Pos pertama saya untuk tahun ini ialah saya merayakan hari jadi ke 61. Dengan itu juga genap setahun saya menganggur walau pun tidak sepenuhnya, kerana saya terlibat dengan kerja-kerja Banci 2010 di pertengahan tahun.
Apabila bersara sepenuhnya (saya bekerja secara kontrak selama 4 tahun setelah bersara umur 56 tahun) saya bimbang juga jika kawan-kawan mengasingkan diri dari saya. Alhamdulillah ini tidak terjadi. Apabila saya berjumpa dengan peniaga-peniaga yang pernah menerima tindakan penguatkuasaan dari saya, tidak pula mereka menunjukkan sikap negatif.
Saya pula mempunyai lebih masa untuk untuk berhubung dengan kawan-kawan dan saudara mara yang telah terputus hubungan untuk sekian lama. Laman sosial Facebook banyak menolong saya dalam hal ini.
Kawan Facebook terbaru saya ialah rakan sekolah, seorang kerabat DiRaja Negeri Perak dari Kuala Kangsar. Di sekolah saya memanggilnya 'Charlie' dan tidak ramai kawan-kawan di sekolah memanggilnya dengan nama ini. Saya masih ingat dia menghadiahkan saya dengan satu kek yang dihantar oleh keluarganya. Katanya ini balasan kerana menjaganya apabila dia sakit dan dikuarantin di wad sakit atau 'sick bay' sekolah.
Saya bersyukur kepada Allah Taala kerana memberikan kesihatan yang baik selama ini. Saya berharap anugerah Allah ini diteruskan. Untuk sesiapa yang membaca pos saya ini nasihat saya jagalah kesihatan kerana ia tidak terharga.
No comments:
Post a Comment