Monday, June 13, 2011

Ema

Kalau aku tidak menukar rutin ku pada pagi itu mungkin aku terlepas cerita sebenar. Biasanya aku berlari di dua jalan mengelilingi dua baris rumah di sebelah dan di belakang rumah ku. Tetapi pada hari itu setelah berlari dua pusingan ku rasa kaki kiri ku sakit di pergelangan. Aku pun menukar haluan dengan berjalan kaki menaiki bukit yang menempatkan tangki air di hadapan rumah ku. 

Dengan kedudukan lebih tinggi sudah tentu pandangan ku lebih luas. Aku lihat di seberang sana beberapa orang jiran ku berkumpul di depan satu rumah. Hairan juga aku melihatkan jiran-jiran ku yang semuanya Melayu berkumpul di depan rumah satu keluarga Cina. 

Selesai satu pusingan menaiki bukit aku pun terus ke rumah di mana mereka berkumpul. Di antaranya ialah Pengerusi Taman dan Imam merangkap Pengerusi Surau. Adakah mereka berkumpul di sini kerana masalah perkauman? Harap-harap janganlah. 

Aku terus bertanya kepada Pengerusi Taman mengapa beliau berada di situ. Dia terus menjawab keluarga ini kehilangan kereta yang diletakkan di dalam rumah. Aku lihat beberapa anggota polis sedang bertugas mencari kesan-kesan jari di pintu dan jeriji rumah. Baru aku sedar sebuah kereta polis ada diletakkan berhampiran. Tuan rumah sedang melayan anggota polis.

Aku terus bertanya kepada puan rumah apa yang berlaku. Katanya rumahnya dimasukki pencuri lebih kurang jam 3 pagi tadi. Ia pasti waktu itu oleh kerana seorang anaknya balik rumah pada jam 2 pagi. Bila dia bangun pagi tadi didapati kereta Myvi baru mereka yang diletak di dalam rumah sudah hilang. Yang menghairankan kereta Honda Accord dan Proton Waja mereka yang diletak di luar rumah tidak diapa-apakan.

Turut hilang di dalam rumah satu komputer riba yang baru dibeli, wang tunai lebih tiga ribu ringgit dan barang-barang kemas. Yang menghairankan rumah mereka tidak berselerak dan pintu juga tidak dibuka secara paksa. Pencuri seolah-olah sudah tahu di mana barang-barang berharga mereka diletakkan.

Mereka yakin perbuatan ini dilakukan oleh seorang berbangsa Cina. Ini kerana ada satu banting tulisan Cina di atas pintu rumah telah dialihkan. Cuma orang yang tahu bahasa Cina sahaja yang boleh membaca tulisan itu yang lebih kurang memberi nasihat jangan mencuri.

Jadi bagaimana pencuri dapat masuk ke dalalam rumah? Puan rumah pun bercerita dia ada menyerahkan seluruh kunci rumahnya kepada seorang perempuan Indonesia yang membersihkan rumahnya seminggu sekali. Perempuan ini juga kadang-kadang bekerja di satu rumah mayat Cina berhampiran. Di sinilah mereka syak kunci mereka telah dibuat pendua oleh pencuri. 

Bila puan rumah menyatakan di mana perempuan Indonesia ini tinggal aku terus bertanya 'Nama dia Ema kah?. Puan rumah menjawab 'Ya'. Bila aku meminta penerangan lanjut darinya memang sahlah itu perempuan yang aku maksudkan.

Aku tak tahu namanya sebenar, tapi kami mengenalinya dengan nama Ema sahaja. Ia seorang ibu tunggal dan  memberi khidmat membersihkan rumah-rumah di taman perumahan kami. Dia mengenakan bayaran mengikut kuantiti dan kekerapan kerja yang dibuatnya. Untuk rumah ku kerjanya minima sahaja, ia itu kerja-kerja yang kurang terdaya oleh isteri ku. Itu pun isteri ku sama-sama membantunya.

Untuk keluarga Cina ini kerjanya lebih sedikit. Oleh kerana tidak mahu mengganggu, seluruh keluaga keluar rumah semasa Ema datang dan dia diberi masa sepenuh hari membersihkan rumah mereka.

Tiba-tiba aku teringat pagi itu juga giliran Ema datang membersihkan rumah ku. Ema juga membersihkan rumah ku seminggu sekali. Aku bergegas pulang dan menceritakan kepada isteri ku apa yang aku dengar tadi. Aku terus mengsyakki Ema sudah ditangkap dan rumah kami tidak akan dibersihkan untuk hari itu.

Tetapi Ema datang juga beberapa minit kemudian dan aku tidak nampak apa-apa perubahan pada kelakuannya. Dalam pada itu aku takut juga jika pihak polis datang ke rumah kami dan menahannya. Kami juga tidak menceritakan kepadas Ema apa yang kami telah ketahui untuk menjaga hatinya.

Aku tidak tahu apa yang terjadi kepada Ema seterusnya sehingga pagi tadi. Kami diberitahu Ema telah ditahan polis pada petang hari kecurian itu. Tugas akhirnya ialah membersihkan rumah ku.

Sama ada Ema terlibat sama dalam kes kecurian itu kami tidak tahu. Tetapi pihak polis mendapati paspot Ema telah tamat dan dia diserahkan kepada pihak imigresyen.

Sekarang aku dan isteri ku risau siapakah yang dapat menggantikan Ema untuk membersihkan rumah kami.

1 comment:

MAHAGURU58 said...

Assalamualaikum.

Ini kalau dapat kat penulis skrip, ada yang mahu karang drama karang, Tuan Haji.

Apa apa pun bersyukurlah bahawa tuan sekeluarga tidak menjadi mangsa seterusnya.