Semasa saya menaip pos blog ini seluruh jemaah Haji seluruh dunia sama ada sudah berada di tanah Arafah untuk mengerjakan Wukuf atau sedang dalam perjalanan kesana.
Saya masih teringat lagi perjalanan saya ke sana melalui pos ini dalam blog saya seperti di bawah:http://maarofkassim.blogspot.com/2008/05/mengerjakan-haji-bahagian-25-hari-ke-32.html
Saya dan Salmah terasa bernasib baik kerana termasuk dalam golongan rombongan Haji Malaysia. Walau pun pemergian ke Arafah, Muzdalifah dan Mina mengalihkan kami dari keadaan selesa di hotel Makkah ramai lagi jemaah yang lagi tidak selesa dari kami.
Dari dua tiga hari sebelum kami bertolak ke Arafah keadaan di jalan di hadapan hotel kami sudah sibuk. Jemaah Haji dari negara-negara lain sudah mula berpindah ke Arafah dan Mina. Ada yang bergerak dengan bas. Ada yang menaikki kereta. Ada yang menaikki van. Ada yang duduk di atas bumbung kereta dan van. Yang paling menyayukan hati saya ialah apabila melihat jemaah berjalan kaki.
Kesemua mereka memakai Umrah dengan membawa sedikit bekalan pakaian tambahan melalui beg dijenjeng atau diletak di belakang badan. Ada yang begerak di waktu malam di waktu semua jemaah Haji Malaysia sedang selesa tidur nyenyak di bilik-bilik hotel yang berhawa dingin. Tetapi sekurang-kurangnya jemaah begini terlindung dari kepanasan waktu siang.
Ramai lagi yang bergerak di waktu siang. Mereka ini terpaksa menahan cuaca panas. Nasib baik juga cuaca di Tanah Suci tidak lembab seperti di Malaysia.
Kemudian tibalah masanya untuk jemaah Malaysia pula bergerak ke Arafah. Kami menaiki bas-bas berhawa dingin. Saya tidak fikir ada jemaah Malaysia yang berdiri dalam bas.
Dalam perjalanan kami memotong para jemaah yang berjalan kaki tadi. Mereka senang dikenali dengan pakaian Ihram putih sama seperti yang kami pakai. Ramai juga jemaah yang sudah mendirikan khemah sendiri di tepi-tepi jalan. Yang sedikit bernasib baik dapat mendirikan khemah di bawah jejantas. Sekurang-kurangnya dapat juga mereka berlindung dari panas terik matahari.
Cuma saya tidak tahu dimanakah jemaah-jemaah ala 'gypsy' ini mendapat bekalan makanan dan kemudahan bilik air dan tandas.
Posted by Maarof at 7:05 PM 0 comments
No comments:
Post a Comment