Friday, May 15, 2009

Kenangan 13 Mei 1969

Pengenalan


Umum tahu bahawa pada 13 Mei 1969 berlaku satu peristiwa hitam dalam negara kita. Di hari itu terjadi satu pergaduhan kaum di antara orang Melayu dengan orang Cina di Kuala Lumpur. Pergaduhan ini melibatkan kehilangan nyawa dan harta benda. Ia berlaku hanya setelah tiga hari Pilihanraya Umum keempat (PRU 4) negara kita.

Mengikut apa yang saya baca pergaduhan itu berlaku akibat perbuatan mengejek yang dilakukan oleh orang-orang bukan Melayu terhadap orang Melayu kerana parti Perikatan banyak hilang kerusi di PRU tersebut. Negeri Selangor yang masih termasuk Kuala Lumpur mungkin diperintah oleh parti-parti bukan Perikatan. Situasi yang sama berlaku di Perak. Pulau Pinang sudah jatuh kepada parti Gerakan.


Perarakan

Satu atau dua hari selepas PRU 4 itu telah diadakan satu perarakan kemenangan di Kuala Lumpur yang dianjurkan kononnya oleh parti-parti yang menentang Perikatan. Ini telah membakar semangat orang-orang Melayu dan berlakulah pergaduhan itu yang dikenali sebagai Peristiwa 13 Mei.

Banyak versi tentang Peristiwa 13 Mei ini. Terdapat juga soalan-soalan yang masih belum terjawab mengenai sebab atau puncanya atau siapa yang benar-benar memulakannya. Saya tidak ingin menyentuh mengenai itu kerana tidak tahu sebenarnya.

Apa yang ingin saya ceritakan ialah pengalaman saya semasa Peristiwa 13 Mei 1969 tersebut. Di tarikh itu saya baru berumur 19 tahun empat bulan sepuluh hari.


Gagal melanjutkan pelajaran

Oleh kerana saya gagal memasuki Tingkatan Enam dan seterusnya univerisiti seperti yang saya cita-citakan saya terus bekerja setelah tamat Tingkatan Lima dengan Sijil Malaysia Certificate of Education. Tarikh saya mula bekerja ialah 2 Disember 1968 bilamana saya mendapat latihan empat bulan di Kuala Lumpur.


Ditempatkan di Seremban

Pada 1 April 1969 saya ditempatkan di Pejabat Kesihatan Seremban. Oleh kerana saya belum mempunyai kawan-kawan untuk berkongsi tempat tinggal, saya menumpang di rumah ibu saudara saya Saleha di Kg. Baru Blok C, Ampangan, Seremban. Suaminya bekerja sebagai anggota Polis Hutan atau Field Force di tapak Flet Bandar Baru Ampangan sekarang.


PRU 4

Saya masih ingat di masa itu dimana-mana orang bercakap mengenai Pilihanraya Umum yang akan dadakan tidak lama lagi. Saya tidak berminat tentang politik tetapi terbaca juga mengenai PRU 4 ini. Antara yang saya baca dan menjadi berita hangat di masa itu ialah Menteri Besar Negeri Sembilan Dr. Mohd. Said mengumumkan tidak akan bertanding di PRU itu.

Ini disebabkan beliau tidak bersetuju dengan cadangan Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman meminta beliau bertanding untuk kerusi Parlimen di Port Dickson dengan harapan untuk menjadikan beliau seorang menteri kabinet.

Dr. Mohd. Said ingin kekal menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan dan apabila berlaku perlesisihan pendapat dengan ketuanya iaitu Perdana Menteri beliau telah mengambil tindakan yang betul dengan mengundur diri.


Kempen

Dari pertengahan bulan April 1969 hingga pilihanraya sebenar pada 10 Mei 1969 ialah tempoh untuk berkempen. Ini ialah tempoh yang agak lama dibandingkan dengan keadaan sekarang. Rapat umum juga dibenarkan berbanding dengan ceramah seperti sekarang.

Oleh kerana saya masih bujang dan tidak banyak yang hendak dibuat di waktu malam saya pun pergi juga ke rapat-rapat umum ini. Saya pun pergi ke rapat umum parti Perikatan dan parti PAS di Ampangan dan Dusun Nyior, Seremban.


10 Mei 1969 hari mengundi

Pada hari pilihanraya 10 Mei 1969 saya pergi bekerja seperti biasa dengan menaiki bas. Saya belum layak mengundi. Warganegara Malaysia yang layak mengundi pun mengundi. Oleh kerana hari itu hari Sabtu saya pun balik kampung ke Jelebu selepas bekerja setengah hari.

Dalam perjalanan ke kampung menaiki bas saya nampak juga rakyat mengundi di sekolah-sekolah yang menjadi tempat mengundi. Di masa itu tidak terbayang dalam hati saya yang saya akan terlibat dalam proses pengundian dalam masa-masa yang akan datang. Sila lihat pos-pos saya ini:

http://maarofkassim.blogspot.com/2009/02/pengalaman-sebagai-pegawai-spr-bahagian.html
dan ini :
http://maarofkassim.blogspot.com/2009/02/pengalaman-sebagai-pegawai-spr-bahagian_24.html

Sampai di kampung dua pupu saya yang mempunyai kereta mengajak saya untuk pergi ke pekan Kuala Klawang pada malam itu untuk melihat keputusan mengundi untuk daerah Jelebu. Di masa itu orang kampung jarang-jarang ada kereta. Tetapi dua pupu saya ini menjadikan keretanya sebagai 'prebet sapu' untuk cari makan.

Kebetulan seorang kampung kami yang juga bapa saudara kepada isteri dua pupu saya ini bertanding sebagai ADUN mempertahankan kerusinya dan beliau menang. Beliau kemudian diarak dari tempat mengira undi (saya lupa dimana) ke bangunan UMNO Jelebu. Di situ beliau membuat sedikit ucapan kemenangan.


MUSUH-MUSUH KITA

Di pejabat UMNO Jelebu saya sempat meninjau ke bilik gerakan pilihanraya mereka yang sudah pasti sibuk sehingga malam sebelumnya. Di satu dinding di situ saya lihat satu senarai bertajuk 'MUSUH-MUSUH KITA'. Saya terperanjat melihat antara nama-nama itu ialah nama bapa saudara saya iaitu adik kandung ibu saya dan abang kandung ibu saudara saya di Ampangan, Seremban di mana saya menumpang tinggal.

Apabila balik kampung saya bertanyakan hal 'Musuh-Musuh Kita' ini kepada emak saya. Emak menerangkan memang betul adiknya berkempen untuk menentang wakil rakyat kita pada pilihanraya ini. Bagi dua pupu saya ini menjadi satu delima kerana bapa saudaranya menjadi 'musuh kita' kepada bapa saudara isterinya.


Keputusan Pilihanraya

Pada esoknya Ahad 11 Mei 1969 saya kembali ke rumah ibu saudara saya di Seremban. Dalam bas tak ada cerita lain melainkan keputusan pilihanraya semalam. Keesokannya Isnin 12 Mei 1969 saya pergi bekerja seperti biasa. Di pejabat pun tidak ada cerita lain melainkan cerita keputusan pilihanraya.

Situasi di Negeri Sembilan ialah walau pun di daerah-lain lain parti Perikatan menguasai tetapi di daerah-daerah Seremban dan Port Dickson banyak kerusi ADUN dan Parlimen dimenangi parti DAP. Mansor Osman (kemudian Dato') disebut-sebut akan menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan.


'Ada curfew di Kuala Lumpur'

Pada hari bersejarah Selasa 13 Mei 1969 saya juga pergi kerja dan balik ke rumah Mak Cik saya seperti biasa. Cuma Pak Cik saya balik lewat dari biasa. Tetapi ini tidak menghairankan Mak Cik saya kerana sejak hari kempen pilihanraya lagi masa kerjanya tidak tetap dan suaminya sering pulang lewat.

Apabila sahaja Pak Cik saya balik dia terus berkata 'Ada curfew di Kuala Lumpur'. Memang saya tahu 'curfew' bermaksud 'berkurung'. Tetapi saya tidak tahu 'curfew' ini akibat pergaduhan kaum. Kami pun membuka television yang masih hitam putih di masa itu. Program-program biasa sudah ditukar kepada rencana sahaja. Sekali sekala Perdana Menteri Tunkn Abdul Rahman muncul di kaca TV untuk memberitahu keadaan semasa. Amanat pentingnya ialah supaya kita semua bertenang dan tidak mendengar khabar-khabar angin.

Pak Cik memberitahu saya supaya pergi bekerja seperti biasa. Pesannya lagi jika berlaku apa-apa yang tidak diingini saya hendaklah berjumpa dengan mana-mana anggota polis. Jika saya takut nak balik sendiri minta polis hantar balik, katanya. Memang di masa itu kelihatan anggota polis di mana-mana.

Di hari-hari kemudiannya Pak Cik saya sering meninggalkan rumah untuk beberapa hari untuk menjaga keselamatan negara. Saya memang berniat untuk berpindah rumah dan tinggal dengan kawan-kawan tetapi kerana dia sering keluar rumah begini dia minta saya menangguhkan cita-cita saya ini dan sebaliknya menjaga Mak Cik saya dan anak-anak mereka yang masih kecil.


