Sebelum saya meneruskan pos ini saya ingin membuat pengakuan iaitu saya tidaklah arif sangat mengenai agama Islam. Dalam hal ini isteri saya Salmah walau pun hanya seorang suri rumah sepenuh masa, lebih mengetahui mengenai agama Islam dari saya. Oleh itu saya memohon maaf jika apa yang saya akan tulis selepas ini tersalah fakta atau mengelirukan.
Semasa kami mengerjakan Haji dua tahun yang lalu saya banyak diajar oleh Salmah di segi teori dan amali. Tetapi pengalaman saya bekerja dan bergaul lebih dengan masyarakat ramai banyak juga menolong.
Sebagai contoh saya dapati saya sering dilangkah dari belakang apabila duduk menunggu waktu solat dalam Masjidil Haram, Makkah. Saya selesaikan masalah ini dengan mengambil dua naskhah Al Quran apabila memasuki Masjid tersebut. Satu Al Quran saya baca dan yang satu lagi saya letakkan di hadapan saya.
Dengan cara ini jemaah lain berfikir dua kali sebelum melangkah saya dari belakang. Melangkah saya bererti terpaksa melangkah atau memijak Al Quran di hadapan saya.
Begitu juga saya menulis di buka nota di kotak mana saya meletakkan selipar saya. Semasa berkursus Haji di Malaysia beberapa penceramah meminta kami membawa beberapa pasang selipar, kerana selalu hilang kata mereka. Akhirnya saya memerlukan satu pasang selipar sahaja.
Di perjalanan dari khemah kami di Mina ke Jamrah untuk melontar saya banyak perhatikan selipar dan kasut yang putus. Sebelah selipar putus, yang sebelah lagi terpaksa dibuang juga. Dari itu saya bayangkan para jemaah sebagai kenderaan di lebuhraya. Apabila ada jemaah dibelakang mendekati, saya benarkan mereka memotong saya.
Bagitu juga saya disiplinkan diri saya supaya tidak mendekati jemaah di hadapan terlalu hampir sama seperti kenderaan di jalan raya. Apabila jemaah di hadapan terhenti tiba-tiba saya ada ruang untuk mendekati mereka tanpa jemaah di belakang menyondol saya.
Percampuran pengetahuan Salmah tentang agama dan pengalaman hidup saya membuatkan kami berdua mengerjakan Haji dalam suasana seronok.
Sejak tahun baru 2010 banyak diceritakan mengenai keputusan mahkamah membenarkan Geraja Katholik Malaysia menggunakan kalimah Allah untuk majalah mereka The Herald versi Bahasa Melayu. 'Allah' digunakan sebagai terjemahan kepada 'God'. Saya tidak tahu apa pula terjemaah untuk 'Herald'.
Sebagai seorang yang sudah menganuti Islam selama 60 tahun secara peribadi saya tidak kisah terhadap keputusan mahkamah ini. Saya pun tidak pernah nampak majalah Herald baik dalam Bahasa Inggeris atau Melayu. Apatah lagi dalam bahasa-bahasa Cina atau Tamil.
Oleh kerana saya tidak pernah memegang mana-mana naskhah The Herald saya difahamkan selama ini majalah tersebut menggunakan perkataan 'Tuhan' untuk 'God'. Saya tidak faham mengapa mereka hendak menggunakan kalimah Allah melainkan ada tujuan tersirat disebaliknya. Inilah juga perkara yang membimbangkan sesiapa yang menentang keputusan mahkamah ini.
Kalau pembaca membaca pos-pos saya sebelum ini saya tidak malu-malu menceritakan bahawa saya banyak berkawan dengan orang bukan Melayu dan bukan Islam. Apabila saya sampai sahaja di Madinah untuk mengerjakan Haji saya telah membeli satu poskad dengan gambar Masjid Nabawi. Saya poskan kepada kawan saya Ricky Woon dengan menyatakan saya sekarang sembahyang di Masjid dalam gambar poskad ini.
Bagitu juga di pejabat saya dulu saya berkongsi bilik dengan kawan saya Nicholas Soong, pada satu ketika satu-satunya pegawai sejawatan saya yang bukan Melayu Islam. Soong ialah seorang kuat Kristian dan banyak terlibat dalam kerja-kerja amal gerejanya.
Semasa saya bujang dan bekerja di Pasir Putih, Kelantan saya sering didatangi oleh kawan saya Ong Eng Guan pada hujung minggu. Ini kerana Ong menggantikan Pembantu Perubatan di Pusat Kesihatan saya yang sering balik kampung ke Terengganu di hujung minggu. Ong disediakan dengan katil untuk tidur di klinik tetapi dia memilih untuk tidur di kuarters kerajaan saya. Dia tidur di ruang tamu supaya senang bangun apabila ada orang mengetuk pintu untuk mendapatkan khidmatnya.
Jiran saya di Pasir Putih pula seorang Jururawat atau Staff Nurse bernama Lee Leng, seorang yang juga kuat agama Kristiannya. Bila Ong datang ke rumah saya kami sering berkunjung ke rumahnya. Bukan apa, rumah saya tidak banyak perabot, itu pun saya beli sendiri. Tetapi kuarters Staff Nurse dibekalkan perabot penuh oleh kerajaan. Ong dan Lee Leng tidak ada apa-apa kerana Ong sudah berkahwin di masa itu, tetapi isterinya tinggal bekerja di Pulau Pinang.
Saya teringat satu cerita lucu di sini. Ada seorang memerlukan khidmat Ong di klinik. Jaga kami menunjukkan rumah saya dengan mengatakan Ong tidur di rumah saya. Oleh kerana rumah saya berkembar dengan rumah Lee Leng orang tadi telah mengejutkannya dan bertanya sama ada Ong ada di dalam. Lee Leng terus marah dan mengatakan Ong ada dirumah saya, bukan rumahnya.
Dalam satu kunjungan saya dan Ong ke rumah Lee Leng terdengar kalimah "Aaaaa miiiiin" dari Masjid bandar Pasir Putih. Lee Leng terus bertanya saya bunyi apa itu. Saya jawab itulah sebutan sama seperti 'Amen' dalam agama Kristian. Lee Leng berkata dia cukup takut tiap-tiap kali mendengar sebutan itu. Saya merasa bangga juga apabila seorang yang kuat beragama Kristian gementar mendengar bunyi 'Amin' disebut oleh orang Islam.
Sebelum berangkat ke Fukuoka, Jepun untuk berkursus pada tahun 2004 emak saya berpesan "Kau disitu jangan lupo sembahyang. Kau poi nogoghi oghang bukan Islam". Omak mano yang tak sayangkan anak?
Setibanya saya di Lapangan Terbang Kansai, Jepun seorang tuan rumah saya menyatakan penerbangan sambungan saya ke Fukuoka mungkin dibatalkan kerana mengikut ramalan cuaca satu ribut taufan akan melanda Fukuoka. Setelah menunggu satu jam seorang lagi tuan rumah menyatakan "Insya Allah, you will make it to Fukuoka". Betul, dia menyebut 'Insya Allah". Walau bagaimana pun saya tidak marah, malah saya bangga kerana dia menyebut kalimah tuhan saya. Mungkin sebutan 'Allah' mengubah keadaan, kerana selepas itu diumumkan penerbangan saya ke Fukuoka sedia menanti.
Di Fukuoka juga saya temui satu situasi yang menarik. Sebelum itu di Malaysia saya cukup marah apabila terpaksa menanggalkan kasut bila memasuki mana-mana pejabat semasa kerja. Tetapi saya didapati keadaan yang sama di Fukuoka. Sampaikan hendak memasukki pejabat pembuangan sampah pun kena buka kasut. Bagitu juga halnya bila memasuki bilih kuliah di Universiti Fukuoka untuk menerima syarahan.
Yang positif di situasi ini ialah saya dan kawan-kawan sekursus senang mengerjakan solat. Kami bersolat di atas lantai sahaja tanpa menggunakan sejadah. Bilik air pula amatlah bersihnya dan disediakan pula selipar Jepun diluarnya.
Jiran belakang rumah saya sekarang berbangsa Cina. Di sebelahnya pula satu keluarga India beragama Kristian. Siap dengan salib tergantung di dinding belakang rumahnya mengadap rumah saya.
Walau apa pun pengalaman-pengalaman saya seperti di atas ia tidak langsung memesongkan akidah saya terhadap agama suci Islam.
Sekarang saya berbalik kepada isu penggunanan kalimah Allah dalam majalah The Herald. Gereja Katholik ialah satu badan yang diiktiraf. Memang benar keputusan mahkamah tertumpu kepada majalah mereka yang mengikut perlembagaan Malaysia tidak boleh dijual atau diberi kepada orang Islam. Tetapi siapakah yang boleh menahan saya jika saya hendak meminjam satu majalah The Herald berbahasa Melayu dari kawan saya Nicholas Soong?
Kita tidak boleh menuduh Gereja Katholik Malaysia mempunya niat serong dalam hal ini. Yang membimbangkan saya ialah keputusan ini juga boleh dijadikan contoh atau 'precedence' kepada badan-badan lain untuk menuntut hak yang sama.
Sebagai contoh akhbar-akhbar berbahasa Inggeris kita ada versi Bahasa Melayunya. Mereka juga mungkin menuntut untuk untuk menggunakan kalimah Allah untuk God. Mungkin mereka juga akan menggunakan mahkamah untuk memenuhkan kehendak mereka.
Satu lagi contoh ialah dalam dunia perfileman. Saya percaya kebanyakan penuntun Melayu Islam yang menuntun di panggung-panggung lebih suka membaca sarikata dalam Bahasa Melayu dari mendengar dialog dalam Bahasa Inggeris. Bayangkan 'Jesus, son of God' akan ditulis 'Isa anak Allah'. Saya pernah lihat satu filem Mr. Bean dimana ada sebutan 'Mary, mother of God'. Mungkinkah ia ditulis 'Mariam, ibu Allah'. Sedangkan kita tahu Allah yang Satu tidak ada anak dan tidak ada ibu.
