Tengah hari tadi saya membawa cucu-cucu saya Danial dan Fahim untuk membeli baju raya mereka. Sudah menjadi komitmen saya untuk menambah baju raya kepada cucu-cucu saya selain dari yang dibelikan oleh ibu bapa mereka sendiri. Untuk Haziq saya sudah berikan wang kepada mamanya untuk tambahan baju rayanya.
Kebetulan sebelah sekolah Danial tu ada satu pusat membeli belah. Jadi saya, isteri saya Salmah dan Fahim terus sahaja ke sana setelah mengambil Danial dari sekolah. Sedang kami memilih pakaian untuk budak-budak ni tiba-tiba Danial terserempak dengan kawan-kawan sekolahnya yang juga dibelikan baju raya. Bezanya ialah mereka dibawa kesana oleh guru-guru mereka yang diantaranya juga mengajar Danial.
Mengapa mereka dibawa oleh guru-guru dan bukan ibu bapa atau datuk mereka. Jawabnya ialah mereka tergulung dalam golongan murid-murid miskin di sekolah itu. Menurut seorang guru yang masih memakai tag nama Nor Amiza mereka dibelikan baju raya sebagai salah satu program sekolah. Program itu pula dijalankan pada hari ini. Kebetulan pula saya membeli pakaian cucu-cucu saya di tempat dan masa yang sama.
Inilah pertama kali saya mendengar program sekolah seperti ini. Sungguh prihatin sekolah ini. Saya kurang pasti sama ada tabung PIBG digunakan. Kalau digunakan baiklah tu. Ini pun satu jenis kebajikan. Tiba-tiba saya terfikir kenapa sekolah saya dulu tak menjalankan program ini. Kalau tidak tentu saya adik beradik menerima pakaian Hari Raya percuma setiap tahun.
Memang semasa Hari Raya kanak-kanaklah yang paling gembira. Gembira mereka tidak cukup jika tidak memakai pakaian baru. Saya masih ingat lagi dimasa kecil-kecil dulu walau bagaimana susahnya kami emak saya tidak sampai hati melihat kami beraya tanpa pakaian baru. Apabila saya memasuki sekolah menengah emak saya merasa lega sedikit kerana saya dapat membeli baju raya menggunakan wang biasiswa saya.
Oleh itu kepada ibu bapa sekalian saya minta belilah apa-apa keperluan Hari Raya tetapi belikan baju baru untuk anak-anak dahulu.
2 comments:
Rotary Club Kampong Baharu menjalankan program amal ini setiap tahun. Sila melawat blog http://mdshah53.blogspot.com
Alangkah baik jika lebih banyak badan-badan sepeti NGO membuat program seperti ini. Kanak-kanak perlu pembelaan kita. Saya masih ingat semasa mula-mula masuk kerja dulu diberitahu salah satu moto UNICEF atau United Nations Children Fund ialah 'Mankind owes the best it can give to children'.
Post a Comment