Thursday, April 11, 2013

"Mereka tidak ada satu pun hujah politik lagi"

Dua malam lepas kawan saya  seorang Cina menalipon saya lebih kurang pukul 8.20 malam semasa saya sedang mendengar ceramah di surau. Saya terus menolak panggilannya dan memahami maksud saya, dia menghantar mesej menanya bolehkah saya keluar dengannya nanti. Saya jawab boleh, selepas jam 9 malam. Sambil itu saya sudah meneka apakah tujuannya mengajak saya keluar.

Tepat jam 9 malam dia datang dan saya terus masuk ke keretanya tanpa menukar kain dan baju Melayu. Sangkaan saya benar, dia hendak membawa saya mendengar satu ceramah politik. Saya kata boleh, dengan syarat kita tidak mendengar lama-lama dan kami tidak keluar dari kereta.

Saya sudah membuat keputusan tidak akan membuang masa mendengar mana-mana ceramah politik di pilihanraya umu ke-13 (PRU 13) nanti. Tetapi kerana menjaga hati kawan, saya longgarkan sayarat saya itu.

Kami mendapat tempat yang agak baik kerana boleh melihat penceramah dan mendengar apa yang diceramahnya. Dia sedang membandingkan dua orang yang mungkin menjadi Perdana Menteri nanti, siap dengan gambar mereka sebelah menyebelah di atas skrin besar. Sudah tentu dia memburukan Perdana Menteri sekarang secara peribadi dan memuji-muji Perdana Menteri pilihannya, juga secara peribadi..

Kemudian keluar pula dua gambar lagi, kali ini isteri-isteri kepada calon-calon Perdana Menteri itu. Sekali lagi dia menyerang secara peribadi kepada isteri Perdana Menteri sekarang dan memuji isteri kepada Perdana Menteri pilihannya. 

Tibalah masanya untuk saya bersuara kepada kawan saya ini. Saya terus mengarahkan kawan saya itu untuk kami beredar. Alasan saya senang sahaja, si penceramah ialah seorang bujang yang boleh dikatakan terlajak juga. Mana dia tahu membezakan antara seorang isteri yang baik dengan isteri yang tidak baik?  

Sampai sahaja di rumah saya terus membaca di internet mengenai berita kematian mantan Perdana Menteri Britain, Margaret Tatcher. Saya pergi ke ruang ucapan-ucapannya yang dianggap terbaik. Antaranya ialah "I always cheer up immensely if an attack is particularly wounding, because I think, well, if they attack one personally, it means they have not a single political argument left".  Ia bermakna lebih kurang "Saya selalu ceriakan diri saya sepenuhnya jika sesuatu serangan itu mencederakan, sebab saya fikir, oh, jika mereka menyerang seseorang secara peribadi, ini bermakna mereka tidak ada satu pun hujah politik lagi".

Itulah yang saya dengar di ceramah itu, iaitu serangan secara peribadi. 

No comments: