Monday, September 20, 2010

Kenapa susah sangat nak masuk persatuan ini?


Buku Program Teh Tinggi.


Saya diantara pesara-pesara kerajaan.

Semalam saya menghadiri satu jamuan teh tinggi atau 'high tea' yang dianjurkan oleh Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia Bahagian Negeri Sembilan. Mula-mula saya hairan juga kenapa majlis tidak dinamakan Jamuan Hari Raya kerana kita masih berada di dalam bulan Syawal. Setelah memandang sekeliling baharulah saya faham.  

Saya mendapat tahu tentang wujudnya persatuan ini ketika menguruskan bayaran perubatan isteri saya baru-baru ini yang memerlukan pembedahan mata. Alhamdulillah pembedahan berjaya tanpa apa-apa komplikasi. Saya dinasihatkan pergi ke pejabat persatuan ini untuk urusan selanjutnya. Sebenarnya saya boleh menguruskan perkara itu dengan sendiri. Tetapi saya terus mendaftar untuk menjadi ahli persatuan apabila mendapat tahu ia diketuai oleh sahabat saya Haji Khalil bin Abd. Rahim.

Saya sendiri pernah bertemu dengan Haji Khalil di pejabat persatuan dan diberitahu mengenai statistik ahli persatuan. Mengikutnya di Negeri Semblan persatuan ini mempunyai lebih kurang 2,100 orang ahli. Tetapi ahli yang berbangsa Melayu dan beragama Islam cuma lebih kurang 200 orang ialah 10 peratus dari jumlah ahli. Mengikutnya juga ia telah berkali-kali mengajak ramai pesara kerajaan Melayu menjadi ahli tetapi beberapa alasan telah diberikan. Yuran keahlian ialah RM 50 untuk seumur hidup. Agaknya jumlah ini tersangat besar bagi mereka.  

Saya  rasa dengan 10 peratus orang Melayu menjadi ahli persatuan ini di Negeri Sembilan tidak mencerminkan keadaan sebenar pesara kerajaan di negeri ini. Orang Seremban dan mungkin orang Negeri Sembilan tahu ada sekumpulan pesara kerajaan Melayu di Taman Paroi Jaya, Seremban berkumpul tiap-tiap pagi dan petang di bawah satu pokok mangga di tempat letak kereta Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi. Mereka berborak mengutuk kerajaan yang membayar pencen mereka. Mereka menjamu mata dengan memandang perempuan yang lalu lalang di hadapan mereka. Alangkah baiknya dari membuang masa mereka menjadi ahli persatuan ini dan mengambil bahagian dalam aktiviti-aktivitinya.

Dalam ucapannya di jamuan teh tinggi ini Haji Khalil menyatakan setiap hari ada lebih kurang lima orang ahli persatuan yang datang ke pejabat untuk mendapatkan bantuan. Ini bermakna persatuan ini mempunyai aktiviti harian dan tidak wujud dengan nama sahaja.

Saya baharu sahaja selesai menjalankan tugas-tugas Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia. Sebenarnya saya menghadapai sedikit masalah dengan para pembanci saya yang terdiri dari kakitangan kerajaan. Mereka tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada kerja-kerja banci kerana boleh mengganggu tugas harian mereka. Tetapi saya sebagai pesara tidak menghadapi apa-apa masalah. Juga kerana saya sudah dewasa saya dihormati. Terfikir oleh saya mengapa tidak ada pesara seperti saya diminta membuat kerja-kerja banci?

Alangkah baiknya jika ramai pesara kerajaan menjadi ahli Persatuan Pesara. Ia boleh menjadi rujukan jika pihak-pihak berkuasa memerlukan kakitangan sementara seperti semasa pilihanraya atau banci. Juga para pesara mempunyai pengalaman dan kepakaran masing-masing. Ada yang pernah bekerja di hospital, di Jabatan Kerja Raya dan di Pihak Berkuasa Tempatan seperti saya. Melainkan kebanyakan pesara memikirkan mereka ingin berehat setelah berpuluh tahun bekerja. Tetapi tidak bagi saya. 

Berbalik kepada jamuan teh tinggi semalam. Kenapa ia tidak dinamakan Jamuan Hari Raya? Kerana cuma 10 peratus dari pesertanya terdiri dari orang Islam. Ini mencerminkan hanya 10 peratus ahli persatuan terdiri dari orang Melayu Islam. Mujurlah katerer makanan berbangsa Melayu. Oleh itu dihidangnya makanan Hari Raya seperti lemang, rendang dan roti jala.

1 comment:

Anonymous said...

Maarof

Pandangan 20 sen saya. Kemungkinan besar kenapa tidak ramai pesara Kerajaan Melayu tidak nak masuk atau tidak mendaftar sebagai ahli, kerana

1. Mereka sudah bersara, mereka rasa kehadhiran mereka tidak diperlukan.
2. Tak ada 'keperluan' kepada pesara itu untuk join persatuan itu
3. Logistik. Jauh dari Seremban
4. Faktor umur
5. Kurang publisiti tentang persatuan ini.
6. AJK persatuan perlu bekerja sama dengan kerajaan bagi mengetahui tarikh bersara seseorang petugas kerajaan.
7. Introduce ahli, boleh diberi sedikit ganjaran... free dinner ke atau lain-lain award
8. Paparkan kebaikkan joining the persatuan dari aspek kesihatan, persekolah anak-anak, cucu-cucu, kuliah ugama bagi orang Islam dll
9. Perlu di warwarkan aktiviti persatuan untuk menarik bakal pesara.

Wallah hu aklam

wasalam

MA