'JANGAN DENGAR KHABAR-KHABAR ANGIN'

Di pajabat, di tempat-tempat menunggu bas dan tempat-tempat awam yang lain ditampal risalah-risalah meminta rakyat bertenang. Risalah yang paling utama ialah 'JANGAN DENGAR KHABAR ANGIN'. Di tulis juga dalam Bahasa Inggeris 'DO NOT LISTEN TO RUMOURS' dan bahasa-bahasa Cina dan Tamil.

Memang di pejabat dan kedai-kedai kopi bermacam khabar khabar angin yang saya dengar. Sampai yang tidak manasabah pun ada. Dalam kenderaan kerajaan selagi ia tidak berhenti selagi itulah pemandu dan penumpangnya menceritakan khabar-khabar angin. Tetapi saya hanya mendengar sahaja. Baik juga di masa itu belum ada internet dan telefon bimbit. Kalau tidak entah macam mana pula khabar-khabar angin yang tersebar.


Berpindah ke rumah pangsa

Setelah keadaan kembali tenang saya pun dibenarkan berpindah oleh Pak Cik dan Mak Cik saya. Saya berpindah ke Flet Tun Dr. Ismail, Seremban. Sila lihat pos saya ini :

http://maarofkassim.blogspot.com/2008/07/sini-lah-se-duduk-dulu.html

Sebenarnya saya mendapat kemudahan menyewa unit flet itu kerana ramai penghuni telah meninggalkannya kerana khabar-khabar angin akibat Peristiwa 13 Mei 1969. Flet Tun Dr. Ismail lima belas tingkat yang terletak di Jalan Templer (sekarang dinamakan Jalan Tun Dr. Ismail) iaitu jalan utama arah ke Kuala Lumpur mempunyai dua blok utama iaitu Blok A dan Blok B.

Blok A sepatutnya dikhaskan untuk orang Melayu dan Blok B untuk bangsa-bangsa lain. Tetapi akibat Peristiwa 13 Mei 1969 dan khabar-khabar angin yang bertiup kencang selepas itu ramai penghuni Melayu dari Blok A perpindah. Tambahan pula Flet ini terletak betul-betul dikelilingi kawasan penduduk berbangsa Cina.

Kerajaan negeri pula tidak ada pilihan untuk membuka Blok A kepada semua bangsa. Saya juga menjadi salah seorang yang menggantikan mereka yang telah berpindah tersebut walau pun saya masih bujang. Beberapa tahun kemudian kerajaan negeri sekali lagi telah membina beberapa unit flet empat tingkat di sebelah Flet Tun Dr. Ismail ini. Kali ini penghuninya seratus peratus Melayu.


Jumpa jiran lama

Baru tiga hari lepas saya melawati Flet Tun Dr. Ismail ini dan berjumpa dengan seorang jiran berbangsa Cina yang masih ingat saya tinggal di salah satu unit flet ini. Saya juga berceritakan mengenai 13 Mei kepadanya. Dia masih ingat Blok A dahulu didiami olah orang Melayu tetapi berpindah kerana 13 Mei.

Dia dan saya sama-sama berharap peristiwa ini tidak akan berulang lagi.

2 comments:

melayuangkat said...

Assalamualaikum,

Sama-samalah kita berdoa agar peristiwa 13 mei tidak akan berlaku lagi di negara kita.

Abdul Hamid Hussin said...

Saya bertugas di Ibu Pejabat Polis Jelebu masa kejadian ini. Saya sangat terlibat dengan PRU tahun 1969 itu disegi keselamtan dan keamanan sepanjang kempen2 yang berjalan. Calon parti Perikatan bagi kawasan Pertang tu memang saya kenali sejak dari saya sekolah rendah di Jelebu lagi. Pengiraan undi pilihanraya malam itu memakan masa yang amat lama hingga ke siang hari esoknya. Selepas itu saya cukup keletihan dan mengantuk buat beberapa hari hinggalah petang hari Selasa 13 Mei bila kejadian ini berlaku. Polis telah mengisytiharkan curfew juga di Jelebu walaupun tidak ada sebarang insiden atas sebab mahu berjaga2 takut kejadian perkauman ini boleh merebak. Jadi terkurung semulalah saya di Bilik Gerakan Daerah memantau hal2 yang berkaitan dengan curfew, rondaan,dan perhubungan dengan agensi lain. Kurang tidur lagi. Namun tiada apa2 insiden berlaku sehingga tamat curew 2 minggu kemudian