Tuesday, November 24, 2009

Melentur buluh...

Pepatah Melayu ada menyebut, jika hendak melentur buluh, biarlah dari rebungnya. Bermakna segala nilai yang baik hendaklah diajar ketika anak-anak masih kecil lagi.

Taman perumahan saya dilanda wabak demam denggi baru-baru ini. Kes-kes, tiga semuanya terdapat di Fasa 4 iaitu fasa paling baru. Walau bagaimana pun Jabatan Kesihatan tetap menyembur racun serangga untuk tujuan membunuh nyamuk aedes di keseluhuran taman.

Di waktu yang sama Jabatan Kesihatan juga menganjurkan satu gotong royong di mana kami penduduk-penduduk taman diminta membersihkan taman kami dari bekas-bekas yang boleh menjadi tempat membiak nyamuk aedes.

Apa yang menarik bagi saya ialah Jabatan Kesihatan di gotong royong ini menjalankan satu peraduan memungut bekas-bekas pembiakan nyamuk aedes diantara kanak-kanak sekolah. Ini adalah satu tindakan yang baik. Kerana dengan cara ini kanak-kanak dengan sendirinya belajar dari pengalamam bahawa bekas-bekas yang mereka pungut itulah yang menjadi punca pembiakan deman denggi.

Lain kali, apabila kanak-kanak ini hendak membuang apa-apa bekas yang boleh menampung air, mereka akan berfikir dua kali bahawa bekas dalam tangan mereka boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes pembawa demam denggi.

Sepanduk memberitahu taman kami dilanda wabak denggi.



Kanak-kanak mendaftar untuk peraduan memungut bekas pembiakan nyamuk aedes. Yang teratur di atas meja itu ialah Abate, racun pembunuh jentik-jentik. Di sudut atas pula ialah hadiah-hadiah utama berupa hamper buah-buahan.


Orang dewasa menunggu untuk memulakan gotong royong.


Taklimat gotong royong dan peraduan diberi oleh seorang pegawai Jabatan Kesihatan.


Kanak-kanak mendengar taklimat. Di tangan mereka ialah beg plastik dalam mana bekas-bekas pembiakan nyamuk aedes akan dikumpul.


Bekas-bekas pembiakan nyamuk aedes sudah dipungut. Kanak-kanak menunggu untuk menerima hadiah masing-masing. Semua kanak-kanak diberi satu cenderamata.


Ustaz Affandi menyambaikan hadiah. Selain dari cenderamata terdapat lima hadiah utama.



Gotong royong sudah selesai. Kami bapak-bapak budak bergambar dengan beg-beg plastik yang penuh dengan bekas-bekas pembiakan nyamuk aedes.

1 comment:

si pemerhati said...

program ni baik untuk kanak2 tapi tak elok untuk org dewasa.tgk dlm gambar org dewasa dok menongok je.kena lah ada aktiviti org dewasa juga.dlm siasatan saya nampak bersih setakat di sekitar tapak program je.