Thursday, January 28, 2010

Nama

Semasa saya bersekolah dahulu saya mula memerhatikan ramai ramai orang-orang bukan Islam di Malaysia meletakkan nama Kristian (Christian names) di hadapan mereka. Kebanyakan mereka berbangsa Cina. Maka terjadilah nama-nama seperti Vincent Lim, Robert Lam dan Keneth Lee.

Ditambah pula terdapat bintang-bintang filem Hong Kong menggunakan nama-nama seperti David Chiang, Bruce Lee dan Jackie Chan.

Mula-mula saya fikir mereka yang meletakkan 'Christian names' ini beragama Kristian. Rupa-rupanya saya salah. Tidak semestinya mereka ini beragama Kristian. Mereka yang jenis ini menggunakan nama demikian sebagai nama 'glamour'. Kebanyakan mereka pula tidak menggunakan 'Christian names' itu dalam kad pengenalan mereka. Ada juga orang Cina beragama Kristian tetapi tidak menggunakan 'Christian names'.

Saya ada seorang kawan baik bergelar Ricky Woon, sedangkan namanya di kad pengenalan ialah Woon Kim Khong. Isterinya pula dipanggil Joyce. Joyce apa saya tidak pasti. Joyce memanggil suaminya Ricky dan Ricky memanggil isterinya Joyce.

Tetapi ada suatu ketika apabila Joyce tidak memanggil suaminya Ricky. Ini berlaku di hari kematian ibu kepada Ricky. Saya datang melawat di rumah mereka dan saya perhatikan Joyce memanggil suaminya Woon sahaja.

Sampai sekarang saya tidak bertanya kepada mereka mengapa Joyce tidak memanggil Ricky dengan nama 'glamour'nya di hari itu. Tetapi saya fikir mereka tidak mahu memasukkan unsur-unsur yang tidak ada kena mengena dalam satu acara keagamaan mereka.

Di pejabat saya dulu ada seorang kawan saya berbangsa Cina suka memanggil orang lain tidak kira bangsa dan agama sebagai 'Mike'. Satu hari dia salah orang dan orang yang dipanggilnya 'Mike', seorang Melayu hampir menyerangnnya. Sejak itu kawan saya ini tidak lagi menggunakan nama itu kepada sesiapa.

Saya sendiri pernah ditanya kenapa orang Melayu tidak menggunakan nama-nama yang dianggap 'glamour' itu. Saya jawab senang sahaja. Walau pun nama-nama itu ada yang menganggap sebagai nama 'glamour' bagi kami orang Islam ia tetap nama Kristian. Oleh itu sebagai orang Islam kita tidak boleh menggunakan nama selain nama Islam.

Tambahan pula sudah ada nama-nama Islam untuk sebahagian nama-nama Kristian. Contohnya Ibrahim untuk Abraham, Yusuf untuk Joseph dan Yunus untuk Jonah. Cuma ada satu nama yang boleh dikongsi bersama antara orang Islam dan Kristian. Nama yang dimaksudkan ialah nama manusia pertama iaitu Adam. Cuma sebutannya lain sedikit.

Kebanyakan Orang Melayu Islam juga tidak mempunyai nama keluarga atau 'surname'. Setahu saya orang Melayu yang mempunyai nama keluarga ialah keturunan Syed dari Arab Saudi. Jadi nama kita seperti yang ditulis dalam kad pengenalan ialah nama kita sendiri berbin atau binti nama bapa kita.

Ada yang menyangkan nama bapa kita ialah nama keluarga atau 'surname'. Mungkin anak-anak kita yang belajar di luar negara sudah biasa dipanggil dengan nama bapa mereka. Tetapi jika kita dipanggil dengan nama bapa di negara kita, boleh jadi gaduh dibuatnya.

Begitulah sensitifnya kami orang-orang Melayu dan Islam di Malaysia ini bila menyentuh tentang nama. Itu juga sebabnya kami sensitif dengan nama tuhan kami Allah. Kami tidak mahu nama Allah digunakan oleh orang bukan Islam, sekurang-kurangnya di negara kita.

No comments: