Friday, March 25, 2011

Bila orang Islam menindas semasa sendiri.

Rumah ibu saya di kampung cuma terletak 500 meter dari rumah mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan kami. YB bukan setakat ADUN sahaja, tetapi pernah menjadi Ahli Exco Kerajaan Negeri Sembilan dan dianugerah gelaran Dato'. Tetapi beliau sudah meninggal dunia sekarang. Saya masih ingat apabila beliau dan isteri baharu sahaja pulang dari mengerjakan Haji dan saya baharu sahaja lepas sekolah menengah. Saya mengikut ibu saya untuk berjumpanya kerana isterinya berkawan dengan ibu saya. 

Bila ditanya pengalamannya di tanah suci YB terus berkata "Sekarang baru saya tahu mengapa emak saya tidak mahu cerita apa-apa kepada saya apabila balik dari Mekah (sebutan masa itu). Saya dah pergi baru saya tahu". Beliau seterusnya menceritkan pengalaman buruknya di tanah suci. Saya yang masih budak mentah di masa itu bertanya "Mengapa orang Islam sanggup menindas sesama Islam?" Mungkinkah kerana bangsa dan kebangsaan, mereka Arab dan kita Melayu Malaysia?

Empat puluh tahun kemudian tiba pula giliran saya menerima nasib sama seperti YB dan ibunya itu. Saya mengerjakan Haji pada penghujung tahun 2007. Ibu saya mengerjakan Haji beberapa tahun sebelum saya dan seperti ibu YB tadi tidak bercerita apa-apa kepada saya apabila kembali ke tanah air.

Selepas lebih seminggu di Madinah tibalah masa untuk saya dan isteri berpindah ke Makkah dengan bas. Saya salin dan tampal apa yang pernah saya tulis di pos saya sebelum ini supaya tidak bercanggah:

Lebih kurang jam 2200 bas berhenti di satu kawasan lapang di padang pasir di mana terdapat sebuah restoran, surau dan tandas. Tandasnya teramatlah kotor tetapi saya dapat juga mengambil air sembahyang.


Bas berhenti selama satu jam disini sedangkan tidak ada jemaah yang turun untuk makan kerana sudah menerima bekalan makanan dari pihak hotel. Saya perhatikan pemandu mundar mandir sahaja di kawasan tersebut. Semasa di Madinah kami telah membuat pungutan satu rial seorang untuk diberikan kepada beliau. Adakah pemandu ini sengaja membiarkan kami menanti kerana tidak mendapat bayaran yang mencukupi?


Tuhan sahaja yang tahu.

Sebenarnya cerita saya lebih dari itu. Najis bertaburan di tandas. Sejadah di masjid amatlah kotor. Keadaan di mana-mana kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di lebuhraya kita 1000 kali lebih baik. Pemandu membiarkan kami duduk menunggu dalam bas selama 1 jam dengan enjin dihidupkan. Asap enjin diesel masuk ke ruang penumpang dan memabukkan kami sedangkan pemandu duduk berborak dan mundar mandir tanpa tujuan. Kami hendak turun takut ketinggalan bas.

Itulah pengalaman buruk  pertama saya semasa mengerjakan Haji. Selepas itu ada lagi pengalaman serupa yang tidak ingin saya ceritakan. Sejak dari kursus Haji yang dijalankan oleh Tabung Haji jemaah kita telah dingatkan supaya banyak bersabar di tanah suci nanti. Kita ialah tetamu Allah, kata mereka. Dengan sendirinya kita menganggap Allah juga Tuan Rumah kita di sana. Sampai kita lupa bahawa tuan rumah kita yang nyata di sana ialah orang Arab Islam. Orang Arab menindas kita , tetapi kita kata ini dugaan dari Allah.

Kalau orang Arab Islam sanggup menindas tetamu mereka yang ingin mengerjakan hukum Allah kenapa tidak mereka menindas rakyat mereka sendiri? Baru-baru dan di saat ini pergolakan berlaku di Mesir, Yemen, Bahrain, Libya dan sekarang Syria kerana orang Arab Islam menindas rakyat mereka. Sehinggakan kerajaan Malaysia dan kerajaan-kerajaan negeri dibawahnya membelanjakan berjuta-juta ringgit untuk membawa rakyat kita pulang ke tanah air dari Mesir dan menghantar mereka pulang kembali. Syukurlah pihak berkuasa di Mesir berfikiran waras dan menyerah kuasa mereka kepada yang berhak tanpa banyak tumpah darah.

Beberapa hari lepas Amerika Syarikat (USA), Britain, Perancis (itu yang saya tahu) telah mengebom Libya kerana kononnya menguatkuasakan keputusan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) supaya tentera Libya tidak membunuh raykyatnya sendiri. Tetapi dalam mengebom itu sudah tentu orang awam Libya (yang kononnya hendak dilindung oleh negara-negara tersebut) juga terbunuh. Apa mereka peduli? Yang pentingya satu lagi negara Arab Islam dihancurkan seperti mereka menghancurkan Iraq sebelumnya.

Saya baca di internet dari sebuah akhbar British sebenarnya tentera udara Libya sudah lumpuh.  Pesawat pejuang mereka yang tinggal tidak efektif lagi. Saya yang tidak berotak tentera ini pun tahu hendak menghancurkan tentera udara seperti Libya senang sahaja. Rosakkan sahaja landasan tentera udara mereka dan sudah tentu pesawat mereka tidak boleh naik, melainkan mereka mempunyai pesawat seperti Harrier yang boleh naik turun seperti helikopter. Lepas itu musnahkan pesawat mereka satu persatu.

