterangan. Siapa kata dia terlibat dengan pencerobohan itu? Siapa kata dia bersalah? Apa kena mengena gambar dia bersama Perdana Menteri itu?  Adakah dengan 'berkawan' dengan Perdana Menteri dia tidak boleh diusik?

Saya sendiri pernah dipanggil oleh Polis dan Badan Pencegah Rasuah untuk memberi keterangan dalam kes-kes melibatkan orang lain. Adakah dengan hanya menunjukkan gambar saya dengan beberapa VIP mengecualikan saya dari memberi keterangan? Juga dengan hanya dipanggil memberi keterangan tersebut adakah saya dianggap seorang penjenayah atau penerima rasuah? 

Kedua seorang kawan saya meletakkan pos gambar-gambar keretapi dari beberapa negara di dunia unuk dibandingkan dengan keretapi di Malaysia. Keretapi luar negara ialah keretapi laju atau 'bullet trains' sedangkan gambar keretapi di Malaysia yang diletakkan ialah LRT Star Rapid KL. Pos itu seolah-olah memberi gambaran betapa ketinggalannya kita dalam bidang perjalanan dengan rel.

Kenapa bandingkan 'bullet trains' dengan LRT kita? Saya pernah ke Jepun dan menaiki kedua-dua 'bullet train' dan LRT di sana? LRT di Jepun tidak ada bezanya dengan LRT kita. Kenapa tidak bandingkan 'bullet trains' dengan tren ERL antara KLIA dengan KL Sentral? Atau ETS antara Kuala Lumpur dengan Ipoh. Mungkin negara kita tidak perlukan 'bullet trains' (dipanggil Shinkansen di Jepun) kerana lebuhraya kita canggih dan boleh dikatakan setiap keluarga di Malaysia mempunyai kereta..   

Agaknya pos-pos begitulah yang menyebabkan kawan pertama saya itu membuat keputusan keluar dari 'facebook'. 

No comments: