Saya masih ingat di tahun 1972 di mana saya bekerja di Pasir Putih, Kelantan. Saya balik kampung menaiki bas ekspres MARA dari Kota Bharu hingga Kuala Lumpur dan sebaliknya. Saya sudah mengalami khidmat bas ekspres ini siang dan malam.
Oleh kerana saya tinggal di Pasir Putih yang terletak di Laluan Persekutuan 3 saya hanya menunggu di pekan terebut apabila hendak ke Kuala Lumpur setelah membeli tiket di Kota Bharu. Begitu juga apabila balik ke Kelantan saya turun di pekan Pasir Putih dan dari situ saya berjalan kaki ke rumah kerajaan saya.
Apabila saya balik ke Kelantan menaiki bas ekspres malam saya sampai di Pasir Putih waktu Subuh. Setelah berehat sekejap di rumah saya terus pergi kerja.
Oleh kerana saya sendiri pernah beberapa kali menaiki bas ekspres berjalan jauh saya merasa cukup sedih bila membaca berita kemalangan jalanraya melibatkan bas ekspes. Lebih-lebih lagi apabila kemalangan sedemikian melibatkan kehilangan nyawa.
Kita dikejutkan baru-baru ini dengan berita kemalangan ngeri melibatkan bas ekspres yang berjalan malam. Sepuluh nyawa melayang akibatnya. Antara yang terkorban ialah kakak dan abang ipar kepada seorang jiran saya yang tinggal di seberang padang depan rumah saya.
Itu sebabnya saya nampak rumah jiran saya bergelap sahaja beberapa malam ini oleh kerana tuan rumahnya berada di Kelang, Selangor menjaga anak-anak suami isteri yang terkorban itu.
Bila terjadi kejadian seperti ini macam-macamlah cadangan diberikan. Ada yang mencadangkan supaya bas ekspres dilarang berjalan malam. Mengapa bas ekspres sahaja? Kalau bagitu haramkan sahaja semua kenderaan berjalan malam.
Oleh kerana kemalangan melibatkan bas dua tingkat ada yang mencadangkan supaya bas dua tingkat tidak boleh dijadikan bas ekspres. Kemalangan tidak memilih bas satu tingkat atau dua tingkat. Setahu saya inilah kemalangan ngeri pertama melibatkan bas dua tingkat.
Melihat kepada gambar-gambar di akhbar dan TV bas yang terlibat itu adalah bas baru. Ia dari jenis yang baik juga iaitu SCANIA. Oleh itu factor mekanikal tidak timbul.
Oleh itu kemalangan ini terjadi kerana faktor manusia atau 'human factor' dalam Bahasa Inggeris.
Dari pengalaman saya tidak ada satu hari pun berlalu tanpa saya melihat kesalahan jalanraya dilakukan oleh pemandu-pemandu. Contohnya penunggang motosikal memotong kiri dan kanan diantara kereta-kereta, pemandu kereta melanggar lampu merah dan pemandu bas memandu laju di lebuhraya.
Jika penunggang atau pemandu yang saya sebutkan diatas membahayakan diri mereka sendiri sahaja tak apa juga. Masalahnya ialah apabila mereka melibatkan orang lain. Lebih-lebih lagi jika mereka menyebabkan kita kehilangan orang yang disayang.
Kalau setiap penunggang atau pemandu bertanggungjawab dan mematuhi segala peraturan jalan raya kemalangan ngeri seperti diatas tentu dapat dikurang atau dihapuskan.
1 comment:
Assalamualikum En Maarof,
Kita semua sedih atas apa yang berlaku.
Diharap pihak berwajib akan dapat berbuat sesuatu supaya perkara yang sama dapat dielakkan InsyaAllah.
Post a Comment