Peduli apa mereka musnahkan pesawat penjuang Libya secara pengecut, iaitu menyerang pesawat yang sedang diikat kebumi. Mereka tahu jika kerajaan sekarang tumbang, kerajaan  baru akan membeli pesawat baru dari negara-negara pengebom tadi. Sudah tentu kerajaan baru akan berterima kasih kerana menjatuhkan kerajaan lama dan sudah tentu tidak pergi ke Russia untuk membeli Sukhoi atau MIG.

Kenapa ini berlaku? Sebabnya sama seperti alasan mengapa USA menghancurkan Iraq, walau pun dalam kes Iraq ada alasan lain yang tidak berasas iaitu Iraq mebuat senjata penghapus besar-besaran (weapons of mass destruction). Alasannya ialah negara-negara Arab Islam yang saya sebut menindas rakyat mereka.

Oh, orang Arab itu baik sangat ke? Saya sudah bergaul dengan orang Jepun selama enam minggu. Saya juga sudah bergaul dengan orang Arab juga selama enam minggu. Jangan tanya saya antara kedua bangsa itu bangsa mana yang saya kata lebih baik, lebih berbudi bahasa, menghormati tetamu dan jauh dari menindas tetamu dan kaum mereka sendiri.

Dalam hal ini saya ada seorang kawan sekelas yang pernah menjadi Duta negara kita dan pernah berkhidmat di negara-negara Arab. Kalau bohong saya, bohonglah dia. Katanya pembesar-pembesar Arab ini mempunyai bar-bar khas di rumah mereka di mana arak disimpan. Bukan untuk tetamu sahaja bang oi, tetapi untuk mereka sendiri.

Juga seperti di Malaysia para-para diplomat asing di negara-negara Arab ini akan menyambut hari-hari kebangsaan mereka di mana pembesar negara tuan rumah dan para diplomat termasuk kawan saya ini dijemput. Di sinilah kata kawan saya ini pembesar negara tuan rumah dan para diplomat Arab Islam minum arak untuk mabuk.

Apa hal kita asyik mempersoalkan pengilangan dan jualan arak di negara kita sedangkan pak pak Arab Islam di sana tu meneguknya hari-hari.

Dalam hal ini saya rasa negara kita Malaysia walau pun satu negara Islam (dan ada orang yang mempertikaikannya) ada kelebihan kerana mempunyai rakyat berbangsa dan beragama lain. Mereka inilah yang menjadi sebab penindasan tidak berlaku, walau pun ada penindasan di bentuk lain. Sama juga di Indonesia, walau pun merupakan negara yang mempunyai rakyat Islam terbesar di dunia.

Kenapa orang Islam tidak menindas orang Islam di Malaysia? Kerana kehadiran orang berbangsa dan beragama lain. Kenapa orang Islam tidak menindas orang Islam di Indonesia sedangkan mereka sebangsa? Kerana kehadiran orang Indonesia beragama lain.

Tetapi jika keadaan Malaysia dan Indonesia sama seperti di negara-negara Arab Islam, penindasan sesama sendiri sudah tentu berlaku. Dan ini sudah pasti mengundang negara kita dibom oleh negara-negara asing.

Oleh itu bersyukurlah kita tinggal di bumi bertuah ini.



3 comments:

Anonymous said...

Maarof

saya tertarik dengan your article esp tentang kekotoran dan kejijikan musola di kononya R&R diantara Makkah dan Madinah atau sebaliknya.

Saya rasa se'kuno' orang Malaysia, kita tidak akan kotorkan masjid atau musolla kita....apatah lagi tandas nya amat terhad.... wallah hu aklam... kadang-kadang kita tidak hendak memikirkan hal itu jika akita pernah terperangkap di situasi begitu.

Beralih kepada tajuk rusuhan di negara2 Islam. Saya ada hikmahnya Allah jadikan Malaysia ini a multi racial country... kalau tidak penindasan yang lebih teruk mungkin berlaku.... Kenana????

Kerana apabila sekelompok atau many kelompok orang2 kaya raya boleh menjadikan orang miskin yang majority (mayoriti kata orang Indon) sebagai hamba mereka.... Wallah hu aklam. Lihat sahaja di India, Indonesia dll.

Bagus coretan mu ini.

wasalam
MA(B)

Abu Nu'man said...

Wallahu a'lam. Adakah R&R tersebut kotor kerana perbuatan tidak bertanggung jawab pak-pak arab ataupun kerana dek tetamu-tetamu rumah Allah dari negara lain yang kurang menjaga kebersihan? Kita sendiri tidak pasti. Saya merasakan pak arab ni berlagak sombong apabila bilangan mereka ramai ataupun berada di tanah air mereka. Ketika saya menuntut di US dulu, pak-pak arab ni sangat mesra dengan rakyat Malaysia dan sering menjamu kami makan percuma. Manusia ni beribu ragam kan? Siapa sangka rakyat Jepun yang nampak berhemah tu dahulunya adalah perogol bangsa kita ketika Perang Dunia Kedua dahulu?

Anonymous said...

Semua bangsa di dunia Ada 'perangai ' masing-masing. 'perangai' ni sudah ada sejak dahulu lagi. Rasulullah juga menghadapi masalah dalam mengatur urusan ummat. Hanya Islam sahaja yang dapat 'mendidik' atau mendisplinkan kita. Oleh sebab itu kita memang diwajibkan mengikut contoh rasulullah kerana di situ Ada cara utk mengatasi pelbagai masalah.