Sunday, October 31, 2010

Tahniah, Kelantan.


Tahunnya ialah 1972. Semasa itu saya bekerja di Pasir Puteh, Kelantan. Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu menjadi 'venue' kepada satu perlawanan akhir bolasepak. Piala yang direbut ialah Piala FAM. Piala ini tidak kurang hebat sambutannya walau pun tidak sehebat Piala Malaysia yang tetap hebat sampai sekarang.

Beberapa hari sebelum pertandingan itu, di tempat saya bekerja hebat diceritakan mengenai perlawanan tersebut. Kebetulan pasukan Kelantan berjaya memasuki perlawanan akhir melawan pasukan Selangor. Kawan-kawan saya pun membuat rundingan untuk membeli tiket dan mengatur kenderaan untuk pergi ke Kota Bharu melihat perlawanan tersebut.

Dari situ juga saya mula sedar dengan kegilaan orang Kelantan terhadap bolasepak. Semasa itu beberapa pemain Kelantan telah mencipta nama di bidang bolasepak negara. Antaranya ialah Dali Omar dan Wan Zawawi. 

Pada malam perlawanan akhir itu kuarters kerajaan dalam kawasan tempat saya itu sunyi sedikit. Kawan-kawan saya yang selalunya datang menemani saya di kuarters saya sambil menonton TV pun tiada. Ini disebabkan mereka pergi ke Kota Bharu untuk melihat perlawanan akhir tersebut. Semasa itu perlawanan akhir Piala FAM tidak disiarkan secara langsung di TV.

Apabila mereka balik dengan senyap pada tengah malam saya boleh mengagak akan keputusan perlawanan. Tekaan saya betul kerana pada esoknya di tempat kerja mereka tidak ada cerita lain melainkan meluahkan kekeciwaan kerana pasukan Kelantan kalah kepada pasukan Selangor. Berapa jaringan gol saya tidak ingat. Perbualan mengenai perlawanan itu tidak reda sehingga beberapa hari selepas itu.

Sejak dari itu saya perhatikan tidak kira naik turun pasukan bolasepak mereka, sokongan orang Kelantan terhadap mereka tetap hebat dan konsisten. Ini berbeza dengan sokongan orang Negeri Sembilan kepada pasukan kami. Bila pasukan Negeri Sembilan kalah satu perlawanan, di perlawanan seterusnya di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi longanglah stadium tu. Saya faham sangat, kerana saya pernah tinggal cuma 300 meter dari Stadium itu.

Sokongan orang Kelantan terhadap pasukan bolasepak mereka berbaloi malam tadi apabila pasukan mereka memenangi perlawanan akhir Piala Malaysia mengalahkan Negeri Sembilan. Kalau dikira secara rambang kadar penyokong Kelantan dengan Negeri Sembilan di Stadium Nasianal, Bukit Jalil ialah 70-30. 

Semasa perlawanan fikiran saya berbelah bagi. Walau pun sebagai anak Negeri Sembilan saya menyokong pasukan saya, Kelantan tetap di hati saya. Cuma saya merasa kecewa sedikit kerana DYMM Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V tidak mencemar duli menyampaikan piala.

Tahniah, Kelantan.

No comments: