Sejak bersara ini saya jarang-jarang menerima panggilan telefon, baik di telefon talian tetap di rumah atau pun telefon bimbit. Di samping itu saya juga jarang-jarang membuat panggilan telefon. Oleh itu saya tidak kisah jika telefon bimbit saya menunjukkan kuasa baterinya tinggal setengah, walau pun saya perlu meninggalkan rumah dalam sehari.
Semalam 19 Januari 2013 program saya ialah pergi ke majlis perkahwinan kawan sekolah saya di Semabok, Melaka. Tetapi entah macam mana di malam sebelumnya saya caj bateri telefon bimbit saya sehingga penuh. Lebih kurang jam 11.15 saya dan isteri pun menuju ke Melaka. Anak saya Miza dan suami ada di rumah.
Setelah melalui Lebuhraya PLUS dari Senawang saya keluar di Simpang Empat, Melaka dan melalui Lebuhraya AMJ ke Semabok. Walau pun hujan renyai-renyai perjalanan saya lancar. Tetapi apabila saya berhenti untuk lampu trafik di Cheng telefon saya berbunyi menunjukkan panggilan dari rumah. Jika tidak ada orang di rumah ini bermakna sistem penggera rumah saya berbunyi. Pada seketika itulah dalam ingatan saya. Lepas itu baru saya sedar ini sudah tentu panggilan dari anak saya Miza.
Miza memberitahu 'Tok Teh baru saja meninggal dunia'. Tok Teh ialah panggilan dari anak-anak saya dan sepupu-sepupunya. Cucu-cucu saya pula memanggil Moyang Teh. Isteri saya dan adik beradiknya memanggil Pok Teh iaiatu loghat negeri Melaka untuk Pak Uteh.
Pok Teh ialah adik kandung kepada arwah ibu mertua saya. Walau pun mereka mempunyai adik beradik lain yang sebapa, mereka berdua sahaja yang seibu dan sebapa. Pok Teh pula berkahwin tiga kali. Dengan isteri pertama mempunyai sembilan anak, dengan yang kedua seorang anak dan dengan yang ketiga dua orang anak. Isteri pertama dan kedua Pok Teh telah meninggal dunia. Anak bongsu Pok Teh pula meninggal dunia beberapa tahun yang lalu.
Sejak panggilan dari rumah itu saya dan isteri mula memanggil saudara mara menggunakan telefon bimbit saya untuk memberitahu berita yang baru diterima itu. Di samping itu telefon saya juga sering berbunyi. Walau pun isteri saya juga mempunya telefon bimbit, kreditnya sudah habis dan hanya boleh menerima panggilan.
Saya tetap meneruskan perjalanan ke majlis sahabat sekolah saya, cuma kali ini saya tidak duduk lama seperti biasa. Sudah menjadi kebiasaan saya duduk lama di majlis kahwin anak kawan-kawan sekolah saya untuk berjumpa dengan kawan-kawan lama sambil bergambar. Kali ini saya sempat mengambil satu gambar sahaja.
Sejak kebelakangan ini kesihatan Pok Teh tidak mengizinkan. Dia dimasukkan ke Hospital Port Dickson, Putrajaya dan akhirnya Institut Jantung Negara (IJN). Oleh itu pemergiannya sudah dijangka. Saya dan isteri melawatnya di Port Dickson dan Putrajaya. Pok Teh menghembuskan nafas terakhir di IJN.
Dari Samabok, Melaka saya terus ke rumah Pok Teh di Taman Desa Permai, Port Dickson. Jenazahnya belum sampai lagi, tetapi ini bermakna saya, isteri anak-anak saya Halimi, Miza dan Anis dan cucu-cucu saya Danial dan Fahim merupakan antara sebilangan kecil dari saudara mara Pok Teh yang ramai yang dapat melihat wajahnya kali terakhir.
Saya sempat sama-sama membacakan Tahlil untuk Pok Teh dan kemudian sama-sama solat jenazah untuknya di surau berdekatan rumahnya. Kemudian saya sekeluarga mengiringi jenazahnya untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Port Dickson.
Setelah balik dari makam dan singgah sekejap di rumah Tok Teh saya dan isteri pun bergerak balik ke Seremban beberapa minit sebelum waktu Maghrib.
Beberapa kilometer sebelum sampai ke rumah telefon saya berbunyi lagi. Tapi kali ini ia cuma mesej yang memberitahu bateri hampir habis dan ia kena dicaj semula.
No comments:
Post a Comment