Saturday, October 23, 2010

Bila pengadil tidak tahu mengadil - Bahagian 2.

SAFARI

Tahunnya ialah 1990 tetapi saya kurang pasti bulan dan tarikh-tarikhnya. Saya menjadi ahli satu kelab fotografi  di Negeri Sembilan dan masih lagi menjadi ahli sehingga sekarang. Kelab menganjurkan satu safari mengelilingi Semenanjung Malaysia selama lima hari empat malam dan saya ditawarkan untuk menyertainya sambil mengetuai satu pasukan. Minyak ditaja oleh Petronas. Tempat tinggal, makan malam dan minuman pagi disediakan. Kami cuma dikehendaki menyediakan kenderaan dan perbelanjaan makan tengah hari.

Saya pun memanjangkan tawaran ini kepada seorang kawan sekerja saya yang menerimanya dengan senang hati. Dia juga menawarkan keretanya. Untuk lebih 'glamour' kami mempelawa dua orang perempuan sepejabat kami yang belum berkahwin di waktu itu. Ini telah menimbulkan tidak kurang gossip di pejabat kami selepas itu.

Tujuan utama safari ialah mengambil gambar-gambar untuk dipertandingkan. Di samping itu beberapa hadiah misteri untuk kumpulan disediakan tetapi kategorinya dirahsiakan. Saya tidak mengharapkan hadiah. Yang penting bagi saya ialah ini satu peluang untuk melihat keindahan negara kita secara percuma. Di samping itu saya dapat lari dari tugas-tugas harian yang kadang-kadang membosankan.

Bukan Muhrim

Dari mula lagi saya perhatikan pasukan-pasukan lain tidak senang dengan kumpulan kami. Ramai mengetahui saya pernah memenangi peraduan 'Treasure Hunt' sebelum ini. Ini ditambah pula dengan pasukan kami terdiri dari lelaki perempuan yang bukan muhrim. Pasukan-pasukan lain terdiri dari semua lelaki atau semua perempuan dan ada juga pasukan terdiri dari ahli-ahli keluarga. Kawan saya pula banyak cakap berbanding dengan saya yang saya fikir pendiam.


HARI PERTAMA

Perjalanan pertama ialah dari Seremban ke Johor Bahru dan kawan saya yang membawa kereta. Apabila bergerak sahaja dari Kompleks Belia dan Sukan Paroi pasukan-pasukan lain berlumba-lumba seolah-olah ini satu 'rally.' Pasukan kami bergerak selamba sahaja dan sempat mengambil gambar-gambar di Linggi, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor. Akibatnya kami antara yang terakhir sampai ke Johor Bahru. Di Johor Bahru kami tidur di asrama Kompleks Belia dan Sukan dan sudah tentu lelaki dan perempuan diasingkan. Kerajaan Negeri Johor memberi kami makan malam percuma di Kompleks tersebut.

HARI KEDUA

Di hari kedua pada esoknya, setelah minum pagi yang juga ditaja oleh Kerajaan Negeri Johor, giliran saya pula membawa kereta sehingga ke Kuala Terengganu melalui Laluan Persekutuan 3. Bagi saya itulah pengalaman membawa kereta paling jauh dalam satu hari. Seperti yang kami setujui bersama, kami bergerak dengan selamba sambil melihat keindahan pantai timur negeri Johor, Pahang dan Terengganu. Apabila tiba waktu solat kami berhenti di mana-mana masjid untuk bersolat. Sambil itu kami sempat juga mengumpat dan bercerita mengenai kawan-kawan dan boss-boss kami di pejabat yang sudah tentu cemburu terhadap kami.

Seperti di hari pertama pasukan kami juga antara yang terakhir sampai ke Kuala Terengganu, kalau tidak yang terakhir. Malamnya kami dijamu oleh Kerajaan Negeri Terengganu di rumah Menteri Besar. Kami kemudian tidur di asrama Kompleks Belia dan Sukan Negeri Terengganu.


HARI KETIGA

Esok paginya di hari ketiga setelah minum pagi yang juga ditaja oleh Kerajaan Negeri Terengganu kami bertolak ke Alor Setar, Kedah. Tiba giliran kawan saya pula membawa kereta. Kami melalui Negeri Kelantan sehingga Pasir Puteh dimana saya pernah bekerja. Kemudian kami berpusing ke kiri ke negeri Perak melalui Machang, Tanah Merah dan Jeli sehingga ke Lebuhraya Timur Barat. Itulah pertama kali saya melalui Lebuhraya tersebut. Di sana saya meminta kawan saya membenarkan saya membawa keretanya untuk seketika, tetapi tidak dibenarkannya. Apa boleh buat, itu kereta dia.

Dari Perak kami  ke Alor Setar melalui pendalaman Negeri Kedah. Sekali lagi pasukan kami antara yang terakhir sampai ke destinasi. Ini membuat saya berfikir adakah mereka yang lain itu berlalu laju tanpa berhenti mengambil gambar atau sekurang-kurangnya menikmati keindahan sekeliling.

Tak ada tempat tidur

Sampai di Kompleks Belia dan Sukan Alor Setar kami diberi berita yang tidak menyenangkan. Kedua-dua kawan perempuan kami disediakan tempat tidur di asrama wanita tetapi kami diberitahu tempat tidur di asrama lelaki sudah habis. Saya dan kawan saya tidak tahu di mana hendak tidur pada malam itu. Sambil itu saya perhatikan satu pasukan  yang terdiri dari satu ahli-ahli keluarga telah mengambil alih surau Kompleks tersebut. Mungkin juga kumpulan-kumpulan lain itu sudah diberitahu dari awal mengenai kemudahan asrama yang terhad. Itu agaknya mereka seperti berlumba dari hari pertama lagi.

Tak mandi seharian

Pada malamnya pula kami menjadi tetamu makan malam yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Perlis di Kangar. Dalam perjalanan ke Kangar, semasa makan malam di sana dan semasa balik ke Alor Setar fikiran saya tidak lain dari memikirkan di mana hendak tidur pada malam itu. Ini ditambah lagi saya dan kawan saya belum lagi mandi semenjak meninggalkan Kuala Terengganu pada paginya. Bekalan elektrik yang terputus di tempat kami diraikan di Kangar menambahkan otak saya jadi lagi bengang. Saya sampai terlupa di bangunan mana kami makan malam di Kangar.

Apabila balik ke Alor Setar peserta-peserta lain masuk ke bilik asrama masing-masing dan satu kumpulan keluarga tadi masuk ke surau yang mereka sudah tawan. Yang tinggal ialah saya, kawan saya dan beberapa ahli jawatankuasa safari yang terpaksa mengalah kepada ahli-ahli lain.

Kemudian saya mendapat satu idea dan berjumpa dengan pegawai yang menjaga Kompleks tersebut. Saya tanyakan adakah dia menyimpan dua bantal, dua cadar dan dua selimut tambahan. Jawapannya positif. Kemudian saya tanyakan bolehkah saya tidur di dewan besar. Jawapannya 'Terpulangkah kepada Encik.'

Tidur di bilik tidur terbesar didunia

Saya pun terus memanggil kawan saya dan kami mengikuti pegawai tadi untuk mendapatkan bantal, cadar dan selimut dari setornya. Dalam perjalanan ke dewan besar kami terserempak dengan ahli-ahli jawatankuasa yang sedang berbincang. Saya nyatakan kepada mereka bahawa saya sudah mendapat tempat tidur di dewan besar. Mereka pada mulanya melarang saya sambil berkata mereka sedang berbincang untuk mencari tempat tidur. Saya menjawab berbincanglah tetapi tolaklah kami berdua dari perbincangan mereka.

Setelah mandi dan bersolat kami pun terus tidur di atas lantai 'bilik tidur terbesar di dunia' iaitu dewan besar Kompleks Belia dan Sukan Alor Setar, Kedah. Kerana keletihan, marah dan otak bengang saya tidak sedar diri sehingga Subuh hari esoknya.

Mereka tiru kami

Apabila bangun pada Subuh esoknya di hari keempat saya sekali lagi terkejut. Ini kerana saya lihat di kiri kanan saya terbaring ahli-ahli jawatankuasa penganjur safari yang juga sedang tidur di 'bilik tidur terbesar di dunia.' Saya tidak sedar bila mereka datang masuk tidur. Tetapi ini memberi sedikit kepuasan kepada saya. Kebanyakan mereka ini  bersikap dingin terhadap pasukan saya tetapi sekarang mereka meniru kami pula. 


HARI KEEMPAT

Setelah minum pagi yang saya tidak pasti anjuran siapa kami pun bertolak ke Ipoh untuk persinggahan kami yang terakhir. Giliran saya pula membawa kereta. Kesemua kumpulan safari menyimpang ke Pulau Pinang melainkan kumpulan kami. Saya menyatakan kebimbangan mungkin tidak sempat untuk mengikuti program yang sudah diatur untuk kami di Ipoh iaitu makan malam di rumah Menteri Besar Perak.

Tersekat di kesesakan jalanraya

Jangkaan saya benar kerana di utara Perak kami telah terperangkap di satu kesesakan lalulintas yang teruk. Ini kerana ada kerja-kerja pembaikan jalan di Laluan Persekutuan 1. Di waktu itu Lebuhraya Utara Selatan belum siap sepenuhnya. Saya nyatakan kepada kawan-kawan bahawa kita telah membuat keputusan bijak dengan tidak menyimpang ke Pulau Pinang. Dengan kebijaksanaan kawan saya membaca peta yang saya bawa bersama kami dapat lari dari kesesakan lalulintas dengan menyusur jalan-jalan negeri, Negeri Perak.