Semasa hayatnya seniman agung P. Ramlee pernah mencadangkan supaya Radio Television Malaysia atau RTM mengadakan rancangan muzik tradisional Melayu di Radio dan TV. Tumpuannya ialah kepada anak-anak muda. Kalau tidak mereka akan cepat terpengaruh kepada muzik barat 'kerana dada mereka kosong' katanya.
Itulah sebabnya di radio kereta saya saluran utama saya ialah Klasik Nasional. Saya ingin isikan dada anak-anak saya yang kosong dengan muzik tradisional Melayu.
Begitu juga pengaruh filem. Bagi mereka yang sudah menerima Islam dan percaya dengan Allah yang tiada anak dan ibu tulisan-tulisan sarikata seperti di atas boleh ditolak mereka dengan mudah. Tetapi bagaimana mereka yang 'dada mereka kosong?' Bukankah mereka senang terpengaruh.
Kalimah Allah sudah pun di sebut dalam filem. Dalam filem Never Say Never Again, sebuah filem James Bond, operasi mencuri dua bom nuklear oleh penjahat SPECTER dari NATO dinamakan 'The Tears of Allah'. Ia disebut beberapa kali dalam filem itu.
Dengan adanya alam siber yang global kalimah Allah yang disebarkan melalui Internet tidak boleh dikawal. Tetapi sekurang-kurangnya kita kawallah apa yang boleh dikawal di negara kita.
1 comment:
Assalamualaikum Tuan,
Belum terlambat bagi saya mengucapkan, Selamat Menyambut Hari Lahir ke 60. Semoga Allah swt akan terus memberkati hidup Tuan sekeluarga. Amin!
Bagi saya, tiada insan di dunia ini lahir tiba-tiba pandai mengenai Agama Islam. Dan tidak terlambat bagi sesiapa pun untuk belajar mengenai Islam, Agama suci kita pada usia mana pun.
Saya dilahirkan dari kedua ibu bapa Cina yang saya boleh rumuskan tentulah tidak beragama Islam. Saya tidak bertemu mereka dan mungkin tidak sehingga ke akhir hayat dan keluarga angkat saya adalah orang Melayu, sudah tentulah orang Islam.
Malang, Islam mereka adalah hanya pada 'cover' sahaja. Semasa saya kecil, abang ipar angkat selalu mengejek-gejek saya setiap kali dia balik menziarahi ibu mertuanya. "Hai anak cha ya nun alif....mualaf"..Bagi dia amat lucu saya sebagai anak cha ya nun alif Mualaf".
Sehinggalah saya tidak tahan lagi dengan ejekkan itu dan dengan deraian air mata mengadu pada mak bahawa mak mesti larang dia memalukan saya, walaupun pada itu saya belum lagi pun berumur 10 tahun!
Saya bukan malu saya anak angkat sebab saudara mara mak saya memang sudah pastikan saya tahu siapa saya dikalangan mereka yang lahir Islam. Saya dihina dan disindir kerana tidak dilahirkan Islam dan keturunan tidak sebaik mereka. tetapi saya segan bila tiba tiba dikhalayak ramai dia menjerit-jerit begitu pada saya. Walaupun budak saya ada perasaan dan tentulah malu.
Tetapi Allah swt maha berkuasa. Saya berani katakan saya adalah golongan yang terpilih menerima hidayahnya kerana sejak belum usia 10 tahun lagi, saya telah mula berjinak ke surau surau di kampung. Saya pergi sendiri ke rumah nenek mengaji dan meminta mahu mengaji kerana mak angkat saya memang langsung tidak kisah dan peduli sama ada saya mengaji atau ke sekolah atau tidak!
Masa berlalu...setelah dewasa sayalah di antara keluarga angkat yang rasanya lebih belajar Islam dari kesemua mereka dan sekarang walau pada usia ini sedang melanjutkan pengajian saya di peringkat MA. Sungguah bertuah saya dengan kurniaan Illahi ini.
Islam itu hak Allah, hidayah Allah, walaubagaimana pun kita disaran berusaha ke arahnya. Kita yang telah memilikinya wajib menjaga kesuciannya. Saya juga ramai kawan-kawan dikalangan yang bukan berAgama Islam. Kita menghormati agama mereka dan semesti mereka mesti menghormati agama kita.
Saya tidak setuju mereka menggunakan kalimah Allah dalam cetakan majalah mereka walau pun 'dalam kawalan' mereka. Saya juga tahu mengenai sejarah penggunaan Allah dalam ajaran Agama Semawi dsb tapi dalam konteks hari ini di Malaysia di kalangan orang Melayu amat tidak sesuai bertambah pula dengan zat zat nama ALlah yang terkandung dalam kalimah Allah itu sendiri amat berlainan konsep TUHAN pada mereka.
WaAllahuAlam.
Post a Comment