Pertama sampai ke destinasi

Kami sampai ke destinasi iaitu Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR), Ipoh sebelum waktu Asar. Kebetulan safari ini diadakan semasa cuti sekolah bila mana asrama sekolah ini dikosongkan. Jika selama ini kumpulan kami yang paling lewat sampai ke destinasi, kali ini sebaliknya pula. Kumpulan kamilah yang pertama sampai di STAR, Ipoh. Kumpulan lain sama ada masih bersantai di Pulau Pinang atau terperangkap dalam kesesakan lalulintas di utara Perak.

Di STAR, Ipoh kami berehat sambil memikirkan nasib kawan-kawan kami yang lain. Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Ipoh dibina pada tahun 1957 semasa dengan pembinaan sekolah saya Sekolah Dato' Abdul Razak (SDAR), Tanjong Malim, Perak juga. Oleh itu berada dalam asrama STAR yang sama bentuknya dengan asrama SDAR, Tajong Malim menimbulkan nostalgia bagi saya.

Apabila masuk waktu Maghrib barulah kereta-kereta pasukan lain sampai ke STAR, Ipoh. Kerana suasana malam yang gelap ada juga kereta yang tersasul ke hadapan. Oleh itu saya mengarahkan kawan saya untuk meletakkan keretanya di pintu masuk sebagai panduan. Sambil itu kami berempat sama-sama menunggu di luar sambil melambai.

Sampai masanya untuk program di rumah Menteri Besar Perak kami tidak boleh menunggu lagi dan terus ke sana sedangkan ramai lagi kawan-kawa kami yang belum sampai. Kami dapati ada yang terus ke kediaman MB tanpa mandi dan menukar pakaian. Ada juga yang langsung tidak bersama di program malam ini.

Yakin dapat penghargaan

Setelah pengalaman pahit dan manis di Alor Setar dan Ipoh kawan saya dengan yakin menyatakan sudah tentu pasukan kami akan mendapat satu hadiah. Tetapi bagi saya yang sudah lama menjadi ahli kelab ini, sebaliknya pula. Saya cukup kenal dengan perangai dan sikap ahli-ahli jawatankuasa penganjur safari ini. Cuma Pengerusinya mempunyai sikap terbuka dari dahulu hingga sekarang. Keengganan kami untuk bersama-sama ke Pulau Pinang tidak menolong situasi kami. Walau bagaimana pun saya tetap menjadi ahli kelab sampai sekarang semata-mata kerana minat saya terhadap fotografi dam hormat saya kepada Pengerusi kelab.


HARI KELIMA

Di hari kelima dan terakhir giliran kawan saya pula membawa kereta. Kami menyusur Laluan Persekutuan 5 melalui Bota, Teluk Intan, Kuala Selangor dan Kelang dan berakhir di Kompleks Belia dan Sukan Paroi. Sampai sahaja di barisan penamat keputusan untuk hadiah-hadiah misteri pun diumumkan. Antara kategori yang ditandingkan secara misteri ialah pasukan paling berdisiplin, pasukan yang menjaga kenderaan paling bersih dan yang lain-lainnya saya sudah lupa. Jangkaan saya memang tepat kerana pasukan saya tidak memenangi apa-apa hadiah. Ini cukup menghampakan kawan saya.

Dapat hadiah kerana menyusahkan orang?

Tetapi apa yang saya tidak lupa ialah hadiah untuk pasukan paling berdisiplin jatuh kepada pasukan keluarga yang menawan surau Kompleks Belia dan Sukan Alor Setar, Kedah semasa saya, kawan saya dan beberapa ahli jawatankuasa terpaksa tidur di lantai dewan besar. Saya tidak hairan jika pasukan saya tidak memenangi apa-apa hadiah. Tetapi patutkah hadiah diberi kepada satu pasukan yang menyusahkan orang? Tidakkah dengan menjadikan surau sebagai tempat tidur menyusahkan orang lain untuk beribadat? Adakah menyusahkan orang lain beribadat itu satu disiplin yang baik?

Imitation is the best form of flattery

Kawan saya terus merajuk dan tidak mahu lagi menyertai apa-apa program yang dianjur oleh kelab ini. Tapi saya tetap berpuas hari kerana bak kata orang putih 'Imitation is the best form of flattery' atau 'Meniru itu satu bentuk pujian yang paling baik'. 

Pasukan saya telah mendapat pujian terbaik bila urusetia safari meniru saya tidur di Dewan Besar, Kompleks Belia dan Sukan, Alor Setar, Kedah. Biarlah kami tidak menerima apa-apa bentuk hadiah di segi fizikal.

Bersambung...... 

No comments: